RATA-RATA orang kita tanyalah siapapun, pasti sukakan roti ini. Roti cheese sesuai dimakan untuk sarapan atau minum petang, atau pada bila-bila masa disukai.

Rasa keju yang sedap, sudah tentu antara sebab ia sukar ditolak ke tepi. Ditambah pula dengan ‘lemak’ manis keju ini, pastinya ia boleh menjadi antara menu kegemaran sekeluarga.

Apatah lagi jika dibuat dengan hasil air tangan ibu untuk anak-anak dan suami. Bertambah kasih sayang dibuatnya. Cara hendak menghasilkan roti ini juga mudah. Insya-ALLAH menjadi:

Roti Cheese

Bahan-bahannya:

• 4 cawan tepung gandum
• 4 sudu besar susu pekat
• 3 sudu besar gula pasir
• 1 biji telur
• 1 cawan air suam
• 1 paket yis mauripan
• 2 sudu besar marjerin
• 1 sudu teh garam
• 1 sudu teh bread improver (tak letak pun boleh, jadi jugak)

Artikel berkaitan: Resipi roti boy viral

Cara-caranya:

1. Satukan semua bahan & putar guna mixer selama 15 minit. Kalau uli guna tangan, satukan semua bahan kecuali air. Kemudian letak air sedikit demi sedikit & uli dalam 30 minit hingga doh cantik, elastik dan berkilat. Memang macam melekat di tangan sikit. Sapu tepung pada tapak tangan untuk mengurangkan lekat dia tu.

2. Biarkan doh berehat selama 10 minit dalam bekas bertutup.
Kemudian keluarkan & uli sekejap je.
Bentukkan bulat-bulat sama rata. Kemudian golek-golek sampai doh memanjang.

Iklan

3. Biarkan kembang naik 2 kali ganda dalam 30 ke 40 minit.

4. Sapu permukaan doh dengan susu segar (kalau tak ada, boleh bancuh 1 sudu besar susu tepung bersama sedikit air suam. Kalau tak ada juga, boleh sapu dengan telur yang dikacau bersama sedikit air).

Iklan

5. Tabur cheddar cheese yang diparut. Tabur juga sedikit gula pasir ke seluruh permukaan.

6. Bakar pada suhu 200, selama 10 ke 15 minit atau sehingga masak keperangan, bergantung oven masing-masing.
Selamat meroti!

Kredit: Noraini Hussin