Terjun dari pelampung selamatkan anak, ibu luluh genggaman terlepas, gadis dibawa arus deras. 'Ana timbullah, abah nak jumpa'

Kredit foto: Sinar Harian
Kredit foto: Sinar Harian
A
A
A

LULUHNYA hati seorang ibu apabila hanya mampu melihat anaknya dihanyutkan arus deras ketika bermain pelampung di Sungai Air Beruk, Jalan Kampung Stang, Kampung Kerunai, Gerik.

Saripah Ahmad, 48, sanggup bergadai nyawa cuba menyelamatkan puteri tersayang, Nur Arina Azizan, 20, namun terpaksa menerima kenyataan anaknya itu belum ditemui.

Segalanya bermula apabila gadis berkenaan dikatakan pulang bercuti ke Kampung Jong untuk berkelah bersama 15 ahli keluarga dan sanak saudara.

Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang Ahad lalu, Arina bersama adik perempuannya berusia 11 tahun dan dua sepupunya berumur 11 serta 13 tahun berpelampung menelusuri arus Sungai Air Beruk ke hilir sungai manakala Saripah berpaut pada pelampung.

Bagaimanapun, pelampung Arina dikatakan telah terpisah daripada ahli keluarga lain menyebabkan dia turun sebelum dihanyutkan arus deras.

Bapa Nur Arina, Azizan Md Din setia menunggu.
Bapa Nur Arina, Azizan Md Din setia menunggu.

Ibunya yang melihat kejadian itu telah terjun untuk mendapatkan mangsa menyebabkan dia turut dihanyutkan arus sebelum berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung berhampiran

Malah demi menyelamatkan Arina, Saripah hampir lemas. Beliau yang berjaya diselamatkan orang awam dan sehingga kini dirawat di Hospital Taiping.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu diceritakan suaminya, Azizan Md Din, 60.

"Sesudah diselamatkan, dia (Saripah) yang lemah akibat tertelan banyak air, selalu tanya di mana Dik Na (panggilan kepada Arina)?

"Jam 3.30 pagi tadi dia telefon saya, minta maaf sebab tak dapat selamatkan Dik Na ketika itu.

No Image Caption

"Katanya dia berjaya capai tangan anak tetapi terlepas sebab arus deras. Saya jawab benda sudah hendak jadi untuk menenangkan hatinya," katanya.

Lebih menyedihkan apabila mendengar rintihan Azizan yang mengharapkan anaknya segera ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Ana timbullah anak, abah nak jumpa, ibu nak jumpa", demikian tuturnya semalam meruntun hati.

Azizan turut melaungkan azan dalam nada sebak sebagai usaha membantu pasukan penyelamat menjejaki anak perempuannya itu menimbulkan rasa pilu.

No Image Caption

Malah bapa kepada empat anak itu dilihat menangis sambil berulang kali memanggil nama Arina di tepi sungai sebelum ditenangkan ahli keluarga lain.

"Apa pun keadaannya saya harapkan dia dapat ditemui. Itulah harapan saya.

"Penduduk kampung juga banyak membantu dengan membuat solat hajat di surau. Saya hanya mampu berdoa sebagai ikhtiar untuk dia," katanya.

Kasihnya bapa. Kata Azizan beliau akan setia menunggu di lokasi kejadian sehingga Arina berjaya ditemui.

No Image Caption

Bomba percaya Nur Arina dikhuatiri lemas susulan arus deras selain jarak ke muara itu yang bertemu dengan Sungai Rui hanya sekitar dua kilometer (km).

"Berdasarkan arus air semalam (Ahad) dan hari ini, kita percaya mangsa sudah memasuki Sungai Rui, dari situ ada jarak sekitar 16km sebelum bertemu pula dengan Sungai Perak," kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad.

No Image Caption

Ujarnya lagi, SAR mengalami kesukaran kerana air Sungai Rui keruh hingga menjejaskan aspek visual.

Sehingga artikel ini ditulis, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan. Sama-sama kita doakan agar Nur Arina Azizan ditemui segera.

Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3 [Noor Ainon Mohamed], Harian Metro

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang