A Aida kembali sihat, sedang berehat - 'Berkat doa, sudah boleh bercakap & tidak bergantung bantuan oksigen'
PENERBIT dan pelakon Datuk A Aida dikhabarkan sudah sedarkan diri daripada ditidurkan.
Pemilik nama Zaidah Awang, 55, itu malah sudah mampu bertutur dan bercakap selepas sedarkan diri.
Menerusi Facebook, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga sahabat baik A Aida, Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkongsi berita gembira.

"Keajaiban itu benar pinjaman ALLAH kepada hamba-NYA. Alhamdulillah, sahabat saya, A Aida sudah kembali sihat dan sekarang beliau sedang berehat.

"Kali terakhir saya menziarahinya bersama anak-anak beliau jam 1 tengah hari , 28 September.
"Alhamdulillah, sudah boleh bercakap dan minum. Terima kasih kepada semua rakan-rakan artis, wartawan dan rakan taulan yang bertanya khabar serta mendoakan.
"Semua yang berlaku ini pasti ada hikmahnya. Hidayah milik ALLAH," titipnya.
Sementara itu, kepada mStar, Mohd Izhar mengesahkan wayar pada mulut telah dicabut dan A Aida tidak lagi bergantung kepada bantuan oksigen.
Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan A Aida sepanjang tempoh kritikal.

"Alhamdulillah berkat doa orang ramai di masjid dan rakan-rakan yang tidak putus, dia sudah kembali normal.
"A Aida orang yang baik, pasti ramai yang mendoakan kesejahteraannya," kongsinya.
Terdahulu, anak A Aida, Azeva Natassha, 24, memaklumkan ibunya masih di unit rawatan rapi (ICU) dan tidak dibenarkan menerima kehadiran pelawat bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman.
Imbas kembali, A Aida dimasukkan ke ICU di sebuah hospital akibat rebah selepas melakukan fisioterapi Khamis lalu.
Pengasas dan pengarah urusan syarikat penerbitan A Aida Production itu menjalani pembedahan lutut pada Selasa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

