AMALAN diet yang seimbang dapat membantu menghindarkan stres. Fakta itu nampak mudah, namun sukar dilaksanakan.

Menerusi portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), stres yang keterlaluan boleh mengurangkan tenaga, menghakis memori, melemahkan sistem imun, mengganggu mood, mengurangkan tumpuan dan memberi kesan kepada semua organ serta fungsi tubuh badan.

Selain itu, masalah tekanan juga boleh menyebabkan seseorang kehilangan atau kekurangan nutrien seperti vitamin C, vitamin B kompleks, magnesium dan kalsium.

Berikut adalah pemakanan yang disyorkan untuk menghindari stres:

1. KEKACANG

Sumber kekacang seperti badam, pistachio dan kacang walnut yang kaya dengan Vitamin B2, Vitamin E, magnesium dan zink. Vitamin B2 membantu dalam sekresi serotonin iaitu hormon yang memberikan rasa kegembiraan. Zink adalah antara komponen yang diperlukan dalam melawan stres. Vitamin E berkesan dalam menghalang penyakit yang disebabkan oleh stres seperti penyakit jantung.

2. MAKAN IKAN

Sumber ikan terutama ikan laut dalam seperti ikan salmon, tenggiri, kembung dan sardin serta ikan air tawar seperti ikan patin dan haruan. Mempunyai sumber makanan yang tinggi dengan omega-3 untuk membantu menstabilkan hormon kortisol.

3. SUSU

Susu Kaya dengan antioksida dan mengandungi kalsium yang tinggi untuk membantu menyingkirkan radikal bebas yang berkaitan dengan stres.

4. LABU MERAH, JAMBU BATU

Labu merah dan jambu batu, makanan yang kaya dengan vitamin C. Keadaan stres yang berpanjangan boleh menyebabkan kekurangan penyimpanan vitamin C yang boleh menyebabkan masalah gusi berdarah.

Artikel berkaitan: 9 punca stres akibat tekanan kerja tidak disedari bos, majikan

Iklan

5. BIJIRIN

Bijirin penuh seperti roti mil penuh, bijirin sarapan pagi, beras perang dan oat mengandungi karbohidrat kompleks. Bertindak untuk merangsang pengeluaran hormon serotonin iaitu bahan kimia pencetus rasa gembira di dalam otak.

6. BUAH DAN SAYUR

Iklan

Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang tinggi dengan antioksida membantu mengurangkan kesan radikal bebas.
Sumber vitamin C yang baik ialah jambu batu, brokoli dan oren. Sumber vitamin E yang baik ialah betik, bayam dan zaitun manakala makanan yang tinggi dengan beta karotena seperti keledek, lobak merah dan labu.

7. APRIKOT

Aprikot kering, kaya dengan magnesium dan berkhasiat untuk membantu menenangkan otot dari dalam.

Jadi, boleh amalkan beberapa sumber makanan ini. Relaks dan janganlah stres. Moga bermanfaat!