Strok dalam kalangan pesakit muda. Teknologi robotik bantu pesakit meningkatkan fungsi dengan lebih baik
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia mendedahkan, penyakit strok kini semakin didominasi oleh pesakit muda.
Statistik menunjukkan, satu daripada empat kes strok kini berlaku ke atas mereka yang berada dalam lingkungan usia bawah 50 tahun.
Di Malaysia, masalah kesihatan itu adalah penyebab utama kematian yang ketiga paling banyak.Berdasarkan rekod Pendaftaran Strok Kebangsaan, terdapat 47,911 kejadian strok dilaporkan pada tahun 2019.
Kebanyakan pesakit mempunyai pelbagai masalah morbiditi yang mana tujuh daripada 10 pesakit perlu bergantung kepada orang lain untuk kelangsungan hidup.
Menurut tinjauan Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide (2016), dianggarkan satu daripada empat rakyat Malaysia akan mengalami strok menjelang tahun 2040 jika tiada langkah pencegahan diambil.
Justeru, Penolong Pengarah Perubatan yang juga Pakar Perunding Perubatan Kecemasan, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Lee Tuan Cheong berkata, adalah penting untuk seseorang bertindak cepat dan mendapatkan rawatan perubatan dengan seberapa pantas jika serangan strok tercetus.
"Sebaik-baiknya ia dilakukan dalam masa 4.5 jam kerana terapi reperfusion (mewujudkan semula bekalan darah) seperti trombolisis dan trombektomi dalam strok iskemia telah terbukti dapat meminimumkan ketidakupayaan,” katanya.
Baca juga: Bahaya detak jantung berdegup laju, jantung boleh berhenti mendadak, picu strok & ganggu emosi
Baca juga: Strok haba ibarat radiator kereta pecah, cepat bertindak waspada tanda awal sebelum ragut nyawa
Dalam pada itu, Pakar Perunding Perubatan Pemulihan dari hospital sama, Dr Foong Chee Chong berkongsi pengetahuan penting tentang perkara yang boleh dilakukan selepas pengurusan awal strok akut.
Ujar beliau, dengan kemajuan perubatan pada hari ini, terdapat banyak proses pemulihan lain yang sesuai untuk mangsa strok.
Antaranya seperti teknologi robotik, rangsangan otak bukan invasif dan realiti maya yang boleh membantu mangsa meningkatkan fungsi dengan lebih baik.
"Salah satu teknologi canggih tersebut ialah exoskeleton gait trainer iaitu sejenis peralatan pemulihan yang dapat membantu pesakit yang baru pulih daripada strok untuk berjalan semula."Secara umum, rawatan pemulihan itu mengambil masa antara satu hingga tiga bulan. Teknologi robotik ini bukan sahaja menyediakan latihan intensif dengan maklum balas yang tepat, malah ia turut menawarkan pelbagai peringkat sokongan bergantung kepada tahap keupayaan pesakit," jelasnya.
Mengulas lanjut, Dr Chee Chong berkata, rehabilitasi juga merupakan rawatan yang penting untuk penghidap kembali ke tahap kesihatan yang optimum.
Baca juga: Angkat berat badan kurangkan risiko strok dan jantung? Ini penjelasan pakar dalam kajian baharu
Oleh itu, pemilihan fasiliti kesihatan yang dilengkapi dengan kepakaran dan peralatan perlu dititik beratkan.
Selain itu, terdapat beberapa jenis senaman yang boleh dilakukan oleh pesakit ketika berada di rumah.
Antaranya senaman fleksibiliti, pengukuhan, imbangan, tugas berfungsi termasuk aerobik.
“Semua senaman yang disyorkan perlu disesuaikan mengikut keperluan individu bergantung kepada tahap stroknya,"katanya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang