Aktivis dedah pengorbanan Zizi Kirana & Ardell Aryana demi misi kemanusiaan. 'Hebat suami benarkan isteri berjuang'
SORAKAN penonton dan gemerlapan pentas barangkali jadi impian ramai, tetapi bagi Zizi Kirana dan Ardell Aryana, ada panggilan jiwa yang jauh lebih besar.
Dua nama popular itu memilih jalan berbeza – menolak peluang lumayan demi menyertai misi kemanusiaan ke bumi G.
Kisah menyentuh hati tersebut dikongsi oleh aktivis kemanusiaan, Musa Nuwayri, menerusi laman Facebook miliknya.
Catatan berkenaan pantas meraih perhatian kerana membongkar sisi pengorbanan artis yang jarang ditonjolkan.
Menurut Musa, Zizi yang juga isteri kesayangan Yusuf Bahrin itu membuat keputusan mengejut apabila rela membatalkan sebuah konsert besar di Sibu, Sarawak yang sepatutnya berlangsung pada malam kemerdekaan.
Bayaran yang ditawarkan sudah tentu lumayan, namun bagi Zizi nilai kemanusiaan jauh lebih tinggi daripada angka di atas kontrak.
Wanita kecil molek tersebut bukan asing dalam dunia hiburan.
Bermula sebagai peserta Akademi Fantasia dan kemudian dikenali dengan imej berani, penyanyi kelahiran Sabah ini kini tampil lebih matang selepas berhijab.
Perjalanan seninya penuh transformasi, daripada hanya dikenali dengan lagu rancak kepada menjadi artis versatil yang mampu menyanyikan pelbagai genre.
Namun di sebalik semua itu, dia tidak pernah meninggalkan sisi kemanusiaan yang kuat dalam dirinya.
Sementara itu, Ardell tidak kurang hebatnya. Isteri kesayangan Nazmi Adhwa itu katanya menolak sebuah jemputan talk di Terengganu dan sebuah tawaran lakonan yang sudah lama dinantikannya.
Malah, Ardell sanggup memulangkan kembali deposit yang telah diterima semata-mata untuk memastikan dirinya benar-benar dapat memberi sepenuh jiwa raga kepada misi tersebut.
Ibu kepada dua cahaya mata tersebut sejak dahulu dikenali sebagai pelakon berbakat yang sering membintangi drama popular. Namun dalam masa yang sama, dia cukup aktif dengan kerja-kerja sukarela.
Malah ketika pandemik COVID-19, namanya sering disebut kerana kesungguhan turun padang membantu mereka yang memerlukan. Sikap peduli dan keprihatinan itu terus dibawa sehingga kini.

SOKONGAN SUAMI
Dalam hantaran tersebut, Musa turut menyanjung tinggi para suami selebriti berkenaan.
Manakan tidaknya, restu yang diberikan menjadikan pengorbanan ini lebih bermakna. Dalam rumah tangga, bukan mudah untuk seorang isteri meninggalkan keluarga demi misi berisiko tinggi di luar negara.
Namun, sokongan padu daripada insan bergelar suami memberi kekuatan luar biasa buat Zizi dan Ardell.
“Hebat. Dan sangat hebat suami mereka yang membenarkan isteri keluar berjuang.
"Mereka berkorban itu dan ini, tidak lain tidak bukan, demi saudara kita di G!," ungkap Musa lagi.
Ayat ringkas itu cukup membuat ramai pembaca sebak. Warganet membanjiri ruangan komen dengan kata-kata kagum, mengakui terinspirasi dengan keberanian dua selebriti ini yang meletakkan kemanusiaan mengatasi populariti, wang dan kerjaya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

