MASALAH yang sering dialami biasanya berpunca daripada aspek pemakanan dan sistem penghadaman. Itu termasuklah masalah angin dalam badan.

Lebih bermasalah, perut senak atau kembung, kerap sendawa dan badan rasa berbisa membuatkan seseorang tidak selesa serta lesu, malah mungkin tertekan akibat masalah angin apatah lagi jika mempunyai kerjaya perlu berurusan dengan orang ramai setiap hari.

Menurut Dr Zubaidi Ahmad, masalah angin kebanyakannya berpunca daripada udara yang ditelan dan apabila seseorang dalam keadaan tertekan, mereka lebih kerap menelan udara tanpa disedari.

“Masalah ini disebabkan proses penghancuran makanan oleh bakteria di dalam usus besar yang tidak dapat dihadamkan sepenuhnya.
“Gas yang dihasilkan ialah biasen, nitrogen dan ada kalanya methana. Ada beberapa kaedah rawatan bagi menyelesaikan masalah ini,” tulisnya di Facebook.

Namun demikian kesediaan kita untuk menukar jenis makanan yang dinikmati setiap hari terutama mengelakkan makanan berangin dan bergas, ambil ubat-ubatan dan cuba menahan diri daripada menelan udara terlalu banyak adalah lebih penting untuk diketahui.

Jadi, ini antara kaedah yang boleh dilakukan oleh penghidap masalah angin:

1. Menukar jenis makanan

Kandungan gas yang dihasilkan daripada makanan berbeza antara individu. Bagi sesetengah orang, makanan seperti keledek, nangka, cendawan dan teh menyebabkan angin, tetapi tidak pada orang lain. Sekiranya makanan itu dapat dikenal pasti, hindarkan daripada mengambil makanan itu.

2 . Minum minuman halia

Halia merupakan petua yang paling mudah dan juga berkesan yang telah diamalkan sejak turun-temurun lagi. Sebaiknya, anda meminum minuman halia asli kerana ia lebih berkesan untuk membuang angin di dalam badan. Ia juga boleh dicampur bersama lemon dan madu untuk membantu masalah penghadaman anda.

3. Ubat-ubatan

Ubat-ubatan seperti antacid dan simethicone yang boleh didapati di farmasi dapat membantu mengurangkan masalah angin.

4. Kurangkan menelan udara

Individu yang mengalami masalah sendawa yang kronik dinasihatkan supaya kurang mengambil gula-gula getah dan gula-gula. Anda dinasihatkan supaya mengunyah makanan secara perlahan-lahan dan tidak banyak bercakap ketika makan. Sekiranya pesakit memakai gigi palsu, dinasihatkan supaya berjumpa doktor gigi untuk memastikan ia sesuai dipakai.

Iklan

Artikel berkaitan: Tidak makan sayur, buah dengan cukup berisiko kanser usus

5. Hindari makanan yang menghasilkan angin

Makanan yang mengandungi gula raffinose, fruktos, laktos dan sorbitol menghasilkan banyak angin. Raffinose terkandung dalam makanan seperti kacang yang mengandungi banyak gula kompleks manakala bunga kubis, kubis brussel, asparagus, brokoli dan kubis pula mengandungi fruktos.

Iklan

Laktos ialah gula semula jadi yang terdapat dalam susu dan makanan mengandungi susu seperti keju dan aiskrim. Fruktos pula banyak terdapat pada bawang, buah pir dan gandum. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam minuman ringan dan jus buah-buahan.

6. Urutan

Teknik urutan juga satu daripada kaedah yang dapat membantu rawatan masalah angin. Melalui teknik urutan yang betul, angin dalam badan seseorang itu mampu dikeluarkan dan ia pastinya memberikan kelegaan kepada orang yang mengalami masalah ini.

Jadi, buat orang ramai yang berhadapan masalah angin dalam badan, bolehlah mencuba beberapa kaedah rawatan di atas. Bebaskan diri anda daripada masalah angin! Moga bermanfaat.