Elfira Loy dedah dorongan ibu kunci kejayaan, dari kanak-kanak introvert ke pelakon – 'Syukur mak ‘push’ saya'
HANTARAN terbaru penyanyi dan pelakon terkenal, Elfira Loy, di platform Thread mencuri perhatian ramai apabila beliau membuka kisah peribadi mengenai perjalanan kariernya sejak kecil.
Dalam perkongsian itu, pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31 tahun, mendedahkan bagaimana dorongan ibunya sebagai pengurus menjadi faktor utama membentuk kerjayanya dalam industri hiburan yang penuh cabaran.
Daripada seorang kanak-kanak introvert yang takut bercakap dengan orang, kepada bintang popular yang kini dikenali ramai, Elfira menekankan bahawa setiap pengalaman pahit manis dalam dunia lakonan sebenarnya memberi pengajaran berharga tentang kehidupan, disiplin, dan keberanian menghadapi cabaran.

Menurut Elfira, minatnya dalam bidang lakonan bermula sejak zaman kanak-kanak, dan peranan ibunya amat penting dalam membimbingnya.
“Dari kecil mula berlakon. Memang mak yang jadi pengurus. Masa kecil-kecil saya selalu fikir, kenapalah kena buat benda-benda yang kita kena nervous ini.
"Tetapi bila sudah besar, bersyukur sangat mak push saya,” katanya.

Wanita berusia 31 tahun itu menegaskan, hubungan antara anak dan ibu adalah unik, dan orang luar tidak seharusnya membuat andaian tanpa mengetahui cerita sebenar.
“Hubungan antara anak dan mak ini, kalau boleh kita tak payah masuk campur atau buat andaian. She knows," ujarnya lagi.
Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak menafikan, industri hiburan terkenal dengan tekanan dan persaingan sengit. Oleh itu, isteri kesayangan Muhamad Faris Khairol Anuar menekankan kekuatan mental amat penting.
“Industri ini keras, memang kena kuat. Sakit ke merana ke, kena tahu how to switch on and off. Namun, ini semua pilihan.
"Kalau nak jadi yang terbaik, memang kena embrace the hardcore journey,” jelasnya.

Bahkan, Elfira mendedahkan dirinya seorang introvert ketika kecil. Aktiviti harian seperti turun membeli roti pun ditolak kerana tidak mahu bercakap dengan orang. Namun, ibunya tetap mendorongnya menghadiri uji bakat teater di Istana Budaya, walaupun Elfira dan adik-beradiknya menangis kerana enggan pergi.
“Mama tak nak balik selagi tak pergi. Kita orang pergi je dan Alhamdulillah itu pembuka bagi rezeki kami dan diri kami. Banyak kami belajar tentang manusia dan kehidupan,” katanya lagi.
Elfira menegaskan bahawa perkongsiannya bukan bertujuan untuk memuji diri sendiri, tetapi sebagai pesan kepada masyarakat agar lebih menghormati keputusan ibu bapa.

“Ini bukan tentang saya. Tapi apa yang saya nak cakap, jangan pertikaikan apa yang seorang ibu nak buat untuk anak dia kalau kita tak tahu apa-apa langsung.
"Lainlah dah duduk serumah dan bersembang,” katanya.
Dengan pengalaman ini, Elfira Loy membuktikan bahawa disiplin, dorongan keluarga, dan keberanian untuk keluar dari zon selesa adalah kunci penting untuk berjaya dalam industri hiburan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

