BARU-BARU ini tular di media sosial mengenai satu kenyataan menyatakan alatan memasak iaitu air fyer atau penggoreng udara dapat menyebabkan kanser.

Menjelaskan situasi itu, Pakar Perunding Ginekologi Onkologi Medical Mythbusters Malaysia, Dr Mohd Rushdan Md Noor berkata, sehingga kini belum ada bukti yang menunjukkan penggunaan air fryer boleh menyebabkan kanser ke atas manusia.

“Sememangnya semua perkara di dunia ini ada baik dan buruknya. Jika kebaikan lebih banyak daripada keburukan, maka baiklah perkara tersebut,” tulis pakar itu melalui Facebooknya.

Perlu diketahui bahawa proses kejadian kanser bukan mudah.

Beritahu Dr Mohd Rushdan, banyak faktor yang terlibat dan prosesnya sangat kompleks.

“Syukur kepada Tuhan yang mencipta sistem badan manusia yang sangat cekap memulih dan memelihara sel-sel secara semula jadi walaupun sepanjang masa terdedah kepada penyebab kanser di udara, daratan dan makanan,” ujarnya.

Pun demikian, ungkap beliau, di samping faktor semula jadi, gaya hidup dan makanan yang diambil oleh manusia boleh bertindak sebagai penawar ataupun pelindung kepada serangan agen penyebab kanser.

Air fryer ada kebaikannya seperti boleh mengurangkan pengambilan minyak dan kalori di dalam makanan.

“Keburukannya adalah jika makanan berkanji dan berasaskan tumbuhan (kentang, roti, bijirin, kopi, buah kering dan lain-lain) dipanaskan pada suhu lebih daripada 120 darjah Celsius dalam masa yang panjang boleh menghasilkan satu bahan dikenali sebagai acrylamide,” jelas Dr Rushdan.

Bagaimanapun, acrylamide tidak semestinya dihasilkan oleh alatan memasak air fryer sahaja, sebaliknya apa sahaja kaedah pemanasan boleh menghasilkannya termasuklah dapur arang.

Jelas beliau lagi, sebenarnya, banyak lagi bahan makanan yang mengandungi acrylamide seperti jus prun, minyak zaitun hitam, buah prun kering, buah pear kering dan lain-lain.

Ia juga ditemui di dalam asap rokok dan digunakan di dalam industri membuat kertas, fabrik, pemekat dan pewarna.

Persoalannya benarkan acrylamide boleh menyebabkan kanser? Jawab Dr Rushdan:

“Jawapannya ya jika diberikan dalam dos tinggi kepada tikus.

“Ada dua kata kunci iaitu dos yang tinggi dan tikus. Itupun melalui kajian makmal dan melibatkan dua hingga tiga jenis kanser sahaja (daripada lebih 150 jenis kanser),” beritahu pakar itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kajian ke atas manusia yang mengesahkan kebenaran berkenaan.

Iklan

“Semakan ke atas banyak kajian atau case control dan epidemiologi belum lagi menemui bukti kukuh bahawa acrylamide boleh menyebabkan kanser ke atas manusia,” tambah beliau.

Selain itu, kajian terhadap pekerja-pekerja industri makanan yang terdedah kepada acrylamide (dua kali lebih tinggi daripada tahap biasa) mendapati tidak ada kaitan antara bahan berkenaan dengan kanser.

Kenyataan di atas diakui oleh semua pertubuhan kanser termasuk Pertubuhan Kanser Amerika dan National Cancer Institute.

“Mungkin metabolisme acrylamide di dalam tikus berbeza dengan manusia.

Iklan

“Tambahan pula kuantiti acrylamide yang dihasilkan melalui kaedah pemanasan makanan termasuk dengan menggunakan air fryer jauh lebih rendah daripada yang diberikan kepada tikus di dalam kajian makmal (ekstrak acrylamide yang ditulenkan). Acrylamide juga dikaitkan dengan masalah saraf tetapi kesan ini hanya boleh berlaku jika kuantiti yang diambil lebih daripada 500 kali lebih tinggi daripada purata pengambilan,” terang Dr Rushdan panjang lebar.

Oleh itu, orang ramai tidak perlu risau menggunakan air fryer untuk memasak dengan syarat menggunakannya dengan betul dan bersederhana dalam semua segi.

“Ingat, jangan hari-hari makan kentang goreng (kalau tanpa air fryer pun tidak elok ambil kentang goreng banyak-banyak), elak garam berlebihan, memasak jangan sampai terlalu garing (perang kehitaman), jangan makan dalam kuantiti yang banyak dan pastikan makanan mempunyai nutrien yang cukup dan seimbang,” pesan Dr Rushdan.

Air fryer boleh digunakan untuk memasak banyak makanan lain yang tidak berkanji ataupun kurang kandungan kanjinya.

Selain amalan hidup sihat, tidak merokok, tidak minum alkohol, tidak mengalami kegemukan, mengambil banyak sayuran atau buah-buahan, bersenam dan lakukan ujian saringan, maka anda akan dapat menurunkan risiko menghidap kanser walaupun menggunakan air fryer.

Dengan amalan itu, air fryer akan menjadi salah satu alat memasak yang baik untuk anda, lebih-lebih lagi jika ianya digunakan untuk tujuan mengurangkan pengambilan lemak dan kalori. Semoga bermanfaat!