Datuk tak sedap hati nampak benda terapung rupanya cucu yang hilang, mangsa pertama banjir Kedah. 'Wajahnya pucat, bibirnya kebiruan'
PILU hati seorang datuk apabila cucu tersayang pergi selama-selamanya dalam bencana banjir yang sedang melanda Kedah di rumahnya di Lorong Seri, Jalan Langgar, Alor Setar.
Mohd Hamidan Hashim tidak menyangka benda terapung yang dilihat rupa-rupanya cucu yang dicari-cari, Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2.
"Tak sangka itu cucu saya yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika kawasan ini dilanda banjir petang semalam.
"Saya turun ke dalam longkang dan mengambil cucu saya naik ke tepi longkang dan cuba memanggil namanya berulang kali tetapi tiada tindak balas malah wajahnya pucat dan bibirnya sudah kebiruan," katanya.
HAMPIR EMPAT JAM HILANG
Beliau juga berkata, ketika kejadian, kawasan kampung berkenaan dinaiki air susulan limpahan air Sungai Kedah selain air pasang besar yang berlaku kira-kira jam 3 petang semalam.
"Saya terima panggilan daripada anak kira-kira jam 4.30 petang sebelum terus ke lokasi untuk mencarinya di sekeliling kawasan itu tetapi tidak jumpa kerana air sangat dalam ketika itu.
"Dengan bantuan penduduk kampung, ada yang cuba menyelam mencarinya tetapi tak jumpa sebelum jasad arwah timbul kira-kira jam 8 malam tadi," katanya.
TIDAK SEDAP HATI
Mohd Hamidan berkata, cucu keduanya itu seorang yang aktif dan sangat rapat dengannya sehingga memanggilnya dengan panggilan 'Abah'.
Sejak awal lagi beliau berasa tidak sedap hati apabila dimaklumkan cucunya hilang menerusi panggilan telefon daripada ibu Allahyarham, Siti Nurfarhana, 18.
"Kawasan ini tak pernah banjir pun, tetapi semalam bila air pasang berlaku dan bertembung dengan limpahan air sungai menyebabkan banjir kilat berlaku sehingga menenggelamkan longkang ini.
"Namun saya reda dengan pemergian cucu walaupun sehari sebelum kejadian dia menunjukkan perubahan sikap tidak mahu makan dan mendiamkan diri," katanya.
Siti Nurfarhana berkata, ketika kejadian beliau sedang tidur dalam dalam rumah kira-kira 30 meter dari longkang berkenaan dan menyangka anak bongsu dari dua beradik itu ke rumah nenek mereka tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Anak sulung yang juga abang berusia tiga tahun ketika itu ada di dalam rumah dan saya tak sedap hati dan terus menghubungi ayah sebelum keluar mencari anak.
"Tidak lama kemudian, ada orang kampung beritahu anak saya jatuh longkang yang ketika itu dinaiki air sungai yang melimpah," katanya
Jasad kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan, Derga, Jalan Langgar, Alor Setar.
Artikel berkaitan:
Bermain dengan kakak di anjung rumah, bayi 15 bulan lemas banjir, 7 info kronologi kejadian
Kronologi menyayat hati 3 beradik sehidup semati, maut renjatan elektrik tika harung air banjir
Bersiap ke PPS budak 2 tahun tak disedari hilang, terapung 20 meter dari rumah ibu saudara, ini kronologi menyayat hati
PANDUAN IBU BAPA KETIKA BANJIR
Save The Children menggariskan lima panduan buat ibu bapa dan penjaga tentang penjagaan si kecil ketika bencana banjir melanda.
1-Ikuti panduan pihak berkuasa tempatan. Hindari kawasan yang terjejas. Patuhi arahan jika diarahkan berpindah.
2-Bergerak ke tempat yang lebih tinggi jangan berlengah. Air banjir mendedahkan pelbagai risiko dan bahaya kepada isi rumah.
3-Jauhkan kanak-kanak daripada air banjir.
4-Hindari si kecil dari air banjir kerana ia kotor, membawa bakteria dan mendedahkan mereka kepada renjatan elektrik.
5. Jaga kebersihan kanak-kanak. Pastikan mereka membasuh tangan dengan kerap dan mandi selepas terkena air banjir.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang