'Tahu-tahu kita balik bersama abang...' Anggota TLDM Arman San Hermansa pergi selamanya ketika operasi KD Pendekar, catatan isteri undang pilu
PENYELAM Ranjau Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa, 28, ditemukan tidak sedar berhampiran Kapal Diraja (KD) Pendekar yang karam selepas lebih sejam turun menyelam bersama seorang lagi rakan setugas ketika menjalankan operasi salvaj, pada Rabu.
TLDM menerusi laman Facebook rasminya mengucapkan takziah buat keluarga anggota Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA) itu.
"Seluruh warga Navy People mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham LK I PLM Arman San bin Hermansa.
"Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman," kongsinya.
Dalam pada itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga turut bersimpati dan menitipkan ucapan takziah.
"Menerima satu khabar duka tentang pemergian salah seorang anggota TLDM dalam satu operasi salvaj.
"Salam takziah saya ucapkan buat seluruh keluarga Allahyarham LK I PLM Arman San bin Hermansa. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan bersama golongan yang beriman, insya-ALLAH," tulisnya di Facebook.
Berikut kronologi yang dikongsikan Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohamad menerusi kenyataan media:
1-Katanya, anggota TLDM berusia 28 tahun itu turun menyelam pada 11.11 pagi Rabu di kawasan Perairan Tanjung Penyusop, Pengerang untuk melaksanakan tugas operasi di kapal milik TLDM berkenaan.
2-Pada 12.29 tengah hari, didapati hanya rakan mangsa berusia 24 tahun sahaja yang naik ke permukaan.
3-Usaha mencari segera dilakukan dan berjaya menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedar berhampiran kapal karam.
4-Mangsa berjaya dibawa naik ke permukaan dan usaha untuk menyelamat mangsa dilakukan di atas kapal oleh pegawai perubatan tetapi gagal.
5-Mayat perajurit itu kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru oleh ambulans tentera untuk tindakan prosedur siasatan.
6-Pihak polis terdahulu menerima maklumat mengenai kejadian lemas membabitkan seorang anggota TLDM itu pada 2.50 petang.
7-Mohd Syamsuri mengesahkan kes diklasifikasikan di bawah Laporan Mati Mengejut.
Untuk rekod, KD Pendekar yang dilaporkan tenggelam selepas mengalami kebocoran dipercayai akibat terlanggar objek bawah air, pada 25 Ogos lalu di kawasan Perairan Tanjung Penyusop, Pengerang, Johor.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan semalam berkata, Lembaga Siasatan Khas ditubuhkan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Jenazah mangsa difahamkan akan dikebumikan di kampung halamannya di Lahad Datu, Sabah.
'TAHU-TAHU KITA BALIK SAMA-SAMA ABANG' - ISTERI
Sementara itu, Isteri Allahyarham menerusi hantaran di Facebook menggunakan nama akaun ‘Hanaa Ariana’ berkata, ini kerana kejadian itu masih dalam siasatan pihak berwajib.
"Saya sebagai isteri arwah, meminta jangan ada pihak yang membuat sebarang andaian terhadap insiden yang berlaku kepada arwah suami saya.
"Justeru, insiden ini juga masih dalam siasatan, biarlah hanya pihak atasan dan juga kru yang bertugas pada masa itu yang mengetahui punca insiden dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap tidak ada pihak yang mengeluarkan spekulasi tidak benar dan tidak sahih mengenai insiden tersebut dan memahami keadaan yang dihadapinya ketika ini.
Hanaan dalam satu hantaran sebelum itu sempat berkongsi catatan pilu.
"Beberapa hari ini dia (Arman San) risau saya dan anak di rumah sendirian.
"Kata suami, 'Saya sibuk smpai bulan 1 (Januari)'. Kiranya dalam masa terdekat ini balik Sabah.
"Tahu-tahu kita balik sama-sama abang," kongsinya.
Salam takziah diucapkan buat keluarga Allahyarham Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa yang pergi ketika mencurahkan bakti buat negara. Al-Fatihah.
Sumber: Facebook 1, 2, Harian Metro, Sinar Harian
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang