Definisi Hari Malaysia buat Ezra Kairo dan Zubir Khan, mahu tanam semangat perpaduan anak muda. 'Jangan mudah terkesan provokasi negatif.'

No Image Caption
A
A
A

FENOMENA lagu dwibahasa, Oh My Kandhale (OMK) yang semakin trending dan meniti bibir anak muda nampaknya memberi impak luar biasa terhadap populariti Zubir Khan serta Ezra Kairo.

Meski bergelar pendatang baharu dalam industri seni tanah air, namun karya OMK yang juga merupakan gabungan genre muzik Melayu dan Tamil antara pencetus lonjakan kemasyhuran buat anak jati Selangor dan Kuala Lumpur itu dalam sekelip mata.

Mana tidaknya, lagu dan lirik yang ditulis sendiri oleh dua anak muda tinggi lampai itu menerima lebih 4.3 juta tontonan di saluran Youtube, selain mengunguli carta muzik lokal dalam platform digital.

Sesuai dengan sambutan Hari Malaysia yang disambut seluruh rakyat berbilang kaum, SinarPlus mempelawa dua jejaka bersuara lunak tersebut sebagai wajah muka hadapan pada minggu ini.

No Image Caption

Tampil bergaya bersama dua pegawai pengiring dan seorang pegawai perhubungan awam agensi, XO House Malaysia, pemilik nama sebenar Daniel Ezra Muhamad Shafiq Nickleson itu penuh santun ketika disambut penulis.

Sementara menunggu ketibaan Zubir Khan yang datang berasingan, Daniel Ezra atau mesra disapa Ezra ramah menjawab satu persatu soalan yang dilontarkan sambil wajahnya dioles rapi jurumekap rasmi kami.

Tatkala ditanya mengenai naskhah duet sulung bersama Zubir Khan yang berjaya menambat hati peminat, Ezra yang berusia 23 tahun itu sangat bangga dengan pencapaian itu.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Boleh dikatakan baru setahun jagung bergelar penyanyi, artis rakaman di bawah label EMI Music Malaysia itu sebelum ini hanya dikenali lagu berbahasa Inggeris.

“Saya sebenarnya sudah lama bergerak solo dan mula dikenali peminat menerusi aplikasi TikTok dengan banyak lagu cover artis tempatan termasuk ratu rock Malaysia, Ella sebelum bernaung di bawah EMI.

“Saya akui lagu OMK membawa tuah kepada kami berdua sebagai pendatang baharu dalam industri seni dan pada masa sama, ia dapat menyatupadukan semua rakyat khususnya anak muda,” kata peminat sukan renang itu.

Pandangan Ezra turut dipersetujui Zubir Khan. Pada masa sama, pemilik nama sebenar Muhammad Zubir Mohamad Ali itu percaya semua pencapaian tersebut adalah rezeki daripada ALLAH.

No Image Caption

“Saya sangat terharu apabila lagu OMK dinyanyikan semasa perarakan Hari Kemerdekaan ke-67 di Putrajaya baru-baru ini. Tak pernah lagi lagu Tamil dimainkan pada hari paling penting buat rakyat Malaysia.

“Asalnya lagu ini sebenarnya sebagai satu motivasi untuk tunjukkan semangat masyarakat berbilang kaum bersatu menerusi karya kami dan tak sangka ia menjadi viral,” ujarnya yang tampil berseluar jean biru dan kemeja-T putih.

Nilai persahabatan

Melihat keakraban persahabatan antara Zubir dan Ezra tersebut, siapa sangka permulaan perkenalan mereka sejak lima tahun lalu sebenarnya terselit satu kisah lucu.

No Image Caption

“Ramai yang sangka kami kenal selepas disatukan di bawah syarikat rakaman yang sama, sedangkan saya sudah kenal Zubir sejak tahun 2019 ketika hadir dalam satu majlis.

“Masa itu, dia buat persembahan lagu Tamil dan saya pun masa jumpa buat pertama kali, tengok dia ‘kerek’ semacam walaupun saya puji nyanyian dia best,” cerita Ezra sambil ketawa besar.

Beritahu komposer berbakat itu lagi, beliau sendiri tidak menduga mereka dipertemukan lagi selepas dua tahun menerusi satu sesi penstriman langsung yang dikendalikan Zubir di media sosial.

No Image Caption

“Dia buat live TikTok masa itu dan saya beri gift nak test sama ada dia masih ingat lagi saya atau tidak. Tak sangka dia tegur balik dan cakap masih kenal saya.

“Selepas itu, kami berhubung dan ajak lepak di rumah. Alhamdulillah, sampai sekarang hubungan kami rapat,” katanya yang berketurunan India Muslim itu.

No Image Caption

Sementara itu, Zubir menambah, ajakan Ezra ketika itu yang mahu bekerjasama menghasilkan lagu bersama termasuk OMK diterima dengan hati terbuka.

“Lagu OMK ini juga ada sentuhan seorang lagi rakan baik kami, Yue Wai Ming. Pada mulanya lagu ini versi Inggeris tapi diubah kepada Melayu dan Tamil,” cerita pelantun lagu Yennode Macha itu.

No Image Caption

Kepada satu soalan, Zubir yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan itu memberitahu, dirinya mula mempelajari bahasa Tamil secara suka-suka ketika umur 10 tahun lagi.

“Masa kecil, saya pernah tinggal di estet, jadi tak rasa kekok bila dikelilingi dengan kawan India. Sejak itu, saya mula belajar bercakap tapi jujurnya tak pandai menulis atau membaca bahasa Tamil.

“Bila ada majlis kahwin, saya suka menyanyi lagu versi Tamil dan Urdu. Kawan-kawan pun tahu saya ada kelebihan itu. Nak dijadikan cerita, selepas habis belajar, saya susah nak cari kerja disebabkan kekurangan pada diri,” ceritanya sedikit emosi.

Namun, berkat galakan keluarga dan kawan-kawan yang mahu beliau mencuba sebagai penyanyi untuk lagu-lagu bukan Melayu membuka lembaran rezeki yang cukup luas.

No Image Caption

Pengenalan lagu yang diubah sendiri seperti Per Yenne Solle, Thevadhai, Nenji Yenghutu, Marainthe Uyire dan Soga Kathai mencatat jutaan tontonan di YouTube.

Tidak sekadar genius mencipta lagu, Zubir juga merupakan pemain bola sepak yang pernah mewakili pasukan untuk posisi sayap kiri hingga ke Liga FAS.

Dibuli

Kepada kami, Zubir yang merupakan pelakon untuk syarikat produksi drama dan filem lokal Tamil itu tidak lokek menceritakan tentang kisah kehilangan tangan kanannya dalam satu kemalangan ketika usianya empat tahun.

“Ramai yang tanya tapi saya sudah tak kisah sebenarnya. Tangan terpotong selepas terkena mesin kek. Pada awalnya boleh diselamatkan tapi disebabkan darah tak jalan, jadi urat mati.

“Tipulah kalau tak ada orang mengejek terutama zaman sekolah rendah, tapi tak semua kerana kebanyakan kawan-kawan sudah kenal saya dari kecil,” ungkap anak bongsu daripada lima beradik itu.

Disebabkan kekurangan tersebut, Zubir pada awalnya gemar menyorokkan kecacatan tersebut dengan beg kerana tidak mahu timbul persoalan yang sama.

No Image Caption

Namun, beliau akhirnya memberanikan diri untuk menyerlahkan tangannya dan bakat tanpa mengendahkan cakap-cakap orang. Komposer berjiwa cekal itu terus positif demi membina nama sendiri.

Tidak hanya Zubir, Ezra juga pernah berdepan insiden buli hingga menyebabkan beliau trauma untuk menempuh zaman persekolahan.

No Image Caption

Tanpa berselindung, graduan Taylor’s University itu mengaku, dirinya hanya mampu bersekolah dalam tempoh seminggu sahaja sebelum berpindah ke institusi lain.

“Kalau dua tiga kali dibuli secara fizikal dan mental, siapa boleh tahan? Saya jenis kalau boleh sabar, tapi ada hadnya. Bila sudah lebih, saya akan lawan.

“Saya ambil pendekatan untuk cerita pada emak segala-galanya dan alhamdulillah saya dipindahkan ke sekolah lain,” kata pemegang Diploma Perniagaan itu.

Pengertian Hari Malaysia

Tidak sempurna sesi temu bual kami tanpa bertanyakan sambutan Hari Malaysia kepada kedua-dua penyanyi berjiwa patriotisme itu sebelum menamatkan sesi pertemuan pada hari tersebut.

Buat Ezra, Hari Malaysia membawakan pengertian cukup mendalam buat semua kerana anak bangsa dapat bergabung di bawah satu bendera yang disayangi.

No Image Caption

“Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia wajar disambut dengan penuh makna sebagai menghargai perjuangan datuk nenek kita dahulu demi mencapai sebuah kebebasan,” tuturnya.

Beliau juga menolak isu perkauman yang sering menjadi modal untuk memprovokasi jiwa anak muda jika komuniti berbilang kaum hidup dengan bersatu.

“Jujurnya, saya sendiri tidak melihat anak muda mudah diumpan dengan isu sedemikian, cuma ia bergantung kepada persekitaran masing-masing. Jika negatif, tak mustahil akan wujud sentimen sebegitu.

“Saya dikelilingi kawan Melayu, Cina dan Pakistan. Semuanya baik-baik belaka. Percayalah, kita semua manusia dan akan kembali ke tanah jua. Jadi, kembalilah kepada asas dan tak salah berkawan dengan semua tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama,” sarannya.

No Image Caption

Begitu juga Zubir yang bersetuju dengan pandangan berkenaan seraya berkata, dirinya sendiri tidak terkesan dengan elemen provokasi yang sering menjadi konten di media sosial.

“Saya tak pernah ambil kisah hal itu sebab percaya Malaysia sebuah negara yang aman dengan rakyat berbilang bangsa dan boleh hidup harmoni.

“Sewajarnya tak patut wujud pemikiran seperti itu sedangkan Malaysia adalah tanah air kita yang patut dibela sebaiknya. Alhamdulilah kawan-kawan saya memang tak ada macam itu,” kata Zubir sambil tersenyum.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang