SUDAH menjadi satu kebiasaan apabila anak kecil masih perlu botol susu untuk tidur. Jika situasi itu masih berlaku, inilah masanya ibu bapa perlu memikirkan strategi untuk memisahkannya.

Ini kerana karies botol susu akan terjadi apabila anak dibiarkan tidur dengan menghisap susu daripada botol susu.

Public Health Malaysia turut tidak ketinggalan berkongsi mengenainya.

https://www.facebook.com/publichealthmalaysia/posts/2753706128252575

Di Malaysia, berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 2007, sebanyak 74.5 peratus kanak-kanak yang berusia enam tahun mengalami masalah karies gigi.

Lebih menyedihkan, satu per empat kanak-kanak berusia lima tahun mempunyai lebih daripada 10 gigi susu yang pernah mengalami karies.

Bagaimana keadaan itu berlaku?

Sebenarnya, sisa susu akan ditukar oleh bakteria mulut menjadi cecair yang berasid dan menyebabkan mineral gigi terhakis.

Menurut Dr Siti Hashima Husin melalui entri Facebooknya menulis, semasa anak kecil sedang tidur, penghasilan air liur juga akan berkurangan dan akan menyebabkan gigi menjadi rongak dengan lebih cepat.

“Lazimnya, kerosakan berlaku pada gigi hadapan dan belakang,” tulisnya.

Langkah terbaiknya, ibu bapa perlu mencuba menukar susu dengan air kosong secara berperingkat dan mengajar mereka untuk minum menggunakan cawan selepas usia enam bulan.

Artikel berkaitan: Perut buncit, lemak berlebihan risiko mati muda – Kajian

Iklan

Selain itu, pastikan selepas mereka meminum susu atau makan, biasakan rutin mengelap gigi, gusi dan lidah menggunakan kain lembab.

“Kesan yang paling jelas tentunya rasa sakit. Kanak-kanak mungkin akan menangis dan mengadu kesakitan, terutamanya pada waktu malam.

“Sekiranya rawatan segera tidak diberikan, karies boleh melarat sehingga bernanah dan kebengkakan muka (cellulitis),” tulisnya.

Pada tahap itu, ada kemungkinan kanak-kanak itu terpaksa dimasukkan ke wad bagi mengelakkan kuman daripada merebak ke tempat lain di dalam badan.

Iklan

Bukan itu sahaja, anak kecil juga akan berhadapan masalah sukar untuk menguyah makanan, pertumbuhan akan terbantut, berlaku masalah pertuturan dan memberi kesan emosi yang tidak baik kepada mereka.

Jadi, sebagai penjaga, ibu bapa merupakan orang yang pertama yang perlu mengesan pembentukan karies gigi kanak-kanak di peringkat awal.

Jangan dibiarkan berterusan kerana keadaan itu boleh merebak ke lapisan gigi yang paling dalam lalu kelihatan rongak.