PERUT masuk angin adalah sesuatu yang kerap berlaku kepada kita.

Natijahnya, badan jadi tak selesa. Kadang-kadang sapu minyak angin pun, perut masih kembung.

Menurut Cleveland Clinic, masalah kesihatan itu berlaku apabila angin terkumpul di dalam perut dan usus sehingga anggota badan tersebut menjadi besar serta keras.

“Penyebab paling biasa yang menyebabkan keadaan itu adalah kandungan gas yang berlebihan.

“Sekiranya seseorang mengalami perut kembung selepas makan, ia mungkin berpunca daripada masalah penghadaman,” kata mereka.

Kitaran haid juga boleh menjadi punca kembung perut, namun ia hanya memberi kesan sementara.

kembung perut
SUMBER Cottonbro Studio daripada PEXELS.

Pun begitu, Cleveland Clinic berkata, sekiranya gejala yang dialami tidak hilang atau semakin memburuk, pesakit perlu segera mendapatkan rawatan perubatan.

Bagi mengurangkan rasa tidak selesa tersebut, National Health Service, United Kingdom berkongsi beberapa kaedah yang boleh dicuba. Antaranya:

1.Bersenam dengan kerap untuk meningkatkan penghadaman dan membantu mencegah perut kembung.
2.Kunyah makanan dengan mulut yang tertutup bagi mengelak tertelannya udara.
3.Minum banyak air.
4.Makan makanan yang tinggi serat jika mengalami sembelit.
5.Ambil makanan dalam kuantiti kecil dan lebih kerap berbanding makan dengan banyak pada satu-satu masa.
6.Urut perut dari kanan ke kiri untuk mengeluarkan angin.

 

Baca juga: Tak selesa perut kembung? Cuba teknik ini lega dalam 5 minit

Baca juga: Teknik urutan ‘I Love You’ pada bayi, boleh amalkan jika alami masalah kembung perut

Dalam pada itu, SinarPlus turut merujuk Hello Doktor untuk mengetahui cara mengurut perut yang boleh mengatasi rasa perut berangin.

Menurut mereka, kaedah rawatan tersebut mampu memberikan kesan yang menenangkan kepada sesetengah individu yang mengalami isu penghadaman, sembelit atau kembung perut.

Perut akan rasa lebih lega selepas lima ke 10 minit selepas melakukan urutan.

kembung perut
AUMBER Sora Shimazaki daripada PEXELS.

Berikut adalah dua teknik urutan buang angin yang dicadangkan oleh Hello Doktor:

Kaedah pertama:
1.Mulakan pada bahagian tengah perut terlebih dahulu.
2.Gosokkan tangan pada tengah perut dengan gerakan membulat atau memusar. Kemudian, secara perlahan-lahan gerakkan tangan ke arah perut sebelah kanan.
3.Lakukan urutan sehingga bahagian tulang rusuk.
4.Ulang langkah sama pada bahagian perut sebelah kiri.
5.Gerakkan semula tangan ke bahagian tengah atau pusat badan.
6.Urut setiap bahagian perut selama dua hingga tiga minit.
7.Sewaktu tangan berada di tengah perut, teruskan menggosok dengan hujung jari dalam gerakan membulat.
8.Anda boleh menekan perut lebih dalam sedikit dengan jari selama kira-kira seminit.
9.Secara perlahan-lahan, alihkan tangan dan teruskan urutan ke bahagian kiri dan kanan perut.

Iklan

Kaedah kedua:
1.Baring seperti biasa terlebih dahulu.
2. Letakkan tangan secara bertindih di atas perut dan fokuskan kepada cara pernafasan.
3. Panaskan tangan dengan menggosoknya antara satu sama lain selama 30 saat.
4. Gunakan sebarang minyak urut. Jika tiada minyak urut khusus, boleh gunakan minyak bayi atau minyak aromaterapi.
5. Letakkan minyak pada perut dan gosok perut dengan menggunakan tapak tangan beberapa kali. Lakukannya dengan mengikut arah pusingan jam.
6. Urut bahagian tengah perut bermula dari atas pusat sehingga ke bahagian tulang kemaluan.
7. Ulang kaedah sama pada bahagian sebelah kanan badan.
8. Setelah itu, tekan jari pada bahagian pusat secara perlahan-lahan.
9. Teruskan mengurut dengan gerakan membulat pada bahagian luar pusat dengan mengikut arah pusingan jam.
10. Lakukan urutan pada seluruh bahagian perut selama 20 minit. Jika ada bahagian perut yang masih rasa tidak selesa, lebihkan masa untuk mengurut pada kawasan tersebut.

Secara umumnya, kaedah mengurut badan adalah selamat untuk dilakukan oleh semua golongan.

kembung perut
SUMBER Sora Shimazak daripada PEXELS.

Pun begitu, Hello Doktor mengingatkan ada beberapa perkara yang perlu diambil berat sebelum melakukan urutan buang angin dalam badan. Antaranya:

1.Jangan melakukan urutan sekiranya baru menjalani sebarang pembedahan pada perut.
2.Wanita hamil perlu berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang urutan.
3. Disarankan untuk tidak mengambil makanan yang berat atau pedas dalam tempoh beberapa jam sebelum dan selepas sesi urutan.

4.Minum banyak air selepas selesai mengurut.

Iklan

Langkah yang dikongsikan mudah dan boleh dilakukan sendiri di rumah.

Namun, sekiranya cara tersebut tidak berkesan, segera bertemu dengan doktor.

Bimbang ia tanda gangguan sistem penghadaman atau keadaan kesihatan lain yang bahaya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.