ANDAIAN penulis bahawa biskut Teratai Layu di Tasik Madu diilhamkan daripada lagu nyanyian penyanyi tersohor, Fauziah Latiff ternyata tepat.

Pun demikian, ketika SinarPlus menghubungi salah seorang pembikin biskut berkenaan, Norizan Saad, 55, beliau tergelak kecil.

Katanya, beliau langsung tidak tahu menahu sejarah asal usul nama kuih tersebut.
Namun, kata Norizan, apa-apa pun, nama pastri itu memang unik dan secara tidak langsung telah membangkitkan rasa ingin tahu orang ramai tentang kelazatan dan ‘rupa paras’ biskut Teratai Layu Di Tasik Madu.

Baca juga: Resipi mudah jem tat nanas cantik berserat hanya 4 bahan, pakai pemarut legend

“Walaupun biskut ini dilihat sama seperti kuih semperit, namun dari aspek rasa dan bentuk, ia sedikit berbeza. Jika diperhatikan kelopak bunga kedua-dua kuih, terdapat sedikit kelainan.

“Kalau semperit, kelopak bunganya agak besar dan lebar, namun biskut Teratai Layu Di Tasik Madu, kelopaknya sedikit halus dan bentuknya sedikit tinggi,” kata pengasas Mama’s Cookies itu.

Terlebih dulu, kata Norizan, beliau mempelajari membuat kuih berkenaan ketika bekerja sebagai pembantu pembuat biskut raya di sebuah syarikat tempatan.

Selepas menamatkan perkhidmatan, wanita itu mengambil keputusan nekad untuk membuka perniagaan biskut raya sendiri.

Tidak mahu seperti orang lain, Norizan membuat perubahan kepada beberapa resipi biskut raya termasuk mengolah sedikit cara pembuatan resipi Teratai Layu Di Tasik Madu.

“Bagi saya, tidak kiralah apa pastri atau sajian pun, jangan sesekali kedekut bahan. Jika terlalu berkira, rasanya tidak akan mencapai kehendak yang diinginkan,” sarannya.

Bersama SinarPlus, Norizan tiada masalah berkongsi tip penting dalam penghasilan biskut Teratai Layu Di Tasik Madu yang menjadi kegemaran para pelanggan setianya sejak 10 tahun lalu.

Ujarnya, antara yang paling perlu diberi perhatian adalah pemilihan serbuk badam.

“Penggunaannya (serbuk badam) sangat penting kerana ia menentukan tekstur biskut Teratai Layu Di Tasik Madu sama ada rapuh atau sebaliknya.

“Walaupun harga serbuk badam agak mahal, saya tidak pernah sama sekali mengurangkan kuantiti semata-mata ingin menjimatkan kos. Jika saya buat macam itu, nescaya saya tak dapat kekalkan keenakan biskut dan rasanya tidak akan lagi sama,” katanya.

Sehubungan itu, Norizan mengingatkan para wanita yang mungkin mahu mencuba resipi beliau agar memenuhi saranan dan sukatan yang telah ditetapkan.

“Percayalah, hasil akhirnya sama sekali tidak akan mengecewakan,” tuturnya menutup perbualan.

Iklan

RESIPI BISKUT TERATAI LAYU DI TASIK MADU

Bahan-bahan
180 gram (g) serbuk badam
320g tepung gandum
250g mentega
120g gula aising
1 sudu kecil esen vanila
1 biji kuning telur
Ceri (dihiris kasar)
Coklat masakan
Minyak jagung

Cara penyediaan:
– Pukul mentega, gula aising, kuning telur dan esen vanila sehingga sebati.
– Seterusnya, masukkan tepung gandum dan serbuk badam. Uli sehingga menjadi doh.
– Selepas itu, masukkan adunan ke dalam bekas acuan dan terap di atas loyang.


– Lekatkan ceri di tengah-tengah permukaan bunga dan bakar dengan tetapan suhu atas bawah 180 darjah Celsius selama 20 minit (bergantung kepada ketuhar masing-masing).
– Setelah masak, keluarkan biskut dan sejukkan sebentar.
Sementara itu, cairkan coklat masakan dengan menggunakan kaedah double boil dan masukkan sedikit minyak jagung.
– Kemudian, masukkan bancuhan coklat ke dalam bekas plastik dan pastikan hujung plastik digunting sedikit.

Baca juga: Biskut Raya Tak Perlu Bakar Rasa Coklat Kaw kaw, Resipinya Mudah Hingga 5k Perkongsian

Iklan


– Seterusnya, corakkan permukaan biskut dengan coklat menggunakan kaedah drizzle dan sejukkan ke dalam peti sejuk sehingga coklat membeku.
– Siap untuk dihidang.

Baca juga:Ramai dah lupa macam mana nak buat biskut Mama Carey. Ini teknik paling mudah kalau mahu cuba

Oleh SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi