Trend anak muda kahwin awal, Nabila Razali ' bukan terpengaruh tetapi keinginan..'

No Image Caption
A
A
A

KUAT, satu perkataan yang boleh membawa pelbagai makna dan itulah yang menjadi pegangan oleh penyanyi Nabila Razali untuk tetap kekal dalam dunia hiburan meskipun pelbagai ujian melanda.

Malah dedah anak kelahiran Selangor itu, nasihat tersebut diberikan sendiri oleh wanita penting dalam hidupnya ketika pertama kali beliau menceburi bidang seni.

“Pertama kali nak masuk dalam industri ini, mak dah pesan bahawa dunia artis ini sukar. Walau apapun yang terjadi, kita sebagai perempuan kena kuat.

“Ketika itu Bella rasa macam menyanyi sahaja kan, tetapi bila dah berdepan dengan situasi naik dan turun dalam bidang ini barulah faham apa yang diperkatakan oleh mak.

“Kuat yang dimaksudkan mak Bella tu secara am, termasuklah kuat mental. Macam kita fikir kuat fizikal dah cukup hanya dengan bersenam dan sebagainya, tetapi mental itu lagi penting dari semua benda.

“Kena tahan apa yang orang katakan. Itulah yang membuatkan Bella kuat, malah orang ramai juga menyatakan seperti itu,” katanya pada SinarPlus. Selain itu, ibunya, Shamsidah Abd Rahman turut mengingatkan dirinya supaya menyayangi diri sendiri terlebih dahulu, barulah sayangi orang lain.

“Betul kata orang, kita kena menyayangi diri sendiri terlebih dahulu. Jika tidak, kita akan biarkan sahaja apa orang buat pada badan kita, malah kita juga biarkan diri disakiti semata-mata kerana sayang,.

“Namun demikian, nasihat mak Bella ini sebenarnya boleh digunakan di mana-mana situasi, bukan hanya dalam hal perkahwinan,” kongsinya.

No Image Caption

11 tahun membina nama dalam bidang nyanyian, kemudian pemilik nama sebenar, Nur Nabila Mohd Razali melebarkan sayapnya lebih besar dengan menyertai bidang lakonan pula. Tidak terhenti setakat itu, kini penyanyi yang terkenal dengan lagu Pematah Hati itu menyimpan impian besar menjadi usahawan berjaya.

“Sekarang ini Bella dah mula berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan. Bella baru sahaja mulakan satu produk makanan Ma-dew!, iaitu emping jagung madu yang dikeluarkan hari raya lalu.

“Bella rasa banyak lagi yang kena belajar dan semua ini memerlukan masa, pengalaman dan juga pengetahuan,” ujarnya yang turut mengeluarkan tudung jenama sendiri sebelum ini.

Bagaimanapun, antara ketiga-tiga bidang tersebut, nyanyian menjadi pilihan wanita berusia 32 tahun itu memandangkan itulah platform kerjaya awalnya.

Sementelah, sambutan dan sokongan peminat yang sama-sama menyanyi ketika beliau membuat persembahan memberikan aura positif buat dirinya. Bahkan, itulah yang menjadi asbab beliau berjuang dalam bidang seni sehingga kini.

Apatah lagi, bidang nyanyian adalah minat anak bongsu daripada tiga beradik itu sejak kecil. Justeru, perubahan daripada hobi bertukar kepada pekerjaan yang profesional itu sudah memadai bagi dirinya.

No Image Caption

Setiap orang mempunyai impian tersendiri. Akui Nabila, beliau seorang yang suka mencuba sesuatu yang baharu dan merasa semua benda.

Pada masa akan datang sekitar lima hingga 10 tahun, beliau mengharapkan dirinya mampu untuk membahagikan ketiga-tiga bidang itu secara serentak.

Dalam pada itu, tatkala dilontarkan persoalan impian yang masih belum tercapai, beliau mengimpikan untuk mengadakan konsert dan memiliki album sendiri pada masa depan.

Berkongsi lanjut mengenai kerjayanya, finalis program realiti Akademi Fantasia musim ke-10 itu memberitahu, beliau kini baru sahaja selesai penggambaran drama Bawah Payung Awan.

Pada masa sama, Nabila turut aktif mempromosikan lagu terbaharunya, Tangis yang juga merupakan lagu latar bagi drama yang dilakonkan itu.

Pegang nasihat ibu

Menghampiri tempoh setahun usia perkahwinannya bersama pasangan, Nik Iruwan Nik Izani, tiga perkara asas yang Nabila belajar dan pegang iaitu banyak bersabar, belajar untuk memahami satu sama dan tahu tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri.

“Kami tidaklah bercinta sakan, selepas beberapa bulan berkenalan terus kahwin. Selepas itu, barulah kami lebih mengenali antara satu sama lain.

“Pernah juga saya tanya pada orang yang lebih berpengalaman, bagaimana nak tahu yang seseorang itu jodoh kita. Mereka kata ada orang kenal tujuh tahun pun jodoh tak panjang. Kenal sekejap tetapi jodoh panjang.

“Jadi, semua itu terpulang kepada pilihan masing-masing. Pada masa sama, Bella percaya ada tiga benda yang kita boleh amalkan iaitu sakinah, mawaddah dan warahmah (penuh ketenangan, kebahagiaan dan kerahmatan),“ jelasnya lagi.

No Image Caption

Ditanya tentang pembahagian masa sebagai isteri memandangkan jadual kerjayanya cukup padat, beliau mengakui tetap mencuba untuk buat sebaik mungkin sama ada masak di rumah selain ‘mencuri‘ masa untuk keluar atau pergi bercuti berdua bersama suami.

Dalam pada itu, beliau mengakui suami cukup memahami dan tidak membantah untuk dirinya meneruskan karier sebagai pelakon.

“Setakat ini, suami sangat memahami jika Bella berlakon dengan lelaki lain, sementelah dirinya sendiri bukanlah asing dalam bidang hiburan kerana pernah membuat filem.

“Jadi, dia tahu tentang bidang lakonan itu sendiri. Lagipun, sebelum kahwin, dia sudah tahu yang saya ini seorang pelakon.

“Dia ada tonton drama yang Bella lakonkan, kadangkala saya paksa sebab nak tengok apa reaksinya dengan lakonan tersebut,” seloroh Nabila yang mengakui beliau dan suami masing-masing akan memaklumkan jadual waktu kerja mereka.

Mengulas mengenai perancangan mempunyai cahaya mata, baik Bella mahupun suami, masing-masing menyerahkan urusan tersebut kepada YANG MAHA ESA. Pada masa sama, beliau memohon dititipkan doa yang terbaik buat mereka berdua.

“Jika dikurniakan zuriat nanti, Bella mungkin akan memberi fokus sepenuhnya kepada anak terlebih dahulu. Mungkin dalam masa setahun supaya anak itu rapat dan mempunyai ikatan yang kuat bersama saya dan suami,” ungkapnya.

No Image Caption

Trend kahwin awal

Perbualan kami kemudiannya berkisar pula kepada topik kesihatan terutama dalam hal penjagaan suara.

Beliau yang kini berada di bawah syarikat Nabila Razali Entertainment sejak 2020 mengakui sentiasa memastikan dirinya mendapat tidur dan pengambilan air yang mencukupi.

Selain mengamalkan pengambilan makanan tambahan, dikelilingi dengan persekitaran yang positif dan ‘kecoh‘ antara rahsia pencinta alam sekitar itu sentiasa nampak bertenaga setiap hari.

“Bella kaki borak, suka suasana yang kecoh dan tidak gemar berada dalam situasi yang sunyi,” ujarnya lagi.

Bekas graduan Universiti Sains Malaysia itu turut mendedahkan, dirinya mungkin akan bekerja dalam bidang pembinaan jika dirinya bukan seorang selebriti.

Bahkan, penulis novel Kerana Cinta Itu Ada memberitahu, kehidupan di universiti antara momen yang dirinduinya.

“Waktu itu, kita hanya berdepan dengan masalah belajar sahaja seperti tidak menyiapkan tugasan kerja yang diberikan oleh pensyarah dan sebagainya.

“Berbeza apabila sudah meningkat dewasa, apatah lagi sudah bertukar status selepas mendirikan rumah tangga yang memerlukan banyak komitmen dan pengorbanan,” ulas Bella lagi.

Sebelum mengakhiri perbualan, penulis turut meminta Bella berkongsi pandangan mengenai anak muda masa kini yang mudah terikut-ikut trend untuk kahwin awal.

No Image Caption

“Memang ramai anak gadis yang berimpian untuk naik pelamin, pakai baju pengantin yang cantik serta bercuti bersama suami dan sebagainya.

“Pada saya itu bukan kerana mereka terpengaruh dengan apa yang dilihat menerusi media sosial sehinggakan memilih untuk kahwin awal.

“Keinginan seorang wanita itu tinggi kerana kita mempunyai satu akal tetapi nafsu kita banyak berbanding lelaki. Memang tidak dinafikan ada yang terikut-ikut tapi tidaklah semua.

“Mungkin ada yang rasa dirinya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab, sudah cukup tempoh sebagai orang bujang dan sampai masa untuk berkahwin, jadi itulah sebab kenapa memilih untuk kahwin awal,” ulas Bella lagi

No Image Caption
Play Icon

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang