Sajian warung bertaraf hotel, ini rupanya formula tarikan Cafe Salim sampai orang sanggup beratur panjang
NIKMATI sajian bertaraf hotel di warung biasa. Demikian konsep yang diperkenalkan Cef Salim Bahari dan isterinya, Sahlawati Norman yang baru sahaja membuka Cafe Salim pada tahun lepas di Jalan Cempaka, Meru, Klang, Selangor.
Ketika kunjungan SinarPlus ke premis itu baru-baru ini, pelanggan terpaksa beratur panjang menunggu giliran untuk masuk walau pada hari biasa.
"Alhamdulillah, ini semua rezeki daripada ALLAH SWT. Pada mulanya, saya agak gementar dengan formula perniagaan saya yang menjual menu ala Barat di sebuah kafe yang terletak dalam kawasan kampung, namun tak sangka orang sukakan konsep sebegini.
"Beberapa selebriti seperti Liza Hanim, Black dan Mat Dan juga pernah singgah di kafe kami," katanya.
Mengenai harga, Cef Salim berkata, nilainya jauh lebih murah berbanding makan di hotel.
Pendek kata, memang berbaloi makan di sana.
Berpengalaman lebih 40 tahun dalam industri kulinari, usahawan itu menyediakan lebih 30 pilihan set sarapan pagi yang ditawarkan bermula jam 7 pagi hingga 1 tengah hari.
Antaranya seperti set klasik pelbagai jenis telur (egg benedict, omelette, scramble egg) yang dihidangkan dalam porsi yang besar termasuk Artisan Pizza Salim.
Untuk sepinggan sajian egg benedict, ia dilengkapi dengan telur separuh masak bersama bayam lemak berkrim, ikan salmon salai, salad mesclun, mufin, sos holandaise dan kentang bakar.
“Egg benedict antara pilihan set sarapan pagi yang laku keras kerana ditawarkan dengan saiz gergasi. Memang kenyang makan dan saya jamin rasanya tak ubah seperti makan di restoran mewah,” kata anak jati Kedah berusia 63 tahun itu.
Selain aneka sarapan Barat, kafe berkenaan turut menyajikan makanan selera Melayu seperti mi kolok goreng, laksa Sarawak dan pulut kuning kuah kari.
Tidak ketinggalan empat jenis nasi lemak iaitu Nasi Lemak Ayam Berempah Ayah, Nasi Lemak Ayam Rendang Nyonya, Nasi Lemak Kerang Rendang Atok dan Nasi Lemak Sambal Sotong Ummi yang dijamin menyelerakan.
Bagi Sahlawati, beliau menyarankan pelanggan merasa dulu Nasi Lemak Ayam Rendang Nyonya yang dimasak dengan kaedah cukup istimewa.
“Ramuan rempah terpilih dimasak selama empat jam. Selalunya 50 kilogram rempah habis setiap hari. Untuk ayam pula, saya goreng terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam rendang supaya isinya tidak hancur.
“Ini merupakan resipi saya sendiri. Seronok sangat bila ramai pelanggan berselera makan. Jangan risau, enam pilihan air yang boleh ditambah sesuka hati sampai puas,” ujar anak jati Klang itu.
Cafe Salim
- Alamat: Jalan Cempaka, Meru, Klang, Selangor
- Waktu operasi: 7 pagi hingga 1 petang
- Harga: Bermula RM9 hingga RM35
- Facebook: Cafe Salim
- Instagram: @cafesalim
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang