Penambah selera berbuka & sahur, ini resipi kerabu ikan bilis bunga kantan mudah penuh khasiat

BILA sebut sahaja kerabu, pasti terbayang keenakan menjamunya bersama lauk pauk lain kan.

Kerabu seringkali dikaitkan menjadi pembuka selera sejak zaman dahulu lagi selain ulam-ulaman dan pencicah seperti budu atau cencaluk.

Jadi kali ini, kami kongsikan satu resipi yang rare dan unik tapi bila makan dengan nasi memang sedap sangat.

Menunya adalah resipi kerabu ikan bilis bunga kantan. Rupanya, memang sedap campur bahan-bahan ni bersama bungan kantan.

Tahukah anda, bunga kantan boleh dimakan begitu sahaja atau direbus dan dijadikan sebagai ulam-ulaman. Jika diamalkan, ia boleh memberikan kesan awet muda pada wajah.

Cuba juga Sedapnya kerabu belimbing buluh bersama bunga kantan!

Resipi lazat dengan ikan bilis

Bunga kantan juga sebenarnya dikatakan boleh digunakan sebagai ubat bagi menghilangkan lendir dan kahak pada tekak.

Jadi jom ikuti perkongsian kerabu ikan bilis bunga kantan daripada Heliza Mokhtar ini. Memang makan dengan nasi panas-panas sahaja pun menjadi!

Istimewanya ia menggunakan bahan segar dan mentah hanya ikan bilis sahaja perlu digoreng. Menyelerakan!

Bahan-bahannya;

  • Ikan bilis yang digoreng garing
  • 1 bunga kantan dihiris nipis
  • 1 Serai dihiris nipis
  • 3 ulas bawang merah dipotong dadu
  • 1 biji tomato dibuang bijinya dipotong dadu
  • 3 cili api dipotong nipis
  • 2 biji perahan air limau kasturi
  • Gula secukup rasa

Cara membuatnya;

1. Gaul semua bahan sebati kemudian masukkan ikan bilis garing, gaul lagi dan siap untuk dihidang.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa bunga kantan bukan sahaja dapat menambahkan rasa dan aroma pada masakan tetapi juga mempunyai banyak khasiat yang boleh kita dapati, antaranya;

1. Menghilangkan bau badan

Pokoknya dikatakan boleh menghilangkan bau badan terutamanya bagi wanita yang baru lepas bersalin.

Cara untuk melakukannya adalah hanya mengambil beberapa bahagian batang pokok kantan yang segar, potong pendek-pendek dan ditumbuk hingga lumat. Rebus bahan yang ditumbuk hingga mendidih dan apabila air telah sejuk, gunakan air tersebut sebagai air mandian.

2. Menghilangkan rasa lesu

Biji pokok kantan dikatakan boleh menghilangkan rasa kurang bermaya. Caranya adalah dengan menumbuk biji pokok kantan ini sehingga lumat. Tos biji ini untuk mendapatkan airnya.

Kemudian campurkan dengan segelas air suam. Waktu yang paling sesuai diminum adalah pada waktu pagi. Amalkannya untuk beberapa kali untuk merasai keberkesanannya.

3. Masalah sakit telinga

Bagi mereka yang selalu mengalami masalah sakit telinga, buah kantan dikatakan boleh digunakan untuk menghilangkan masalah tersebut.

Caranya adalah dengan merebus buah kantan itu selama beberapa minit. Apabila airnya sudah sejuk, titikkan air rebusan ke dalam telinga.

Iklan

Dikatakan jika ia diamalkan selalu, bukan sahaja dapat melegakan kesakitan malah mampu mengatasi masalah telinga berair.

Cuba juga Kerabu bayam Brazil sedap, berkhasiat, gaul-gaul siap

Kerabu bayam Brazil sedap, berkhasiat, gaul-gaul siap

4. Pencuci luka pada badan

Bagi mereka yang mengalami luka pada badan, anda boleh merebus daun kantan. Air rebusan yang masih suam dikatakan boleh digunakan untuk mencuci luka dengan cara melumurkannya keseluruh bahagian luka.

5. Merawat kencing manis dan darah tinggi

Bagi mereka yang mengalami penyakit kencing manis dan darah tinggi, buah kantan dikatakan mampu untuk merawatnya dan perlu diambil secara teratur. Hanya rebus buah kantan, apabila telah suam dan minum seperti biasa.

Iklan

Cuba juga Nak diet, tapi masih nak makan makanan sedap? Kerabu Sotong Thai antara alternatif terbaik

6. Kuat tenaga batin

Selain awet muda, buah kantan juga mampu digunakan untuk menguatkan tenaga batin pada lelaki.

Walaupun terdapat banyak khasiat ubatan dari pokok dan bunga kantan, namun penggunaannya perlu juga mendapat nasihat dari pengamal perubatan untuk mengelakkan sebarang kemudaratan.

Semoga bermanfaat!

Sumber resipi: Heliza Mokhtar

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.