Jangan lalai dan pandang mudah. Obesiti, muntah, perut kejang dan najis berdarah antara petanda kanser usus

AZIZI Afandi, 55, mengalami masalah sukar membuang air besar sejak dua tahun lalu.

Disebabkan dirinya seorang yang jarang jatuh sakit, keadaan itu dibiarkan sahaja.

Bagi Azizi, hal itu boleh diatasi, sementelah beliau seorang yang sangat sibuk memenuhi tuntutan sebagai kontraktor.

Pun demikian, beberapa bulan lalu, najisnya berdarah. Difikirkan ia satu kebetulan, tetapi kejadian itu berterusan selama seminggu lamanya.

Khuatir kondisi tersebut memudaratkan kesihatan lebih-lebih lagi bakal terbang menunaikan umrah, lelaki berkenaan terus berjumpa doktor.

Pakar mengesahkan beliau menghidap kanser usus besar atau kolorektal tahap 3.

Jika pembaca SinarPlus masih ingat, pada 30 Disember 2022, legenda bola sepak dunia, Pele meninggal dunia akibat kanser usus besar yang menyebabkan sejumlah organnya gagal berfungsi.

Berdasarkan statistik global, World Cancer Research Fund International mendedahkan, kolorektal merupakan kanser ketiga tertinggi dalam kalangan penduduk dunia.

Ia merupakan jenis barah kedua terbanyak dialami oleh wanita. Tiga negara yang mendahului carta ialah Hungary, Slovakia dan Norway.

Di Malaysia, Pakar Perunding Bedah Am & Kolorektal, Hospital Gleneagles, Pulau Pinang, Dr Buvanesvaran T Moorthi memberitahu, mengikut laporan pada tahun 2016, kanser kolorektal atau kolon di Malaysia adalah penyebab kedua kematian dan nombor satu menyerang kaum Adam dengan peratusan 21.2 peratus daripada 100,000 lelaki di negara ini.

Menurut pakar tersebut, kelazimannya, barah itu dikesan apabila pesakit sudah berada pada tahap ketiga dan ke atas.

Justeru, adakah perlu untuk membuat ujian saringan awal untuk kanser jenis tersebut?

 

View this post on Instagram

 

A post shared by sinarplus (@sinarplus)

Anemia, mual & obesiti

Sebelum menjawab pertanyaan itu, Dr Buvanesvaran menjelaskan, kanser kolon merujuk kepada pertumbuhan isi tanpa kawalan yang bermula dengan suatu bonjolan pada selaput dalam usus atau dikenali sebagai polip.

Ia (polip) akan beransur-ansur membesar sehingga bertukar menjadi barah.
“Pertumbuhan itu boleh menyebabkan berlakunya pendarahan, perubahan tabiat perkumuhan dan kesukaran membuang air besar,” katanya.

Ujar beliau lagi, kanser berkenaan berkeupayaan merebak ke bahagian organ lain. Lazimnya boleh sampai ke hati, paru-paru, tulang dan otak.

Penularan itu secara tidak langsung akan merosakkan fungsi asal bahagian organ tersebut dan boleh mencetuskan beberapa gejala memudaratkan yang akhirnya meragut nyawa.

Ditanya apakah simptom yang sering berlaku kepada penghidap, berikut penerangan beliau:

i) Berlaku pendarahan pada tinja (tahi) termasuk perubahan tabiat membuang air besar
-Kekerapan ke tandas dan cirit-birit yang berlarutan perlu diberi perhatian sewajarnya.
Jika berlaku sembelit berpanjangan terutama berterusan melebihi dua minggu, ia merupakan satu petanda kurang baik.

ii) Hilang selera makan
-Tiada nafsu untuk menikmati sebarang hidangan juga satu keadaan yang perlu diberi penekanan.

iii) Berat badan turun mendadak
-Berat badan yang menyusut ditambah dengan rasa lesu yang berlebihan antara simptom yang agak lewat berlaku kepada pesakit kanser usus.

Selain tiga ciri itu, laman web The Endescopy Centre dan CNN menyenaraikan beberapa petanda lain yang tidak disedari ramai. Antaranya:

i) Anemia tanpa sebab
-Salah satu ciri anemia adalah badan manusia mudah letih, lemah dan lesu.
-Pesakit kanser kolon boleh mengalami anemia lantaran kehilangan darah yang ditandai dengan masalah tinja berdarah.
-Keadaan ini menyebabkan pengeluaran darah merah berkurangan dan kehabisan ‘rizab’ zat besi di dalam badan.

ii) Mual dan muntah
-Dua situasi itu ditambah dengan sembelit, cirit-birit, sakit perut termasuk tinja berdarah adalah antara sifat kanser usus.
Penghidap biasanya mengalami muntah kerana pertumbuhan tumor akan menyebabkan penyumbatan pada usus.

iii) Gas berlebihan
-Gas berlebihan akan membuatkan perut kembung dan tidak selesa.

iv) Perut kejang
-Ramai menganggap ia adalah gejala wanita yang mahu datang bulan.
Namun, seandainya, masalah tersebut berlanjutan dan di luar waktu menstruasi, itu adalah indikasi kepada barah usus.

Kepada golongan yang berumur 40 tahun ke atas, anda digalakkan melakukan pemeriksaan rapi, kata Dr Buvanesvaran.

Pada aras usia itulah, kanser kerap berlaku terutama kepada mereka yang mempunyai sejarah dalam kalangan ahli keluarga, masalah obesiti dan wujudnya polip di dalam usus besar.

Dalam pada itu, MyHealth menambah perincian dengan mengatakan, jika individu mempunyai penyakit radang usus seperti ulcerative colitis, Crohn’s disease dan memiliki sindrom genetik yang berkaitan dengan kanser seperti Familial Adenomatous Polyposis atau Hereditary Non-Polyposis Colorectal Cancer, faktor itu turut mempengaruhi seseorang memperoleh kanser kolon.

Pun demikian, dalam satu artikel yang disiarkan oleh Mayo Clinic, terkadang penyakit tersebut juga menyerang golongan belia.

Secara asasnya, ujar Healthline, tahap keparahan kanser terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu:

Tahap 1: Sel kanser tumbuh di dalam usus.

Tahap 2: Kanser telah menembusi dinding kolon.

Tahap 3: Sel telah merebak ke nodus limfa yang bersebelahan dengan usus besar.

Tahap 4: Kanser sudah menjadi teruk. Ketika ini, sel telah merebak jauh dan menyerang organ lain.

Kebiasaannya, peringkat kanser akan ditentukan selepas doktor memeriksa pesakit dan seterusnya membantu mereka merancang kaedah rawatan yang betul.

BACA JUGA: Pak Lah Cecupak meninggal dunia akibat kanser usus

Prosedur colonoscopy & iFOBt

Kepada satu soalan, Dr Buvanesvaran berkata, ujian utama untuk mengesan kanser kolorektal adalah melalui prosedur colonoscopy.

Colonoscopy merujuk satu proses melihat ke dalam usus besar dengan menggunakan sistem kamera khas kecil yang dimasukkan melalui liang dubur setelah proses pembersihan usus selesai.

Kaedah itu membolehkan doktor mengenal pasti kewujudan kanser atau polip dan menjalankan biopsi (mengambil sampel jaringan usus untuk diperiksa di bawah mikroskop) bila perlu,” katanya.

Selain itu, teknik Immunochemical Faecal Occult Blood (iFOBt) dilakukan.

Jelas beliau, IFOBt adalah ujian makmal yang bertujuan mengenal pasti kewujudan darah dalam najis manusia yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Iklan

“Ujian saringan ini mudah dilaksanakan dan sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai sebarang simptom. Sekiranya hasil kajian menunjukkan tanda darah dalam tinja, maka seseorang perlu menjalani ujian colonoscopy selanjutnya,” terang beliau.

Selanjutnya, kata Dr Buvanesvaran, pembedahan merupakan rawatan utama kanser kolorektal.

Pun demikian, jenisnya (pembedahan) adalah berbeza mengikut kedudukan kanser di dalam usus besar pesakit.

Konsultasi sewajarnya boleh diperoleh daripada pakar bedah kolorektal. Namun, kanser pada tahap yang lebih serius mungkin perlu menjalani rawatan ubatan tambahan seperti kemoterapi dan radiasi di bawah seliaan pakar onkologi dan radioterapi,” katanya.

Dalam bidang perubatan, obesiti atau kegemukan adalah satu ancaman besar kepada manusia.

Ujar Dr Buvanesvaran, berat badan melampau merupakan antara salah satu risiko terbesar pembentukan kanser kolorektal.

“Itu sebab mengawal jisim berat adalah penting. Tubuh yang sihat dan kurang makan daging merah serta makanan berproses dapat membantu mengurangkan risiko kanser ini,” nasihatnya.

Seandainya seseorang sudah disahkan penghidap penyakit berkenaan, langkah pencegahan perlu dipraktikkan.

“Gaya hidup sihat, selain menitikberatkan kesihatan fizikal dan mental termasuk mengamalkan pemakanan seimbang adalah langkah utama dalam menangani kanser kolon. Kepentingan ujian saringan iFOBT dan kolonoskopi juga tidak boleh diabaikan,” katanya.

 

#kesresponden

Sel kanser Patricia sudah merebak ke ovari

PATRICIA Lim, 49, (bukan nama sebenar) seolah-olah sudah berputus ada untuk hidup.
Ketika ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Selangor Selasa lalu, Patricia berkata, sebaik mengetahui dirinya penghidap kanser kolon atau usus besar dua tahun lalu, beliau hanya berfikir tentang kematian.

Saya mengetahui tentang penyakit ini ketika saya di Ohio, Amerika Syarikat (AS). Kesibukan saya sebagai pengurus hartanah membuatkan saya tak peduli tentang soal kesihatan langsung. Ya, benar saya hanya fikirkan wang sahaja,” katanya yang sudah mula menitiskan air mata.

Ditanya apa simptom-simptom yang mengganggu diri, kata Patricia, beliau sering mengalami kekejangan pada perut tidak mengira masa.

Iklan

Selain itu, beliau juga menghadapi masalah sembelit. Apabila membuang air besar, najisnya berdarah. Hal itu kerap berlaku, ujarnya.

Terlalu sukar untuk dinyatakan, namun Patricia seakan-akan sudah pasrah. Hasil ujian colonoscopy yang dijalankan menunjukkan sel kanser telah merebak ke ovarinya.

Terdahulu, beritahu beliau, keluarga sebelah bapanya mempunyai historiografi kanser yang pelbagai. Mendiang bapa dan datuknya ialah pejuang kanser kolon, sementara ibu saudaranya sedang menderita kanser limfoma.

Bercerita lanjut, ujar wanita kental itu, selepas diselidiki mengapa seseorang boleh mendapat kanser usus besar, beliau turut mengakui kesilapannya dalam soal pengambilan makanan.

“Kerja saya memang sibuk. Jualan hartanah di banyak negeri, kadang-kadang perlu terbang untuk meninjau lot rumah pilihan pelanggan. Semuanya menuntut masa.

“Jadi, saya tiada masa untuk masak, apa lagi membeli barang dapur. Akhirnya, makanan segera seperti burger, sosej, ayam goreng dan nasi daging yang hanya perlu dipanaskan di dalam ketuhar selama seminit dua menjadi pilihan saya. Rupa-rupanya tabiat itu boleh mengundang kanser,” katanya dengan nada kekesalan.

Seperti kata Patricia, nasi sudah menjadi bubur. Profesionnya ditinggalkan dan terpaksa kembali ke Malaysia ekoran kos perubatan yang tinggi di AS.
Di negara ini, beliau memilih sebuah hospital swasta untuk mendapat rawatan susulan.

“Saya masih menjalani kemoterapi, berehat dan hanya makanan berserat dan bernutrisi sahaja.

Saya berpendapat, diri saya masih terus bertahan bukan kerana saya ke hospital, tetapi sokongan moral yang tak berbelah bagi yang diberikan oleh keluarga dan rakan taulan. Malah, doktor yang merawat saya di AS juga masih bertanya khabar. Itulah teras semangat saya kini,” katanya.

Masih lagi boleh berdiri dan bergerak pada kadar perlahan, Patricia turut kehilangan berat badan yang mendadak iaitu kira-kira 20 kilogram sejak kanser dikesan kira-kira dua tahun lalu.

“Inilah suratan hidup saya. Namun pesan saya kepada semua orang, tolong jaga pemakanan anda, jangan jadi seperti saya,” ujarnya.

BACA JUGA: #SiBibirMerah: Percaya ‘ustaz’ rawat kanser usus, rupanya cebisan ayam. 2 pakar kongsi cerita…

BACA JUGA: ‘Kacang cerdik’ boleh kurangkan risiko kanser kolon? Berikut 6 kebaikan pistachio yang perlu tahu

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.