Ajal 4 pagi, lima beradik yatim piatu sekelip mata. 'Saya harap salah seorang masih bernyawa...'

No Image Caption
A
A
A

LULUH hati membayangkan nasib lima beradik termasuk seorang kelainan upaya ini. Hilang sudah kasih sayang dan tempat bergantung apabila kedua ibu bapa pergi dipercayai sekali gus asbab pemandu mabuk.

"Saya harap salah seorang daripada mereka masih hidup tetapi bila sampai, kedua-duanya sudah tak ada.”

Demikian ungkapan penuh hiba Mohd Ikmal Danish, anak kedua pasangan suami isteri, Allahyarham Mohd Redzwan Mohd Udi, 37, dan Allahyarham Linda Mohd A Aziz, 35, yang menaiki motosikal jenis Honda Vario maut dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dipandu pemandu mabuk di Jalan Besar/ Jalan Masjid, Pasir Gudang baru-baru ini.

Selain Mohd Ikmal, pasangan itu juga meninggalkan lima anak termasuk seorang kurang upaya (OKU), iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17 (OKU), Nur Shahkira Mohd Redzwan,14, Nur Shahmira Mohd Redzwan, 12 dan Nur Aisyah Humairah Mohd Redzwan, 3 tahun.

No Image Caption

PERGI KERJA AWAL

“Kunci jam pukul 3 pagi, mak nak pergi kerja,” tutur Mohd Ikmal mengimbas kembali kata-kata terakhir ibunya.

Ia sedikit menimbulkan rasa pelik kerana kebiasaannya Linda yang bekerja sebagai pembantu kedai makan hanya akan bangun tidur pada jam 5 pagi atau 6 pagi sebelum bertolak ke tempat kerja.

Malah remaja itu juga mengakui tersedar tepat jam 3 pagi dan mendapati ibu-bapanya tiada di rumah serta menerima berita buruk tidak lama selepas itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya pun tak tau kenapa tiba-tiba terjaga pada jam 3 pagi. Saya tengok kiri, kanan mak tak ada, ayah pun tak ada dan pada fikiran saya, tak mengapalah ayah hantar mak pergi kerja.

Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran (kanan) mengharapkan keadilan buat anaknya, Allahyarham Mohd Ridzwan dan menantu.
Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran (kanan) mengharapkan keadilan buat anaknya, Allahyarham Mohd Ridzwan dan menantu.

“Tapi tak lama lepas itu, kawan saya datang rumah beritahu bahawa ayah dan mak saya kemalangan di Tasek, Johor Bahru.

"Saya terus ke rumah nenek untuk beritahu perkara tersebut. Nenek bersama adik kemudiannya bergegas ke hospital," katanya.

Mohd Ikmal Danish berkata, tidak lama kemudian dia dihubungi adiknya memaklumkan bahawa ibu dan ayahnya sudah meninggal dunia.

"Saya minta tolong kawan untuk bawa saya ke hospital," katanya.

No Image Caption

AMANAH LIMA BERADIK JANGAN BERPISAH

No Image Caption

Seolah-olah tahu akan pergi selamanya, Muhammad Ikmal Danish juga mendedahkan ibu bapanya sempat memberi amanat terakhir tiga hari sebelum kejadian.

"Ayah dan mak bagi amanah pada saya jangan berpisah dengan adik-beradik walau jadi apa-apa pun. Jaga adik-adik," uahnya.

"Adik bongsu tahu ayah dan mak sudah tiada. Saya beritahu mak sudah meninggal dunia, adik tanya ayah mana? Saya cakap ayah pun sudah meninggal dunia," katanya.

Lebih memilukan, kata Mohd Ikmal, Nur Aisyah Humairah yang baru berusia tiga tahun menangis apabila teringatkan kedua-dua ibu bapa mereka.

"Malam tadi saya tanya adik, nak tengok gambar mak dan ayah tak?

"Adik cakap nak tengok, saya tunjukkan dalam telefon dan adik menangis sedih," katanya.

Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran (kanan) mengharapkan keadilan buat anaknya, Allahyarham Mohd Ridzwan dan menantu.
Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran (kanan) mengharapkan keadilan buat anaknya, Allahyarham Mohd Ridzwan dan menantu.



NENEK MAHU KEADILAN BUAT ANAK DAN MENANTU

Ibu Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran, 56, berkata kaki saya terus lemah dan hampir rebah apabila tiba di lokasi kemalangan. Apatah lagi terpaksa menerima kenyataan menantunya turut terbabit.

"Saya nampak lori polis. Saya ternampak-nampak Abang Wan di situ (lokasi kemalangan), saya panggil namanya berulang kali, sehingga ada seorang anak muda tenangkan saya beritahu anak saya sudah meninggal dunia dilanggar pemandu mabuk

"Saya ingat anak saya seorang kemalangan, saya tidak tahu isterinya juga terbabit. Saya tak sanggup lihat jenazah anak dan isterinya ketika kemalangan sangat menyayat hati," katanya.

Kasihnya seorang nenek. Biar apapun yang terjadi, Ramlah sedia menjaga kelima-lima cucunya yang kini yatim piatu.

"Saya harapkan sangat keadilan buat arwah anak dan menantu, hukuman setimpal buat pelaku. Saya kehilangan anak, cucu saya jadi yatim piatu.

"Saya akan menjaga kesemua anak arwah, walaupun saya sendiri tiada pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada suami, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61 yang hanya bekerja sebagai pemandu forklift di sebuah pasar raya," katanya.

No Image Caption

PEMANDU DI BAWAH PENGARUH ALKOHOL

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian pada pukul 4 pagi itu membabitkan motosikal jenis Honda Vario dinaiki pasangan itu dengan sebuah kereta Perodua Alza.

“Kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta berkenaan datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

“Sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat berlampu isyarat, pemandu kereta itu meneruskan perjalanan dalam keadaan lampu isyarat merah menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.

“Pada masa sama motosikal pasangan terbabit meneruskan perjalanan menghala ke bandar raya ini sebelum berlaku pelanggaran,” katanya.

Mohd Sohaimi berkata, akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun dan pembonceng wanita berusia 35 tahun cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kereta berkenaan iaitu lelaki berusia 34 tahun ditahan kerana dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.

“Ujian air kencing juga dilakukan dan mendapati pemandu terbabit bebas daripada sebarang jenis dadah.

"Siasatan dilakukan bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian," katanya.

Hilang ibu bapa sekelip mata ujian terhebat sementelah usia anak-anak masih muda. Sama-sama kita doakan semoga nasib lima beradik itu terbela.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian, Majoriti

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang