Air mata Aina Abdul, ungguli AIM24 dengan empat trofi berprestij
AIR mata kesyukuran mengiringi kejayaan manis Aina Abdul apabila penyanyi berusia 31 tahun itu menang besar di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan menggondol empat trofi berprestij termasuk kategori utama Lagu Terbaik menerusi karya hit, Jangan Mati Rasa Itu.
Kemenangan berganda itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Aina sebagai artis wanita paling menyerlah di pentas AIM24 selepas turut diumum sebagai pemenang Vokal Wanita Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Rakaman Album Terbaik.
“Ini satu penghormatan yang cukup besar. Saya benar-benar terharu kerana setiap usaha dan emosi yang dicurahkan dalam karya akhirnya mendapat pengiktirafan,” katanya dengan linangan air mata di pentas.
Tidak ketinggalan mencuri tumpuan, Ernie Zakri turut melakar sejarah tersendiri apabila lagu Masing-Masing hasil kolaborasi bersama pemuzik Indonesia, Ade Govinda, dipilih sebagai pemenang Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik. Lagu sama juga meraih kategori Lagu Paling Tinggi Distrim, sekali gus membuktikan penerimaan hangat pendengar di pelbagai platform.

Lebih manis, album Aura dendangan Ernie turut memenangi Rakaman Album Terbaik, menambah koleksi pencapaian penyanyi berusia 32 tahun itu.
Persembahan eksklusifnya bersama Ade dan Anggi Marito menjadi antara sorotan paling meriah sepanjang malam anugerah.
Sementara itu, Dayang Nurfaizah membuktikan kelas tersendiri apabila album Belagu 2 yang diterbitkan oleh Aubrey Suwito diangkat sebagai Album Terbaik AIM24. Trofi itu turut melayakkan penerbit berkenaan menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV).

Bukan itu sahaja, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Anugerah Sri Wirama – pengiktirafan tertinggi diberikan kepada figura paling berpengaruh dalam industri muzik. Penghormatan itu sekali lagi menegaskan kedudukan beliau sebagai ikon tidak tergugat walaupun lebih dua dekad berkarya.
Antara pemenang lain yang menyerlah ialah Ryenald Guntabid yang berjaya merangkul dua trofi iaitu Artis Baharu Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik, selain Faizal Tahir yang membawa pulang trofi Lagu Perpaduan Terbaik (Bendera) dan Lagu Dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok (Santai).

AIM24 yang bertemakan Kemuncak Segala-Galanya turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Exists, Shila Amzah, Black Hanifah, Masdo, Dolla bersama penyanyi hip-hop Thailand Tobii, selain persembahan finalis Artis Baharu Terbaik.
Malam penuh prestij itu dikendalikan pasangan hos serasi, Sherry Al-Hadad dan Alif Satar.
Secara keseluruhan, AIM24 mempertandingkan 30 kategori termasuk empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.
Senarai penuh pemenang AIM24
ALBUM TERBAIK: Belagu 2 (Aubrey Suwito)
VOKAL LELAKI TERBAIK: Ryenald Guntabid (Lumangau Oku Dika)
VOKAL WANITA TERBAIK: Aina Abdul (Jangan Mati Rasa Itu)
VOKAL KUMPULAN TERBAIK: In-Team (Nasab Nabi)
ARTIS BAHARU TERBAIK: Ryenald Guntabid (Lumangau Oku Dika)
KUGIRAN TERBAIK: Mafidz (Teleportasi)
VOKAL DUO/KOLABORASI TERBAIK: Faizal Tahir & M. Nasir (Campak Bintang)
VIDEO MUZIK TERBAIK: Voodo (KRU)
RUNUT BUNYI TERBAIK FILEM/DRAMA: Hasrat (OST Imaginur)
LAGU ROCK TERBAIK: Saksama (Akim & The Majistret)
LAGU POP TERBAIK: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)
LAGU RAP/HIP HOP TERBAIK: Dannok (Salammusik ft Namawee)
LAGU POP ELEKTRONIK/DANCE TERBAIK: Angkat (Mimifly)
LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK: My Home Is In Your Arms (Daiyan Trisha)
LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK: Divorce in Ghana (Firdhaus)
LAGU INDIA TEMPATAN TERBAIK: Pothum (Sheezay & Hasmita)
LAGU BM TERBAIK OLEH ARTIS LUAR NEGARA: Bertengkar Manis (Rossa & Barsena Bestandhi)
KOLABORASI ARTIS TEMPATAN BERSAMA ARTIS/ KOMPOSER LUAR NEGARA TERBAIK: Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)
LAGU NASYID TERBAIK: Biar Satu Dunia Tahu (Faizal Tahir & Mirwana)
LAGU ETNIK TERBAIK: Cinta Setandan Pisang (Den Manjo & Eda Ezrin)
LAGU PERPADUAN TERBAIK: Bendera (Faizal Tahir)
LAGU TRADISIONAL TERBAIK: Canda Citra Cinta (Hazra Dollah)
KULIT SINGLE/ALBUM TERBAIK: Iman (Irfan Ramos)
SUSUNAN MUZIK TERBAIK DALAM LAGU: Rindu Menyapa (Aubrey Suwito)
RAKAMAN ALBUM TERBAIK: Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul)
RAKAMAN LAGU TERBAIK: Aura (John Jeeves)
LAGU TERBAIK: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul)
LAGU VIDEO TIKTOK TERTINGGI: Santai (Faizal Tahir)
LAGU PALING TINGGI DISTRIM: Masing-Masing (Ernie Zakri & Ade Govinda)
VIDEO MUZIK RASMI TONTONAN TERTINGGI: Sayunk I Love You (Chombi)
ANUGERAH SRI WIRAMA: Datuk Seri Siti Nurhaliza
End
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

