Jamal Abdillah kongsi berita gembira, bakal timang cahaya mata ketujuh. 'Seronok tengok anak-anak. Macam-macam perangai'

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI legenda, Datuk Jamal Abdillah mengumumkan bakal menimang anak ketujuh apabila isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin sedang hamil dua bulan.

Memetik laporan Harian Metro, penyanyi yang kini berusia 65 tahun itu meluahkan rasa syukur dengan kurniaan rezeki tersebut.

“Seronok tengok anak-anak. Macam-macam perangai. Walaupun ada pembantu di rumah jaga anak-anak. Dari masa ke semasa saya ambil pengasuh mengikut hari dan jam.

“Tugas mereka berbeza sedikit, mengajar, bermain serta merancang aktiviti anak-anak ini. Azura dan Issac dah sekolah, jadi senanglah sikit,” katanya.

No Image Caption

Di sebalik kegembiraan tersebut, Jamal memberitahu, isteri kesayangannya itu kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat alahan hamil yang teruk.

"Kepada sahabat sahabat yang isteri alahan mengandung, hati-hati kalau lebih seminggu muntah dan tak makan.

“Kalau diberi ubat tahan muntah, boleh menyebabkan serangan jantung. Sekarang di IJN, doakan kesembuhan untuk isteri saya.

“Sebelum ini dia sudah dimasukkan ke hospital selama empat hari. Hari pertama dia alahan lepas mengandung, dia tak makan, tak minum dan air tak boleh masuk.

“Jadi, dia ditahan di wad selama empat hari dan dibenarkan balik. Tapi balik rumah pun keadaannya sama juga, saya risau dan dia masuk hospital semula empat hari,” ujar pelantun lagu Gadis Melayu itu.

Pemilik nama sebenar, Jamal Ubaidillah Mohd Ali turut mengakui, kesan daripada alahan teruk itu menyebabkan isterinya terkena tiroid dan mengalami sakit tekak.

Pun begitu, beliau bersyukur kerana kesihatan isteri dan anak dalam kandungan dalam keadaan sihat.

No Image Caption

“Kemudian doktor bagi ubat tahan muntah dan tiroid. Kedua-dua ubat ini kita tak tahu yang mana satu yang buatkan otot-otot dia jadi kejang dan tekak dia kejang.

“Tapi nampak hari ini alhamdulillah, dia okey. Kandungan memang sihat. Sekarang memang dia di IJN. Semalam dimasukkan ke salah sebuah pusat perubatan di sini.

“Bila jadi begini, mereka pindahkan isteri ke pakar jantung dan itu yang dihantar ke IJN. Kami sedang tunggu keputusan daripada pakar jantung tapi nampak ada perbezaan dari hari itu,” ujar beliau lagi.

Sekadar makluman, Jamal dan Zai Izzati berkahwin pada 1 April 2017. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan lima anak termasuklah yang terbaru dijangka akan dilahirkan pada awal tahun depan.

Untuk rekod, Jamal pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini dan memiliki dua orang anak lelaki iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.

Sumber: Harian Metro

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang