Sekelip mata 5 beradik yatim piatu, kemalangan maut ragut nyawa ibu. 'Saya akan jaga adik seperti arwah mama pesan'

Kredit foto: Harian Metro, Bernama, Buletin TV3
Kredit foto: Harian Metro, Bernama, Buletin TV3
A
A
A

USIANYA baru 25 tahun tapi sudah bersedia galas tanggungjawab menjaga adik-adik.

Sayunya mengenangkan nasib pemuda, Nuzul Hafizan Afiq Abd Wahab, 25, terpaksa menerima kenyataan ibu tersayang, Nurulhuda Ramli, 41, yang meninggal dunia selepas Perodua Viva dinaiki bersama tiga individu lain dipercayai terbabas dan melanggar penghadang jalan berhampiran pusat komersil di Putrajaya.

Hilang sudah kasih ibu, anak sulung kepada lima beradik itu mengakui ia dugaan besar dan sempat mengenang kembali amanat arwah.

"Kehilangan mama (ibu) sangat berat buat kami, tetapi saya akan kuatkan semangat demi empat adik dan menjaga mereka dengan baik seperti pesanan mama yang selalu berpesan setiap hari minta saya jaga adik-adik," katanya.

No Image Caption

Lebih menyedihkan, Nuzul Hafizan yang mengiringi jenazah ibunya di dalam ambulans di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya memberikan pandangan kosong sementelah beliau dan empat adik yang kesemuanya lelaki berusia lapan hingga 21 tahun kini yatim piatu selepas bapa mereka juga sudah meninggal dunia sejak kira-kira lima tahun lalu.

Mengenang kembali pertemuan terakhir pada minggu lalu, Nuzul Hafizan yang menetap di asrama syarikat bekerja di Rawang mengakui insan tersayang itu tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Artikel Berkaitan:

"Sejak dari kecil mama sudah melatih saya membantunya termasuk buat kerja rumah dan menjaga adik," katanya.

No Image Caption

Sedih namun reda dengan pemergian ibu tercinta, Nuzul Hafizan mengakui kenangan bersama tidak akan luput daripada ingatannya selagi hayat dikandung badan.

"Mama suka bawa kami pergi ke pantai, selalu pergi pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan dan makan-makan sejak kami kecil.

"Itu akan selalu saya kenang selain masakan mama seperti rendang dan ayam masak merah," katanya yang menyifatkan walaupun wanita itu seorang yang agak garang dan tegas.

Terdahulu, media melaporkan, polis mengesahkan empat mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman dilaporkan berkata, kemalangan membabitkan Perodua Viva.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24; Nurulhuda Ramli, 41 dan Amizan Sapiie, 27, manakala seorang lagi mangsa, Nizasuhana Ujang, 28, dilaporkan parah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.10 tengah malam.

No Image Caption

"Kemalangan membabitkan Perodua Viva yang terbabas dengan sendirinya. Terdapat empat mangsa, masing-masing dua lelaki dan dua wanita.

"Seorang wanita parah dan sudah dihantar ke Hospital Putrajaya, manakala dua lelaki dan seorang lagi wanita disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Sepang, Inspektor Muhamad Haziq Ab Karim di talian 017-9076260.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Sumber: Harian Metro

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang