'Andre tetap senyum & kuat, kuasa doa saiz tumor...'– Amyza Aznan kongsi perkembangan anak lawan kanser paru-paru
DI sebalik kuntuman senyum yang mekar di wajahnya serta gelagatnya yang suka membuat orang ketawa, pasti tak ramai yang tahu dirinya kini sedang melalui ujian paling berat sebagai seorang ibu.
Pelakon berbakat besar Amyza Aznan, diuji dengan kesihatan anak tersayang, Andre Mikhail Khairul, yang disahkan menghidap kanser paru-paru tahap tiga pada awal Januari lalu.
Sudah hampir setahun perjalanan rawatan dilalui dan ibu berusia 51 tahun ini mengakui, setiap hari adalah perjuangan baharu, antara harapan dan ketakutan yang hanya ibu-ibu mampu faham.
“Kami masih menunggu keputusan imbasan CT scan untuk tentukan langkah seterusnya.
"Kalau tumor dah cukup kecil dan boleh buat pembedahan, doktor akan teruskan.
"Buat masa ini, Andre baru selesai dua kitaran kemoterapi membabitkan lapan sesi,” katanya memetik Berita Harian Online.
Tambah pelakon drama Rindu Kasih itu, anak lelakinya itu kini berada dalam fasa rawatan yang lebih mencabar.
Antara langkah yang dicadangkan doktor ialah prosedur transplant darah pada tulang belakang, bagi memastikan keselamatan saraf dan cecair di bahagian tersebut sebelum pembedahan dilakukan.
“Doktor kata prosedur ini penting untuk lindungi saraf dan cecair di belakang tulang supaya rawatan selepas ini tak rosakkan bahagian itu. Andre juga perlu lalui pemeriksaan jantung di Institut Jantung Negara (IJN),” jelas Amyza lagi.
Namun, pelakon ini mengakui mereka belum membuat keputusan muktamad kerana prosedur itu mempunyai risiko yang agak besar.
“Antara risikonya termasuk jangkitan kuman dan nauzubillah himinzalik boleh membawa maut dalam kes tertentu,” luahnya dengan nada berat.

KETABAHAN ANAK SULUNG
Di sebalik semua kebimbangan itu, masih ada sinar harapan. Amyza berkongsi, hasil dua pusingan rawatan terdahulu menunjukkan perubahan positif apabila saiz tumor mengecil daripada 18 sentimeter kepada 14 sentimeter, sementara bacaan penanda tumor menurun daripada 70,000 kepada 50,000.
“Doktor pun terkejut sebab pada awalnya mereka macam dah hilang harapan. Tapi saya tahu, ini semua kuasa doa yang tak pernah putus. Ramai yang mendoakan Andre, dan saya amat bersyukur,” katanya sebak.
Walaupun tubuhnya lemah, Amyza memuji ketabahan anak sulungnya yang berusia 19 tahun itu. Katanya, Andre jarang sekali merungut.
“Dia tetap senyum, tak pernah mengeluh. Cuma bila kena cucuk atau masuk air garam, dia cakap sakit sikit. Selain itu, dia kuat dan positif,” kongsinya dengan nada bangga.
Sebagai seorang ibu, yang juga bekerja dalam dunia lakonan yang penuh jadual padat, Amyza mengakui bukan mudah membahagikan masa antara kerjaya dan tanggungjawab menjaga anak yang sedang sakit.
Namun, rezeki Tuhan datang dalam pelbagai bentuk.
“Saya bersyukur sebab ada kawan perempuan Andre yang banyak bantu jaga dia di hospital.
"Kalau tidak, memang saya tak terkejar. Kadang-kadang Andre jadi manja sikit, macam nak disuap makan.
"Pernah satu kali dia merajuk sebab saya tak sempat suap dia makan hari sebelumnya,” cerita Amyza sambil ketawa kecil.
Mengulas tentang bagaimana dia mengekalkan fokus dalam kerjaya ketika menghadapi ujian sebesar ini, pelakon itu cuba belajar untuk memisahkan urusan kerja dan peribadi.
“Saya selalu pesan pada diri, semua orang ada masalah masing-masing.
"Bila pergi kerja, tinggalkan semua di luar pintu set. Tak perlu bawa emosi ke tempat kerja.
"Di set penggambaran, saya tetap profesional dan beri yang terbaik,” tegasnya.

AIR MATA IBU
Setiap kali berbicara tentang anaknya, air mata seorang ibu cukup mudah menitis.
“Saya cuma nak Andre sihat, panjang umur dan kuat lawan sakitnya. Dialah nyawa saya.
"Kalau anak demam pun kita dah tak senang duduk, apatah lagi bila dia sakit seteruk ini,” katanya penuh emosi.
Selepas beberapa bulan memperlahankan kerjaya demi memberi tumpuan kepada rawatan anaknya, kini Amyza kembali aktif dalam dunia lakonan.
“Saya mula ambil kerja balik bila tengok dia dah kuat dan boleh urus diri. Minggu depan saya akan mula penggambaran drama arahan Heykal Hanifah, dan satu lagi naskhah untuk Media Prima arahan Amor Rizan,” kongsi Amyza.
Ujian yang dilalui Amyza bukan kecil, namun kekuatan dan kecekalan hatinya menjadi inspirasi buat ramai wanita dan ibu di luar sana.
Di kala ramai mungkin rebah dengan ujian sehebat ini, Amyza tetap berdiri, berpaut pada doa, kasih dan harapan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

