Alyssa Dezek mahu buktikan, mampu cemerlang dalam seni & SPM – 'Kalau nak, kena usaha!'
SIAPA sangka di sebalik wajah manis dan jadual padat sebagai penyanyi serta pelakon remaja, Alyssa Dezek masih mampu mencipta satu lagi kejayaan yang membanggakan.
Kali ini bukan di pentas hiburan, tetapi di medan akademik!
Baru-baru ini, nama Alyssa kembali menjadi sebutan apabila keputusan peperiksaan percubaan SPM miliknya tular.
Pelakon muda itu berjaya meraih 6A, sekali gus membuktikan bahawa disiplin dan usaha berterusan mampu membawa hasil yang manis, walau dalam kesibukan kerjaya.
Namun seperti biasa, kejayaan tidak datang tanpa ujian. Dalam diam, Alyssa turut menerima komen-komen sinis daripada segelintir netizen yang menuduh kejayaannya ‘dibantu’ dan bukannya hasil usaha sendiri. Tapi gadis berusia 17 tahun itu kekal positif.

“Saya memang sibuk dengan penggambaran dan persembahan, tapi cari masa juga untuk belajar.
"Saya nak buktikan kesibukan bukan alasan untuk gagal. Kalau kita betul-betul nak, mesti ada jalan,” ujar Alyssa dengan tenang.
Pemilik nama sebenar, Aryanna Alyssa Dezek berkata demikian dalam sesi temu bual bersama Pakar SPM PTTI, Sir Race.
Walaupun sering dilihat ceria di depan kamera, hakikatnya perjalanan Alyssa sebagai pelajar bukan mudah.
Setiap kali tamat penggambaran, dia akan menyambung sesi ulang kaji atau kelas dalam talian, satu rutin yang kini menjadi kebiasaannya.
“Kadang penat tu memang ada. Tapi saya selalu ingatkan diri, ini semua sementara. Bila dah habis SPM nanti, barulah boleh beri tumpuan penuh pada karier.
"Sekarang, tanggungjawab utama saya masih sebagai pelajar,” kongsinya.
MEMBANGGAKANKELUARGA
Remaja itu turut mengakui pernah rasa putus asa apabila markah ujian tidak seperti yang diharapkan, namun keinginan untuk membanggakan keluarga dan peminat membuatkannya terus bangkit.

“Saya pernah dapat markah yang rendah juga dulu, tapi bila tengok kawan-kawan berjaya, saya pun rasa tercabar.
"Dari situ saya belajar untuk lebih fokus dan banyak bertanya kalau tak faham,” katanya.
Cara Alyssa menyeimbangkan dua dunia, seni dan akademik menjadikan kisahnya inspirasi buat ramai remaja di luar sana.
Dalam dunia penuh hiburan dan gangguan digital, semangatnya untuk terus menimba ilmu patut dicontohi.
Baginya, kejayaan bukan milik mereka yang paling bijak, tetapi mereka yang paling gigih berusaha.
“Kejayaan tu bukan tentang siapa kita, tapi sejauh mana kita sanggup berkorban untuk capai impian.
"Saya percaya kalau kita usaha sungguh-sungguh, ALLAH akan bagi hasilnya,” tambah Alyssa.

Kini, dia menaruh harapan tinggi untuk memperoleh keputusan 'straight A' dalam SPM sebenar tidak lama lagi.
Walau apa pun keputusan nanti, perjalanan yang dilaluinya sudah cukup membuktikan bahawa usia muda bukan halangan untuk berjaya, dan tiada mimpi yang mustahil jika diiringi usaha serta doa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

