SEJAK di bangku sekolah lagi, Ena Mardiah Ahmad sudah mempunyai simptom resdung. Namun ketika itu, beliau tidak menyedari implikasi buruk kepada masalah kesihatan tersebut.

Sebagai tetamu dalam program DNA, Ena Mardiah yang kini berusia 35 tahun berkata, beliau akan mengalami resdung yang teruk seandainya terdedah kepada persekitaran yang berhabuk.

“Susah nak elak daripada situasi itu kerana rumah saya terletak berdekatan dengan jalan raya.

“Saya akan kerap bersin sehingga ada ketikanya saya sudah tidak mampu mengawalnya. Pada waktu pagi pula, resdung akan menjadi-jadi disebabkan cuaca yang sejuk, ” ujarnya.

Beritahu wanita itu lagi, ibu dan kakaknya juga penghidap resdung. Namun, kedua-duanya telah pun menjalani satu pembedahan kecil kerana didiagnos resdung pada tahap kritikal.

“Alhamdulillah, keadaan ibu dan kakak kini kian pulih dan simptomnya juga telah berkurang,” kata anak kelahiran Pontian, Johor itu.

Bercerita mengenai keadaan paling sukar yang pernah dilaluinya, tutur peniaga online itu, telinga kanannya berdesing tanpa henti sepanjang dua minggu.

“Keadaan itu telah menyebabkan saya rasa sangat tidak selesa dan rimas. Paling memberi kesan, saya sangat susah untuk melelapkan mata,” ujar ibu kepada tiga anak ini ketika dihubungi baru-baru ini.

Iklan

Rentetan daripada kejadian tersebut, beliau membuat keputusan untuk membuat pemeriksaan lanjut di hospital.

“Doktor memberi saya ubat penyembur hidung. Pun demikian, beberapa bulan selepas itu saya terpaksa berhenti untuk meneruskan rawatan kerana mengalami alahan teruk ketika mengandung sehingga menyukarkan saya untuk hadir ke pusat perubatan,” beritahunya.

Akhirnya, selepas melahirkan anak ketiga, barulah Ena Mardhiah kembali mendapatkan rawatan bagi mengurangkan simptom yang dialaminya.

Iklan

“Mengambil pengajaran daripada kisah saya ini, saya berharap mereka di luar sana yang berhadapan dengan gejala resdung seperti alahan, kerap bersin dan ‘berat’ kepala, segeralah dapatkan pemeriksaan.

“Rawatan awal boleh membantu memberi keselesaan dalam menjalani kehidupan seharian kita,” nasihatnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!