MESTI ramai dalam kalangan kita takut nak makan organ hati haiwan yang boleh dimakan. Apa tidaknya kita sering dimomokkan dengan stigma itu dan ini jika makan makanan itu.

Ada antara kita yang takut nak makan daging hati dek pelbagai cakap-cakap yang menggusarkan. Antaranya seperti persoalan dalam sebuah page yang dikongsikan ahli kimia, Dr ‎Fatimah Salim‎ ini.

Antara persoalan yang sering dibangkitkan apabila bercakap tentang makan organ hati.

 

Bagaimanapun ini jawapan diulas oleh beliau:

Merujuk kepada ss pertanyaan Ahli MaMa mengenai makanan organ hati.

Hati merupakan organ yang paling tinggi kadar nutrisi. Organ hati kaya dengan nutrisi penting seperti zat besi, kuprum, asid folik, protein, vitamin B12 and vitamin A.

Setiap 100 g organ hati lembu mengandungi sekitar 18 mg zat besi yang mana boleh menampung keperluan harian zat besi yang penting untuk membina sel darah merah.

Namun 100 mg organ hati lembu juga mengandungi 6 kali ganda vitamin A dan 7 kali ganda zat kuprum melebihi keperluan harian (recommended dietary intake- RDI).

Vitamin A merupakan salah satu vitamin yang larut lemak. Apabila diambil secara berlebihan, ia akan disimpan dalam badan.

Pengumpulan vitamin A yang banyak dalam badan boleh menyebabkan ketoksikan. Antara gejala ketoksikan vitamin A adalah gangguan penglihatan, sakit pada bahagian tulang, loya dan muntah.

Kandungan zat kuprum yang berlebihan juga boleh menyebabkan ketoksikan. Antara kesan berlebihan kuprum adalah stres dalaman badan (oxidative stress), gangguan sistem saraf dan boleh membawa risiko penyakit Alzheimer.

Iklan

Oleh yang demikian, organ hati boleh dimakan dan boleh menjadi salah satu sumber nutrisi yang bagus. Cuma usah berlebihan kerana ia berpotensi membawa mudarat.

Untuk individu normal, hadkan pengambilan seminggu sekali sahaja. Apa yang penting ialah ambil tahu tahap kesihatan dan timbang tara antara manfaat dan mudarat setiap makanan kepada kesihatan badan.

Nota:

Iklan

• Organ hati dari jenis haiwan yang berlainan (ayam, lembu, kambing) mengandungi jumlah nutrisi yang berbeza.

• Organ hati berfungsi untuk memproses toksin kepada komponen yang lebih selamat atau lebih mudah dikeluarkan dari sistem badan. Namun, ia tidak menyimpan toksin.

Kredit: FB Fatimah Salim