Ainina Ahmad B mohon nama dikeluarkan daripada bantuan zakat lepas anak meninggal: 'Ramai lagi yang lebih perlukan'
DUA hari lepas, akaun Facebook milik Lembaga Zakat Selangor (LZS) dibanjiri komen netizen melalui satu hantaran yang mengatakan seorang anak seni telah menghantar mesej untuk mengeluarkan namanya dari senarai penerima bantuan zakat.
Masing-masing berteka-teki siapakah anak seni tersebut.
Rupa-rupanya insan yang dimaksudkan ialah pelakon veteran, Ainina Ahmad B.
Wanita berusia 56 tahun itu mengaku meminta namanya dikeluarkan daripada senarai penerima zakat, tak lama selepas kehilangan anak istimewanya, Nur Ara Elisya, pada 22 Jun lalu.
Memetik Mstar, Ainina memohon bantuan zakat untuk keperluan khas anaknya. Itu pun kurang daripada setahun.
“Saya gunakan wang sendiri untuk perbelanjaan makan. Bila anak dah tiada, saya rasa tak perlu lagi. Ramai lagi orang lain yang lebih susah dan lebih memerlukan. Biarlah giliran mereka pula,”
“Saya rasa serba salah jika masih mengambil wang bantuan tersebut. Itu duit zakat. Dulu, saya ambil untuk kegunaan anak saya. Saya rasa bersalah sangat kalau ‘makan’ duit zakat.” Katanya.
Sebelum ini, Ainina bergantung pada bantuan zakat untuk menampung kos rawatan dan penjagaan Elisya yang memerlukan perhatian khas sepanjang masa.
Anak bongsu Ainina hasil perkahwinan dengan penyanyi Rahmad Tohak itu pernah menjalani pembedahan tulang belakang di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HUKM) pada Disember tahun lalu.
Pembedahan di bahagian tekak dibuat selepas itu kerana paru-parunya tak dapat bekerja secara normal dan perlukan ventilator.
Arwah Elisya juga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut selama tiga bulan untuk pemantauan rapi.
Selepas melalui prosedur tersebut, dikatakan keadaan kesihatan anaknya yang berusia 15 tahun itu semakin merosot
Kos rawatan yang mencecah RM40 ribu telah ditanggung oleh pihak zakat sebanyak 70 peratus.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu kini mahu meneruskan kehidupan dengan bekerja semula sekiranya mendapat tawaran berlakon dari mana-mana pihak selain turut berniaga.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
