Isu pasangan curang & PJJ dengan suami, Wany Hasrita pilih berlapang dada. 'Dulu curi-curi tengok telefon, baru tahu... '
FIGURA seni bernama Wany Hasrita ini cukup anggun dan manis orangnya.
Riak wajahnya lembut dan tidak lokek dengan senyuman, selain ramah menjawab setiap butir soalan yang dilontarkan.
Sejak mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata, penampilan beliau tetap sama dan masih aktif dalam industri hiburan.
Biarpun ada segelintir yang beranggapan kelibatnya sebagai anak seni semakin kurang dan lebih fokus kepada keluarga, tanggapan tersebut disangkal oleh pemilik nama sebenar, Nurshazwany Hasrita Hasbullah.
“Alhamdulillah, pejam celik pejam celik dah masuk setahun usia anak saya dan kalau orang cakap saya sudah mula lupakan bidang seni itu tidak benar.
“Keutamaan saya kini memang kepada keluarga, namun itu tidak membuatkan saya perlu mengurangkan aktiviti seni.
“Sehingga kini saya masih sama seperti dahulu, tiada yang berubah walaupun sudah berkahwin dan punya anak,” ujar anak jati Kuala Lumpur itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis memperkenalkannya dan penyanyi Khai Bahar sebagai duta terbaharu produk mi segera Nongshim Shin Ramyun serta pelancaran dua perisa baharu iaitu Nongshim Shin Ramyun Sup Ayam Pedas dan Goreng Keju.
Berkongsi lanjut mengenai status sebagai isteri yang disandangnya, Wany mengakui sehingga kini masih mengamalkan hubungan jarak jauh (PJJ) dengan suaminya yang bekerja di Kuching, Sarawak.
Bak kata tuan punya badan, alah bisa tegal biasa. Situasi tersebut sudah dilalui sejak awal perkahwinan lagi.
“Sehingga kini, saya masih cuba maintain keberadaan dalam industri seni. Bab PJJ dengan suami memang sudah dilalui ketika awal perkahwinan lagi, mujurlah ada pembantu yang sudah lama kenal yang turut menguruskan anak sejak dalam pantang lagi.
“Jadi, tidak risau soal anak kena dera atau sebagainya. Hanya doa yang mampu kami tadahkan supaya dijauhkan daripada sebarang perkara-perkara yang tidak diingini.
“Cuma kalau pembantu cuti dan saya pula outstation, jadi akan ada sedikit masalah sebab anak kena hantar pada opahnya.
“Budak kecil bukan boleh tukar kebiasaannya hari-hari. Lagipun dia tengah membesar. Jadi agak mencabar sedikit,” ungkap pelantun lagu Menahan Rindu itu lagi.
Membesarkan anak sendirianMenyambung bicara soal PJJ, pemegang trofi Penyanyi Wanita Popular dan Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-31 itu mendedahkan, bukan mudah sebenarnya apabila terpaksa berjauhan lebih-lebih lagi perlu membesarkan anak sendirian tanpa suami.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih diberi keadaan minda yang baik walaupun ada masanya burn out, namun saya tidak sesekali berbuat benda yang tidak elok pada anak. Harap sampai bila-bila diberikan kestabilan emosi ini.
“Biasanya suami jadi tempat luah perasaan, waktu itu saya akan hantar pesanan ringkas bertalu-talu macam ‘peluru berpandu’. Lepas meluahkan baru rasa lega.
“Wanita ini sebenarnya mudah sahaja, kalau ada tempat nak luahkan perasaan, seminit kemudian sudah okay. BerWhatsApp sahaja sudah buat saya tenang dan lega,” ujar Wany lagi.
Ditanya sampai bila akan berjauhan dengan suami dan kemungkinan mereka sudah punya perancangan untuk duduk bersama, ini jawapan empunya diri.
“Setakat ini memang suami tidak ada minta untuk duduk dengannya di sana kerana beliau faham situasi kerja saya. Lagipun sejak awal perkahwinan memang kami memahami antara satu sama lain.
“Pun begitu, sebagai isteri, saya tahu suatu hari nanti kena balik (duduk bersama)kerana itu tempat sebaik-baiknya sebagai seorang isteri.
“Cuma bila masanya itu, belum kami putuskan lagi. Setakat ini, suami atau saya akan berulang alik, jika tiada sebarang aktiviti mungkin sebulan sekali,” kongsinya lagi.
Isteri kesayangan kepada Mohd Al-Adib Fahmi Harun itu turut berkongsi luahan dan tip buat wanita lain yang turut melalui situasi sepertinya.
“Secara peribadi, bila berkahwin dan punya anak tak boleh berjauhan sebab penjagaan sepatutnya berdua barulah saling memahami. Situasi sebegini sebenarnya akan menimbulkan ruang untuk banyak isu.
“Nasihat saya bagi pasangan di luar sana, kena rancang betul-betul dan betul apa yang ibu saya cakap, sebelum berkahwin kena ada plan yang betul, kewangan yang kukuh terutama sekali apabila sudah memiliki cahaya mata," ulasnya.
Romantik cara suamiDimanjai dengan kiriman hadiah, bunga atau kata-kata romantik sering dilakukan oleh pasangan yang tinggal berjauhan, sempat penulis mengusik emosi penyanyi Belenggu Rindu itu sama ada sang suaminya berbuat demikian.Sambil tertawa, Wany menggelengkan kepala.
“Saya tak kisah, jika tak dapat pun tak apa. Bunga memang cantik tapi cepat layu, lainlah jika bagi duit, kan. Bila dah jadi mak-mak ni, fikiran sudah lain dan tahu mana yang penting dan tidak.
“Boleh dikatakan suami romantik cara dia waima daripada awal kenal sehinggalah berkahwin dan punya anak. Bab-bab dimanjakan dengan bunga atau hadiah itu memang tiada, kalau nak kena beli sendiri,” seloroh Wany lagi.
Tambah ibu kepada si kecil bernama Aishah Al Iman itu lagi, beliau dan suami menyerahkan soal menambah ahli baharu kepada YANG MAHA ESA dan tidak menolak andai diberikan rezeki tersebut.
Diminta mengulas mengenai isu curang yang kini banyak melanda baik pasangan selebriti mahupun orang biasa, Wany memilih untuk meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada suaminya.
“Saya mengamalkan konsep kita jagalah sebaik mana pun, kalau suami pilih nak buat, akan jadi juga (curang). Malah, hal tersebut bukan hanya terjadi kepada suami saja, isteri pun ada juga.
“Kita ni ada akal boleh fikir sendiri baik buruk dan kalau sudah pilih nak buat benda itu, maka terima lah. Masing-masing sudah dewasa, boleh fikir mana yang baik dan buruk,” ungkapnya.
Pada masa sama, beliau mengakui sentiasa berpegang kepada prinsip, pasangan juga adalah pinjaman daripada YANG MAHA ESA.
“Saya wanita, mesti ada fikir perkara negatif begitu, tetapi pada akhirnya semua ini adalah pinjaman ALLAH.
“Kalau ALLAH nak bolak balikkan hati dia, bila-bila masa pun boleh. Semua terpulang kepada diri sendiri, didik diri kalau marah macam mana sekalipun kena beringat pasangan bukan hak kita selamanya.
“Cuma, saya berharap akan bertenang macam sekarang seandainya perkara seperti itu terjadi kelak. Ujian setiap manusia berbeza-beza, akan tetapi minta dijauhkanlah perkara yang buruk-buruk dalam perkahwinan kami,” katanya lagi.
Ditebak persoalan sama ada pernah membelek telefon bimbit suami secara curi-curi, jujur Wany mengiyakan perbuatan tersebut, namun sudah berhenti berbuat demikian.
“Rupa-rupanya berdosa sebab sengaja cari salah suami, sejak daripada itu saya berhenti berbuat demikian dan sudah meminta maaf pada suami. Sekarang saya berserah dan berdoa semoga yang baik-baik sahaja untuk kami,” kata Wany sambil tertawa kecil.
Menyentuh tentang cara mengeratkan hubungan memandangkan jarang berjumpa, ini jawapan Wany: “Biasanya bila pulang ke rumah, suami memang tak ada rehat dia yang akan uruskan anak sepenuhnya.
“Rutin kami tiga beranak ialah keluar jalan-jalan. Inilah masa dan cara kami untuk eratkan hubungan,” ujar beliau sebelum menutup perbualan bersama SinarPlus.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang