VAKSIN merupakan pertahanan untuk tubuh menyerang virus.

Ia berperanan mencegah penyakit bahaya, mengurangkan kemasukan ke hospital dan menurunkan kes kematian.

Banyak kempen dijalankan bagi memupuk kesedaran masyarakat terutamanya berkaitan kepentingan vaksinasi Covid-19.

Walaupun telah mencapai kemajuan yang ketara, namun virus tersebut masih kekal menjadi satu kebimbangan.

Penyakit endemik tersebut masih wujud dalam komuniti dan perlu mengambil langkah wajar sekiranya didapati positif.

Pelakon pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh berkata, sebagai seorang individu yang berisiko tinggi, beliau sangat menitikberatkan langkah untuk melindungi diri daripada dijangkiti Covid-19.

Beliau yang sudah mencecah usia 61 tahun pada tahun ini tidak boleh mengambil mudah soal penularan penyakit tersebut terutamanya dirinya yang bergiat aktif dalam industri kreatif.

 

PERISAI PERLINDUNGAN

Kata beliau, cara terbaik untuk mengekang wabak tersebut adalah dengan mengambil suntikan vaksin dan melakukan ujian berkala.

“Saya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjalani ujian COVID-19.

“Dalam bidang tugas saya, kami menjalankan ujian sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya ketika pelancaran kempen MyPELINDUNG baru-baru ini.

MyPELINDUNG adalah kempen pendidikan awam anjuran Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia serta Bulan Sabit Merah Malaysia dengan kerjasama Pfizer Malaysia.

Ia bertujuan membimbing masyarakat ke arah membentuk negara yang lebih bermaklumat dan lebih sihat, mengurangkan ancaman Covid-19 dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan vaksinasi.

Sebagai pengembara tegar juga, Michelle memahami vaksinasi bukan sahaja melindungi kesihatan dirinya sahaja, malah mewujudkan perisai perlindungan untuk orang tersayang.

Tambahnya, meskipun sangat menjaga diri dengan mengamalkan prosedur operasi standard, namun beliau mengakui pernah dijangkiti virus itu sebanyak dua kali.

“Kali pertama saya dijangkiti Covid-19 ketika tayangan perdana filem Everything Everywhere All at Once.

“Saya sangat teruja untuk menghadiri tayangan perdana berkenaan namun dalam perjalanan pulang ke Los Angeles dari San Francisco, saya mengalami batuk teruk dan selesema,” katanya.

Disebabkan pelbagai publisiti untuk filem berkenaan telah dibuat, beliau cuba menafikan dirinya dijangkiti Covid-19.

SIMPTOM RINGAN

Pun begitu, keputusan ujian menunjukkan bintang Hollywood itu positif dan terpaksa menjauhkan diri daripada orang lain bagi melindungi mereka daripada dijangkiti.

Iklan

Ujar anak kelahiran Ipoh, Perak tersebut, beliau bagaimanapun tidak mendapat simptom yang teruk kerana sudah lengkap pengambilan vaksin termasuk dos penggalak.

Mengulas lanjut, Michelle berkata, beliau sekali lagi dijangkiti virus tersebut awal tahun ini.

Jangkitan kali kedua pula menyebabkannya mengalami selesema ringan.

“Saya tidak dapat bayangkan sekiranya dijangkiti Covid-19 sebelum mengambil vaksin dan dos penggalak.

“Virus tersebut terus bermutasi dan kesan yang dialami mungkin lebih buruk,” ujarnya.

Kata selebriti tersohor berkenaan, kehidupan sebenar bukan satu filem aksi yang mana kita tidak mampu menunggu penyelamat datang pada minit terakhir yang dramatik.

Iklan

Baca juga: Michelle Yeoh kini bergelar isteri, kahwini Jean Todt selepas 19 tahun bertunang 

Baca juga:Ibu bangga Michelle Yeoh wanita Asia pertama menang Oscar. ‘Dia menang kerana rajin, berbakat, bijak’ 

Justeru, Michelle menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah segera sekiranya menunjukkan simptom dijangkiti Covid-19.

“Virus Covid-19 kini boleh dirawat dan kita boleh menyelamatkan nyawa dengan mengambil langkah melindungi diri,” ujarnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!