Mahu ketenangan, kita singgah ke kawasan air terjun. Perlukan privasi, jom kita glamping

A
A
A

APABILA kerajaan mengumumkan semua pusat pelancongan dan aktiviti merentas negeri dibolehkan dengan syarat vaksinasi dewasa sudah mencapai kadar 90 peratus, memang ramai yang teruja.

Maka, masing-masing mula merencana pelbagai agenda yang sudah lama tertangguh.

Selepas terlampau lama ‘berkelana‘ dalam rumah sendiri dengan gajet, apa kata kali ini kita memilih untuk beristirehat dan mendekatkan diri dengan flora dan fauna, sekali gus menyahkan aura negatif yang barangkali sudah lama terperuk.

glamping air terjun

Ya, berlibur di kawasan air terjun yang dikelilingi dengan pepohon menghijau mungkin merupakan pilihan yang terbaik.

Namun, jika mahu percutian lebih privasi lagi mewah, percutian berkonsepkan glamping sama ada di pinggir hutan atau di tepi laut yang yang jauh dari hiruk-pikuk kota juga merupakan idea yang gah.

Justeru, pada edisi kali ini, SinarPlus senaraikan beberapa destinasi yang jarang diketahui ramai untuk kawasan air terjun dan glamping.

1. IDEA GLAMPING

Glamping yang menyaksikan sebuah khemah yang dilengkapi dengan infrastruktur hotel lima bintang pastinya opsyen mereka yang mempunyai bajet lebih.

Tidak salah berbelanja sakan selepas lebih setahun tidak bersua muka dengan insan tersayang, bukan?

Bukan sahaja bertaraf eksklusif, percutian jenis ini sememangnya menjarakkan anda dengan orang ramai. Berikut destinasi glamping yang boleh diterokai bersama:

(i) La Hilir Tiny House

Jika kebanyakan kawasan glamping menawarkan khemah yang banyak, namun di La Hilir Tiny House di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, memang lain daripada yang lain.

Sebuah khemah mewah hanya ditawarkan untuk sebuah keluarga. Ini bermakna, anda menempah keseluruhan kawasan La Hilir Tiny House!

glamping air terjun

Selain dijamu dengan pemandangan hutan yang masih terpelihara, pengunjung pasti akan kagum dengan seni bina yang minimalis dengan dekorasi yang sederhana, tetapi sedap mata memandang.

Tidak perlu risau untuk mencari juadah pagi dan malam kerana sajian air tangan tuan rumah bakal membuatkan anda tersenyum lebar.

Seperti servis sebuah hotel, setiap sajian ala Barat akan dihantar terus ke depan pintu khemah.

Oh! Aktiviti barbeku juga dibenarkan dan pastinya ia menyemarakkan lagi suasana malam anda sekeluarga.

(ii) Buana Kita

Buana Kita yang terletak di Kampung Gaing Pedas, Rembau, Negeri Sembilan merupakan satu lagi lokasi yang tidak kurang hebatnya.

Mereka menyediakan lapan buah khemah dengan setiapnya dinamakan sempena 12 suku dalam adat Pepatih.

Pelbagai aktiviti menarik boleh dilaksanakan dalam tempoh dua hari satu malam di sana.

Selain mandi di sungai dan di kolam renang, pengunjung boleh berbarbeku, berbasikal, menaiki kenderaan bermotor ATV dan kereta api ATV khas untuk si cilik.

glamping air terjun

Menariknya lagi, pengusaha mengajak tetamunya mengimbau kenangan silam dengan menonton wayang pacak dan melawat kandang lembu, kerbau dan kambing.

Makanan yang disedikan juga enak belaka.

Untuk sarapan pagi, pengunjung akan dijamu dengan lempeng kelapa dan roti canai.

Set makanan tengah hari memang membangkitkan nostalgia apabila anda bakal dihidangkan dengan sajian masakan kampung lengkap dengan pinggan mangkuk klasik!

(iii) Castra by Colony

Barangkali ramai yang masih tidak tahu mengenai kewujudan Castra by Colony yang terletak di Star Boulevard, Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Khemah mewah ala Bohemian boleh disewa pada kadar bermula RM2,500 semalam. Berada di sana membolehkan pengunjung menikmati keindahan malam Segi Tiga Emas Kuala Lumpur secara jelas.

Percaturan pelancong memilih Castra by Colony dijamin berbaloi. Selain dekorasi mewah ala Mediterranean dengan ruang istirehat persendirian seluas lebih 4,000 kaki persegi.

glamping air terjun

Para pengunjung juga diberi kemudahan untuk mengakses hidangan barbeku bertaraf premium, khemah berhawa dingin, televisyen bersaiz gergasi, mandian organik dan internet tanpa had.

Dengar cerita, lokasi tersebut memang laku keras. Justeru, tempahlah lebih awal.

Selain tiga destinasi glamping tersebut, terdapat beberapa lagi opsyen.

Antaranya di Denai Kabus, Gerik, Perak; Dusun Bonda, Batang Kali, Selangor; The Stick Glamping, Kuala Kubu Bahru,Selangor; The Hooton Retreat, Kuala Klawang, Negeri Sembilan; Glamz at Genting, Genting Highlands, Pahang; Umea Glam Kundasang, Sabah dan Glamping Lost World Of Tambun, Perak.

2. PANAHAN AIR TERJUN

Kawasan air terjun merupakan salah satu tempat lokasi memburu ketenangan yang paling ideal.

Ya, SinarPlus memahami rungutan orang ramai yang tidak selesa apabila beberapa kawasan air terjun dibanjiri oleh pengunjung yang terlalu ramai sehingga ada di antara mereka yang melanggar prosedur operasi standard.

Sehubungan itu, kami mencadangkan destinasi yang masih tersembunyi dan belum dijelajahi secara meluas di Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan.

(i) Lata Dinding

Berada di dalam ‘jantung‘ Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, Negeri Sembilan, para pendaki biasanya pasti akan singgah di kawasan air terjun di Lata Dinding selepas penat mendaki Gunung Besar Hantu setinggi 1,462 meter.

Menurut perkongsian asmarveller.blogspot.com, laluan trek yang bermula dari Kem Sungai Kering agak ekstrem dan pendaki dinasihatkan memanaskan badan terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan, selain membawa bekalan air secukupnya.

glamping air terjun

Sebenarnya selain di Lata Dinding, hutan simpan tersebut juga memiliki pilihan tempat mandi-manda lain seperti Lata Kijang dan Jeram Berungut yang sangat cantik.

Terdapat juga kawasan gua yang boleh dilawati seperti di Gua Harimau dan Gua Batu Bulan termasuk perkampungan orang asli berdekatan.

Baca juga Percutian yang dirindukan, tiket makin murah, ramai tak sabar nak keluar melancong. Ini lokasi cadangan kami...

Paling penting sekali, jangan lupa dapatkan permit terlebih dulu.

Sebelum terlupa, kepada anda yang berhasrat untuk bermalam di kawasan Taman Negeri Kenaboi, terdapat chalet dan tapak perkhemahan khas yang disediakan.

(ii) Air Terjun Jeram Pelangi

Di Pahang, Air Terjun Jeram Pelangi yang terletak di Kampung Kuala Sentul, Maran, Pahang dan berhampiran dengan Taman Rekreasi Che Minah Sayang Lubuk Ujid sangat popular dalam kalangan pelancong.

Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang dua jam dibantu oleh pemandu arah.

Seorang pengguna Facebook yang pernah menjejakkan di Air Terjun Jeram Pelangi mengatakan, keindahan pelangi yang menjadi ‘signatur‘ air terjun tersebut wajib dirakam sebagai tanda kenang-kenangan.

glamping air terjun

Jika pengunjung melihat terlalu ramai yang mengerumuni kawasan tersebut, anda boleh beralih di enam lokasi lain yang berdekatan iaitu Air Terjun Batu Hampar, Air Terjun Lubuk Kawah, Air Terjun Tebing Tinggi, Air Terjun Pelangi, Air Terjun Atas Pelangi dan Air Terjun Batu Tangga.

Jadi, tiada istilah berebut-rebut untuk bermandi-manda dan menghirup udara segar di sana. Kepada yang ingin berkhemah, terdapat beberapa tapak yang disediakan di Jeram Batu Hampar.

(iii) Air Terjun Gunung Reng

Bukan sahaja memiliki pemandangan yang cukup cantik, malah kejernihan air terjun dikatakan bak kristal bakal menggamit hati sesiapa sahaja.

Selain Air Terjun Gunung Reng yang terletak di Gunung Reng, Jeli, Kelantan, singgahan lain yang pasti membangkitkan keterujaan adalah seperti di Lata Mawo, Lata Turbo, Lata Janggut dan Lata Hujan.

Jangan risau, kesemua lokasi tidak jauh antara satu sama lain. Orang ramai juga dijemput untuk singgah di Kashmir Jeli yang terkenal dengan keindahan rumput menghijau dan air sungai yang jernih.

glamping air terjun

Gua Batu Kapur yang telah dibuka kepada umum juga mesti disenaraikan dalam itenari anda.

Bagi mereka yang tertanya-tanya di mana penginapan yang sesuai untuk didiami, Lalang‘s Chalet, Hotel Jeli, Istana Sangkut dan beberapa pilihan inap desa sedia menanti kehadiran ramai.

Sebagai tambah nilai, kebanyakan pengusaha akan menghidangkan tetamunya dengan juadah lokal yang digemari ramai seperti Laksa Telur Sarang, Akok Berdang, nasi kerabu dan mi celup.

Beberapa kawasan lain juga menjadi rekomendasi untuk dilawati.

Antaranya di Jeram Janggut dan Lata Berembun, Negeri Sembilan yang masih menyimpan tapak bangkai pesawat perang milik Tentera Udara British.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

glamping air terjun

Destinasi riadah lain adalah di Air Terjun Semangkuk, Hulu Selangor; Lata Belantan, Jerteh, Terengganu; Air Terjun Gunung Pelepah, Kota Tinggi, Johor; Air Terjun Buaya Sangkut, Taman Negara Endau-Rompin, Pahang.

Jeram Tok Janggut, Melaka dan Air Terjun Teluk Mengkudu di Segari, Perak juga lokasi menarik untuk pergi bercuti.

Foto: LA HILIR TINY HOUSE,BUANA KITA, CASTRABYCOLONY, FORESTRY.NS.GOV, FORESTRY.GOV.MY, ALI SHAMSUL BAHAR, MDJELI.GOV & JELIKITO

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca