Siti Nurhaliza imbau momen bersama Allahyarham Huzz, kongsi Yayasan Nurjiwa bakal tunai haji badal buat arwah
WARTAWAN hiburan terkenal, Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih mesra dengan panggilan Huzz dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 6.10 petang pada Sabtu.
Berita duka tersebut dikongsikan oleh adiknya, Nur-ul Afida Kamaludin menerusi hantaran di media sosial Facebook.
Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, di Bertam, Pulau Pinang malam ini selepas waktu Isyak.
Sementara itu, menjengah ke Instagram milik penyanyi nombor satu negara itu, terdapat satu hantaran yang dimuat naik beliau beserta sekeping gambar sewaktyu melawat Allahyarham sebelum ini.
"Al-Fatihah. Salam takziah kepada seluruh keluarga bekas wartawan Huzz atau nama sebenar, Kamal Huzaini bin Kamaludin yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 petang tadi.
"Seorang sahabat media yang saya kenali sejak dari awal bergelar artis, sentiasa memberikan kerjasama yang baik sepanjang beliau menjadi wartawan dan tentunya kita kehilangan sosok tokoh senior dalam bidang ini.
"Saya dan suami sempat menziarahi allahyarham di hospital, saya bawakan air zam-zam (baru pulang dari Mekah ketika itu), berada bersama-sama beliau dan berbual -bual sekitar 1 jam. Meskipun sakit, beliau tetap tersenyum dan bercerita pengalaman-pengalaman kami bersama sepanjang saling bekerjasama.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu turut berkongsi berita bahawa Yayasan Nurjiwa bakal menunaikan (upah) badal haji untuk arwah.
"Allahyarham juga turut mendapat bantuan daripada Yayasan Nurjiwa sewaktu pihak kami mengadakan majlis berbuka puasa (infaq Ramadan) dan beliau diwakili rakan wartawan untuk menerima sumbangan tersebut.
"Sewaktu melawat beliau, kami juga sempat memberi khabar bahawa pihak Yayasan Nurjiwa akan menunaikan (upah) badal haji buat Allahyarham. Doakan agar urusan badal haji allahyarham dapat pihak kami sempurnakan.
"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh allahyarham dicucuri rahmat dan Allah menempatkan allahyarham di syurga. Semoga urusan pengebumian allahyarham juga berjalan lancar," ungkap TokTi lagi.
Terdahulu, Allahyarham yang merupakan bekas pengarang majalah hiburan popular, URTV terlantar di Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan sejak sekitar Mac lalu selepas disahkan menghidap kanser usus tahap empat.
Penderitaan arwah turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyerahkan sumbangan kepada bekas wartawan itu diwakili Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarahinya di HKL pada 21 Mei lalu.
Antara selebriti yang turut datang ziarah adalah Datin Sofea Jane, Erra Fazira, Ziana Zain, termasuk isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Selain itu, Allahyarham juga seorang penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang