Tak lalu nak makan nasi, berat turun jadi 49kg. Ieda Moin kongsi pengalaman potong perut. ‘Jangan cakap akak tak payung’

KALAU sebut nama Ieda Moin, mesti terngiang-ngiang lagu Kau Yang Ku Sayang yang popular sekitar tahun 1999.
Jika sebelum ini penampilan penyanyi dan pelawak yang penuh dengan humor tersebut agak berisi, namun kemunculan susuk tubuh pada majlis iftar baru-baru ini membuatkan ramai terpegun.
Beliau yang hadir memeriahkan Majlis Iftar Singgahsana Glam Hall By Ani Catering bersama Artis, Selebriti dan Media di Plaza Alam Sentral Shah Alam tampil anggun dengan busana hijau.

Saat ditanya tentang penampilan baharu tersebut, Ieda tergelak besar sambil memberitahu baju berusia 15 tahun yang dipakai ketika itu sudah muat.
“Siapa sangka dik, baju zaman anak dara yang akak sudah simpan tepi dah boleh pakai semula, rasa lagi happy dan sihat.

“Paling best, momen dapat kurus perasaan itu hanya ALLAH saja yang tahu. Akak memang teruja dapat pakai baju lama saiz M semula,” ujarnya penuh ceria.
Akui beliau, keputusan untuk menjalani pembedahan biatrik bukan semata-mata untuk cantik tetapi lebih kepada kesihatan diri.

“Sebelum ini, akak ingat hanya ada penyakit tiga serangkai kronik tapi bila check lebih mendalam rupa-rupanya ada risiko kanser pankreas.
“Kanser dik bukan biasa-biasa. Jadi akak nekad nak buat rawatan yang waktu itu harganya bukannya murah,” katanya yang mendapatkan servis sedemikian di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang.
Pantang larang
Nak dijadikan cerita, impak pembedahan memotong hampir 80 peratus perut itu memberi kesan yang berbeza kepada setiap individu.

Bagi Ieda sendiri, beliau sehingga kini masih tak lalu makan nasi dan jika lebih daripada porsi biasa, secara automatik akan muntah.
“Bayangkan berat daripada 73 kilogram (kg) sudah jadi 49kg. Badan jadi ringan dan alhamdulillah risiko penyakit pun berkurang.

“Jujur akak cakap, buat bariatrik ini nak kata banyak pantang larang itu rasanya bergantung kepada orang, tapi kena jaga makan dan bersenam tanpa gagal.
“Mula-mula akak depresi sebab tak faham body akak nak apa sebenarnya, makan itu tak boleh makan ini tak boleh. Sekarang akak dalam fasa boleh makan semua tapi badan reject termasuk nasi,” ceritanya.

Meski berdepan masalah sedemikian, namun pemilik nama sebenar Siti Haida Abdul Moin, 46, bersyukur rezeki dalam bidang seni masih relevan termasuk job dari negara jiran.
“Alhamdulillah, sekarang ini dapat watak yang agak heavy dan antagonis. Kalau dulu selalu job komedi dan watak emak-emak jer. Syukur sekarang banyak dik termasuklah drama komedi dari Singapura.

“Memang lain macam offer lepas badan kecil. Dapatlah orang sponsor baju, kalau dulu merayu raban. Kalau aku tahu dari dulu aku dah buat (bariatrik),” katanya sambil tergelak besar.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang