STROK atau angin ahmar merupakan penyakit yang menyumbang kepada kadar kematian yang tinggi di peringkat global termasuk di Malaysia.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Centers for Disease Control and Prevention (CDC), Amerika Syarikat (AS), setiap tahun lebih 795,000 warganya menghidap penyakit berkenaan dengan 610,000 orang merupakan pesakit baharu. Lebih menakutkan, setiap empat minit akan berlakunya satu kematian.

Di Malaysia, hasil kaji selidik Global Burden of Disease Stroke Statistics Worldwide dan Monitoring Stroke Burden in Malaysia mendapati, strok adalah penyumbang kematian kedua terbesar.

Setiap 100,000 penduduk Malaysia, 150 orang daripadanya menghidap strok dengan kadar kemasukan pesakit harian ke hospital mencecah 92 kes. Percaya atau tidak, hampir 32 kematian dilaporkan setiap hari angkara penyakit berkenaan.

Kredit foto: Thirdman

Meneliti apa itu strok, MyHealth menyatakan, ia merupakan satu keadaan berlakunya penyempitan salur darah pada bahagian otak atau salur darah telah pecah.

Apabila kondisi berkenaan terjadi, ia akan mengakibatkan tisu dalam otak rosak gara-gara kekurangan bekalan oksigen. Organ itu juga akan gagal berfungsi dengan baik.

Disebabkan strok bukan satu penyakit yang boleh dipandang ringan, kami mengetengahkan topik itu dalam program DNA bertajuk Strok Ragut Nikmat Hidup! yang akan disiarkan pada Selasa ini.

Kredit foto: Gustavo Fring

Pakar Perubatan Dalaman, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Sarah Zulaikha Samad yang dijemput sebagai panel berkata, terdapat dua jenis strok utama yang sering berlaku dalam kalangan penduduk tempatan iaitu iskemik dan hemoragik.

Strok iskemik merujuk kepada salur darah yang tersumbat, manakala strok hemoragik adalah keadaan salur darah pecah. Kedua-dua kategori itu akan mengakibatkan darah yang disalurkan tidak dapat dialirkan ke bahagian pembuluh darah otak yang lain.

Di negara ini, 90 peratus penghidap adalah terdiri daripada strok iskemik dan bakinya jenis hemoragik.

Trend baharu

Mengenai gejala-gejala awal, Dr Sarah Zulaikha menyenaraikan empat cara untuk mengenal pasti seseorang bakal diserang strok. Antaranya seperti:

Kredit foto: RODNAE Productions
  • Muka: Ia bergantung sama ada bahagian kiri atau kanan muka seseorang berasa kebas, lemah atau herot.
  • Tangan dan kaki: Anggota tubuh menjadi lemah atau tidak berupaya untuk digerakkan.
  • Percakapan: Berlakunya kesukaran untuk bercakap dan sukar untuk minum air.
    Keseimbangan badan: Tidak dapat berjalan dengan lurus dan tegak.

Healthline turut mengemukakan beberapa simptom lain seperti:

  • Berlaku kekeliruan dan kurang responsif.
  • Penglihatan menjadi kabur, hitam atau berganda semasa berjalan.
  • Pening dan sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba.
  • Sawan, loya atau muntah.
Kredit foto: Emma Bauso

Laman web perubatan itu menambah, terdapat beberapa faktor risiko strok yang sukar dikawal. Antaranya korelasi dengan sejarah keluarga.

Healthline yang memetik kenyataan CDC berkata, kaum wanita lebih terdedah kepada strok dalam semua kumpulan umur berbanding lelaki. Semakin meningkat usia seseorang, kapasiti untuk mendapat penyakit itu lebih tinggi.

Pun demikian, berbeza dengan kenyataan yang dinyatakan Dr Sarah Zulaikha ketika diwawancara dalam program DNA.

Kredit foto: Helena Lopes

Ujar beliau, risiko kaum lelaki lebih besar untuk menghidap strok lantaran gaya hidup merokok dan stres ketika bekerja. Bagi wanita pula, bahayanya akan bertambah selepas golongan itu putus haid.

Kepada mereka yang mempunyai masalah tekanan darah yang tidak terkawal, kolesterol, obesiti termasuk diabetes yang boleh mengakibatkan strok, ia boleh dikawal dengan pemberian ubat dan senaman yang kerap, kata pakar tersebut.

Berdasarkan pandangan saintis sebelum ini, strok terjadi kepada mereka yang berusia 69 tahun ke bawah.

Pun demikian, memasuki era milenium, usia bukan menjadi ukuran lagi. Seperti yang dilaporkan di dada akhbar mahupun di media sosial, mereka yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun dilaporkan meninggal dunia gara-gara penyakit tersebut.

Baca juga: Bawa ibu strok ke bank tapi tertinggal IC, tindakan pegawai bank ini dipuji, siap turun ke kereta ambil cap jari

Kredit foto: Andres Ayrton

Menurut Dr Sarah Zulaikha, fenomena itu tercetus adalah menjurus kepada amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti kurang bersenam dan makan makanan yang tidak sihat.

Dalam pada itu, Very Well Health menyenaraikan beberapa punca lain yang menyebabkan golongan muda menghidap strok. Antaranya:

  • Anemia sel sabit: Penyakit keturunan yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pembentukan sel darah merah.
  • Keabnormalan saluran darah pada otak: Salur darah di dalam otak membonjol atau terdapat kecacatan arteriovena.
  • Penyakit jantung dan kecacatan jantung: Degupan jantung yang tidak teratur, masalah fungsi jantung atau serangan jantung.
  • Hemofilia: Disebabkan oleh keturunan. Darah kurang berupaya untuk membeku dan hal ini boleh meningkatkan strok hemoragik.
  • Jangkitan: Jangkitan yang teruk akan mengganggu sistem imun badan dan sel darah sehingga boleh berlakunya pembekuan.
  • Kanser: Meningkatkan pembentukan pembekuan darah akibat perubahan fisiologi badan.
  • Perubahan hormon: Penggunaan steroid, pil perancang kehamilan atau semasa mengandung boleh mengubah fisiologi saluran darah.

Angkat berat

Kredit foto: Anna Shvets

SinarPlus kemudian menemubual Pakar Perubatan Dalaman, Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nurazam Omar bagi menjawab pertanyaan tentang jenis rawatan yang boleh dilakukan ke atas pesakit strok.

“Seiring dengan kemajuan teknologi dan penambahbaikan ubat-ubatan, mereka yang menghidap angin ahmar jenis iskemik boleh diberikan suntikan ubat cair darah. Namun, hanya sesetengah orang boleh menerima suntikan berkenaan dan tidak semua hospital memiliki kaedah rawatan itu.

“Jika mana-mana pusat perubatan yang ada akses tersebut, hanya pesakit yang datang dalam tempoh empat jam selepas diserang strok sahaja akan peroleh suntikan itu,” katanya.

Bagi penghidap strok hemoragik pula, Dr Nur Azam berkata, lazimnya pembedahan akan dilakukan untuk memberhentikan pendarahan dan memperbaiki salur darah yang abnormal.

Kredit foto: Raul Infante Gaete

Tidak kira apa jua penyakit, semuanya berdepan dengan risiko-risiko tertentu sekiranya prosedur pembedahan dipilih sebagai solusi pemulihan.

Begitu juga dengan angin ahmar yang boleh menyebabkan seseorang koma.

Memberi komentar mengenai perkara itu, Dr Nurazam berkata, proses pembuangan darah beku tidak semuanya dapat dilaksanakan 100 peratus.

“Sisa darah beku yang tertinggal akan bergerak ke hadapan salur darah lalu kembali tersangkut dan menyebabkan ia tersumbat balik. Keadaan itu boleh mengakibatkan pesakit menerima serangan buat kali kedua, tidak berupaya untuk bergerak (lumpuh) atau kemungkinan terjadinya serangan jantung ketika pembedahan sedang dijalankan,” katanya.

Berdasarkan pengetahuan beliau, pakar itu berkata, sebanyak 30 peratus pesakit berpeluang untuk pulih dan dapat menjalani kehidupan normal seperti sediakala selepas rawatan.

Pun demikian, ujarnya, ia bergantung kepada jenis strok. Walaupun hemoragik lebih berbahaya dan memiliki kadar kematian yang tinggi, namun jika pendarahan berlaku sedikit, mereka memiliki peluang tinggi untuk sembuh.

Kredit foto: Victor Freitas

Dalam pada itu, berdasarkan penyelidikan Medicine and Science in Sports Exercise, AS, mengangkat berat kurang dari satu jam setiap minggu boleh melindungi jantung dan otak, lapor Daily Express pada 11 September lalu.

Menurut hasil analisis yang dilakukan ke atas 13,000 orang dewasa, risiko serangan jantung dan strok masing-masing berkurangan sebanyak 40 dan 70 peratus.

Prof Madya dalam bidang kajian saintifik mengenai pergerakan manusia, Universiti Iowa, AS yang juga pengarang kajian itu, Lee Duck-chul berkata, orang ramai mungkin berfikir mereka perlu menghabiskan banyak masa untuk mengangkat beban, tetapi hanya dua set bench presses seperti dumbbel yang mengambil masa kurang daripada lima minit memberi kesan yang baik.

Kredit foto: samer daboul

“Mengangkat apa-apa bebaban yang meningkatkan rintangan pada otot adalah kuncinya.

Iklan

Dengan membina otot, seseorang secara automatik membakar lebih banyak tenaga walaupun mereka tidak aktif seperti melakukan senam aerobik,” katanya.

Baca juga: Tergamaknya! Suami ‘buang’ isteri sakit strok dalam hutan

#KESRESPONDEN

AKIBAT STROK, ANAK-ANAK JAGA RODIAH SEPERTI SEORANG BAYI

PENGORBANAN Siti Mardhiah Zainal Abidin, 22, yang menjaga ibu tersayang Rodiah Abd Majid, 61, yang terlantar akibat strok amat dikagumi.

Ujar pelajar di sebuah universiti tempatan itu, meskipun terpaksa membahagikan masa untuk belajar dan pada masa sama membantu ayah serta abang untuk menjaga ibu, beliau tidak kisah.

Mengimbau kembali bagaimana wanita kesayangannya diserang penyakit itu, Siti Mardhiah berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga berada di rumah kakaknya di Ampang, Kuala Lumpur.

“Ibu tiba-tiba tak boleh bangun dan bercakap, tanpa berlengah kami terus bawanya ke Hospital Ampang,” katanya.

Berdasarkan diagnosis pakar, Rodiah disahkan menghidap strok iskemik (salur darah di dalam otak tersumbat) dan hilang keupayaan untuk menggerakkan anggota badan sebelah kanan.

Iklan

Pada awalnya, beliau diberi bantuan tongkat untuk berjalan. Kemudian ia bertukar kepada kerusi roda dan akhir sekali, hilang keupayaan untuk menggerakkan badan.

Beritahu Siti Mardhiah, sebenarnya tiga hari sebelum kejadian, anggota tubuh sebelah kanan ibu beliau sudah menunjukkan tanda-tanda melemah dan tidak berupaya. Wanita itu juga mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol.

“Saya sedih melihat derita yang ditanggung ibu. Saya pernah terdetik untuk tangguhkan pengajian buat sementara waktu kerana ingin fokus menjaga emak. Nasib baik, pada masa itu, pengajian dijalankan secara dalam talian. Disebabkan ibu sudah terlantar, beliau dijaga seperti bayi. Kami adik beradik bergilir-gilir menguruskan dirinya daripada A sampai Z,” katanya.

Kepada SinarPlus, Siti Mardhiah berkata, beliau tidak akan berputus asa membantu ibu tercinta untuk kembali sembuh, meski sedar proses penyembuhan mengambil masa yang lama.

“Bukan saya saja, anak-anak lain semakin peka dengan kesihatan ibu. Kami akan beri ubat mengikut waktu yang telah ditetapkan. Pemakanan beliau juga dijaga rapi. Makanan tinggi dengan kolesterol memang dielakkan walaupun itulah yang beliau paling suka,” katanya.

Setelah hampir setahun terbaring, Rodiah menunjukkan perubahan positif. Beliau kini boleh berbicara walaupun kata-katanya kurang difahami.

Baca juga: Maut akibat strok ketika masih muda, ini fakta yang ramai kena ambil tahu

Baca juga: 2 kali ganda risiko diserang strok, wanita usia 35 tahun perlu tahu ini

Kredit foto utama: Andrea Piacquadio & cottonbro

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi