Aliff Syukri menangis lepas dibebaskan kes ‘Kelepuk Raya’, anggap kemenangan luar biasa – 'Saya ingat nak didenda RM200K'
SIAPA sangka, hanya kerana sebuah lagu raya, hidup Datuk Seri Aliff Syukri boleh berubah 360 darjah.
Gara-gara muzik video ‘Kelepuk Raya’ yang dilancarkan tiga tahun lalu, usahawan sensasi itu terpaksa melalui detik penuh debaran apabila didakwa di mahkamah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan berunsur sumbang.
Selama tiga tahun jugalah beliau menanggung tekanan, berdepan kecaman netizen dan berprasangka bahawa dirinya bakal didenda ratusan ribu ringgit.

Namun pagi Rabu lalu, segalanya berakhir dengan plot twist yang cukup mengejutkan.
Ketika hadir di Mahkamah Sesyen Sepang, Aliff benar-benar menyangka dirinya akan dijatuhkan hukuman berat.
Bahkan dalam hati, sudah terlintas angka RM200,000 yang mungkin terpaksa dilunaskan sebagai denda. Tetapi rezeki berpihak kepadanya apabila hakim mengumumkan beliau dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan.
“Apa reaksi saya? Terkejut sangat bila dibebaskan,” katanya penuh sebak selepas prosiding selesai.
Menurut Aliff, sepanjang tempoh menunggu keputusan, dia hampir hilang semangat, malah sukar tidur kerana terlalu risau dengan nasib yang menanti.
Saat mendengar perkataan ‘bebas’, hatinya bagai tidak percaya dan air mata pun tumpah tanpa dapat ditahan. Katanya, inilah kemenangan luar biasa hasil doa dan usaha gigih pasukan peguam bela yang menguruskan kesnya sejak awal.

Keputusan mengejutkan itu sebenarnya berpunca daripada satu kes lain
Tidak mampu menahan emosi, Aliff menangis di hadapan hakim dan sempat melafazkan janji.
“Saya agak beremosi sebab menyangka akan kalah selepas mahkamah mendapati saya bersalah atas semua pertuduhan.
“Syukur Alhamdulillah, gembira sangat. Selepas ini saya akan beri versi yang lebih baik dalam lagu raya baharu,” katanya.” katanya dengan penuh rasa insaf.
Bagi yang mungkin sudah lupa, muzik video “Kelepuk Raya” pernah menjadi bualan hangat kerana menampilkan sekumpulan penari lelaki dengan gaya lembut.
Ramai menganggap ia keterlaluan dan dikhuatiri menormalisasikan budaya songsang. Ketika dilancarkan sekitar Aidilfitri, ia terus mengundang kecaman dan menjadi kontroversi besar, hingga akhirnya membawa kes ini ke muka pengadilan.
Selepas melalui tempoh penuh drama, titik noktah akhirnya tiba. Aliff mungkin berasa lega kerana terlepas daripada denda yang membimbangkan, tetapi lebih penting, pengalaman pahit ini menjadi pengajaran besar buat dirinya.

Dalam berkarya, hiburan memang boleh jadi medium ekspresi, namun perlu juga menjaga batas serta peka dengan nilai dan norma masyarakat.
Kisah Aliff Syukri dengan ‘Kelepuk Raya’ membuktikan bahawa dalam dunia glamor dan penuh sensasi, bukan semua perkara boleh dianggap gurauan atau suka-suka.
Kadang-kadang satu langkah silap boleh mengheret seseorang ke kancah yang panjang.
Namun di sebalik semua itu, kemenangan ini juga menjadi peluang kedua untuk beliau berkarya dengan lebih matang, supaya karya akan dikenang kerana kualiti, bukan kontroversi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

