"Alhamdulillah, hadiah hari lahir paling bermakna. Terima kasih sayang.' Syafiq Farhain timang anak kedua

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI Syafiq Farhain yang juga anak kepada legenda rock terkenal Allahyarham Saleem Iklim, jarang membuka kisah peribadi untuk tatapan umum.

Namun, kali ini beliau berkongsi momen manis dalam hidupnya dengan kehadiran cahaya mata kedua. Lebih istimewa apabila dilahirkan pada tarikh ulang tahun kelahirannya sendiri.

"Kelahiran kali ini cukup istimewa kerana jatuh pada hari jadi saya. Ini ibarat hadiah ulang tahun paling manis. Pada saya, cukuplah itu sebagai hadiah yang paling bermakna," katanya penuh syukur tatkala ditemu bual secara eksklusif oleh SinarPlus.

Isteri Syafiq, Alia Nadia, selamat melahirkan bayi kedua mereka yang juga perempuan secara normal di sebuah pusat perubatan di Kuala Terengganu.

No Image Caption

Namun, Syafiq sedikit terkilan kerana tidak sempat menemani isteri di wad bersalin seperti kelahiran anak sulung mereka, Nur Eshal Zahra, yang juga memiliki kisah istimewa apabila lahir pada tarikh 6.6.2024- tarikh yang dianggap cukup cantik.

"Saya berada di Kuala Lumpur kerana komitmen kerja. Bila sampai di Terengganu, semuanya sudah selamat. Saya terharu dan amat berterima kasih atas pengorbanan isteri.

"Dia memang kuat, dan saya tak tahu bagaimana mahu membalas semua jasa dan pengorbanannya," katanya.

Bagi Syafiq, kehadiran cahaya mata kedua ini adalah rezeki yang tidak diduga. Walaupun jarak umur antara anak-anak mereka agak rapat, dia dan isteri menerima berita ini dengan penuh kesyukuran.

"Jarak umur anak-anak agak dekat, tapi kami anggap ini rezeki Tuhan. Walaupun saya tidak dapat banyak membantu isteri menguruskan anak-anak kerana komitmen kerja, saya cuba baiki diri. Saya minta maaf kepada isteri andai selama ini ada banyak kekurangan dari saya," ujarnya penuh rendah hati.

Alia, yang merupakan pengurus kerjaya Syafiq, sebelum ini berhenti kerja demi menjaga anak sulung mereka sendiri kerana bimbang akan keselamatan bayi yang sering menjadi isu dalam masyarakat.

Namun, pemilik nama sebenar, Nursyafiq Farhain A.M Salim berkongsi bahawa mereka sudah berbincang untuk membolehkan Alia kembali bekerja selepas anak kedua mereka besar kelak.

Sambung pengajian

Dalam perkembangan kerjaya, bekas peserta program Big Satge musim pertama itu kini sedang menyusun material untuk lagu baharu selepas single terakhirnya, Sepi, dilancarkan tahun lalu.

Bukan itu sahaja, lelaki berusia 30 tahun itu juga mengambil langkah besar apabila mendaftarkan diri sebagai pelajar diInnovative University College dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.

No Image Caption

"Sebagai suami, ayah, penyanyi dan kini pelajar, memang masa saya sangat terhad. Masa rehat dan tidur pun tak cukup, tapi saya cuba susun supaya semuanya seimbang. Keluarga tetap keutamaan saya," jelasnya yang kini sibuk mengimbangi kerjaya seni dan pendidikan.

Menyentuh soal perancangan keluarga, anak kelahiran Kuala Lumpur berkenaan mengakui bahawa buat masa ini, beliau dan isteri ingin memberi fokus kepada membesarkan dua anak mereka sebelum merancang untuk menambah zuriat di masa hadapan.

"Kami rasa cukup dulu dengan dua anak ini untuk kami besarkan dengan penuh perhatian. Bila semuanya lebih stabil, baru kami fikirkan soal zuriat seterusnya," tambahnya lagi.

Tahniah SinarPlus buat Syafiq dan isteri atas kelahiran bayi kedua.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang