1 beg darah boleh selamatkan 3 nyawa! Kita beri kehidupan yang lebih baik kepada yang memerlukan
PENTINGKAH kita menderma darah? Menurut Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Afifah Hassan (gambar) , 1 beg darah boleh menyelamatkan 3 nyawa.
“Bagaimana? Setiap komponen darah ini mempunyai fungsi tertentu dalam rawatan pesakit dan dapat diberikan kepada tiga individu yang berbeza setelah diproses kepada tiga komponen utama iaitu sel darah merah, plasma dan platelet,“ katanya kepada SinarPlus.
Ujar Dr Afifah lagi, bekalan darah merupakan produk terapeutik yang penting untuk perawatan pesakit dalam menyelamatkan nyawa seseorang.
“Sehingga kini masih belum ada bahan sintetik yang boleh menggantikan fungsi darah sepenuhnya. Dengan menderma darah kita mampu memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan," ungkapnya.
Persoalan seterusnya, siapa yang akan mendapat manfaat? Terlebih dulu, Dr Afifah berkata, asas kepada pendermaan darah adalah untuk tujuan membantu pesakit yang memerlukan rawatan transfusi darah dan komponennya termasuk produk berasaskan plasma.
BACA JUGA Lelaki derma darah paling kerap, 632 kali dalam 30 tahun diiktiraf Malaysia Book of Record
BACA JUGA Kronologi kejadian, bahaya tidur dalam kereta, remaja maut pendarahan paru-paru terhidu gas
Berdasarkan rekod, kadar pendermaan darah semasa adalah sekitar 2 hingga 2.3 peratus pada tahun 2019 hingga 2021.
“Kami menyasarkan 3.5 hingga 4 peratus kadar pendermaan darah bagi rakyat Malaysia, sebagaimana negara maju. Ini adalah penting bagi mencapai self sufficicency state bagi memastikan bekalan darah dan produk terapeutik berasaskan plasma terutamanya adalah mencukupi bagi rawatan pesakit di negara ini tanpa perlu bergantung kepada sumber dari luar negara," katanya.
Menurut Dr Afifah lagi, melalui pendermaan darah utuh, produk sel darah merah, platelet dan plasma dapat digunakan untuk rawatan pesakit yang mengalami penyakit tertentu seperti anemia, kanser darah mahupun pendarahan disebabkan trauma atau pembedahan.
“Bagi produk terapeutik berasaskan plasma contohnya, Rh immunoglobulin, IV immunoglobulin, albumin dah faktor pembekuan dapat dihasilkan selepas melalui proses fraksinasi.
“Faktor pembekuan darah seperti faktor VIII dan IX masing-masing digunakan untuk marawat pesakit Hemofilia A dan B, IV immunoglobulin untuk rawatan immunodefisiensi primer, manakala albumin digunakan untuk rawatan pesakit yang mengalami kecederaan akibat terbakar," katanya.
Sehingga kini masih belum ada bahan sintetik yang boleh menggantikan fungsi darah sepenuhnya. Dengan menderma darah kita mampu memberi kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang memerlukan.
ANEKDOT
FAEDAH dan kebaikan menderma darah yang bakal diraih penderma secara tidak langsung:
-Budaya berkenaan boleh memelihara kesihatan dan merangsang badan untuk menghasilkan sel-sel darah baharu, lalu mengekalkan kecergasan badan dan menjadikan penderma darah lebih produktif.
-Penderma juga dapat mengetahui kumpulan darah, bacaan tekanan darah dan tahap hemoglobin melalui pemeriksaan kesihatan yang dilakukan sebelum proses menderma darah.
-Pendermaan darah secara tetap dan berkala dapat memelihara kesihatan kardiovaskular.
-Kajian lain mendapati, menderma darah dapat membakar hingga 600 hingga 650 kalori.
-Membentuk sikap ikhlas dan suci hati dalam membantu dan menyelamatkan nyawa insan lain.
-Memupuk kesepaduan dan tanggungjawab sosial bersama ke arah pendermaan darah secara sukarela tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang individu.
-Penderma darah juga mendapat beberapa hak keistimewaan rawatan perubatan dan kemasukan percuma wad di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia bergantung kekerapan pendermaan darah.
-Menjadi platform kepada agensi swasta dan awam sebagai agenda tanggungjawab sosial korporat ke arah penganjuran program pendermaan darah.
Sumber Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Afifah Hassan
Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus
Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang