Bangga! Siti Nurhaliza harumkan nama negara, lagu Anta Permana jadi pilihan Raja Charles III

SATU kebanggaan apabila lagu nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Anta Permana menjadi pilihan Raja Charles III untuk dimasukkan dalam senarai ‘playlist’ peribadinya.
Dipetik dari The Sun, lagu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini tersebut menjadi sebahagian daripada program The King’s Music Room di Apple Music iaitu menghimpunkan karya dari negara-negara Komanwel bagi meraikan kepelbagaian muzik dunia.
Lebih membanggakan, nama anak kelahiran Kuala Lipis ini disenaraikan bersama tokoh-tokoh terkenal seperti Beyoncé, Bob Marley, Kylie Minogue, dan Grace Jones, sekali gus membuktikan bahawa keunikan muzik Nusantara turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Senarai lagu yang dipilih dengan teliti ini jelas mencerminkan selera muzik baginda yang begitu luas dan pelbagai budaya dan zaman.

Pilihan tersebut merangkumi pelbagai era serta genre muzik, termasuk irama Afrobeats yang bertenaga, alunan reggae yang santai, serta melodi pop kontemporari yang moden dan segar.
“Sepanjang hidup, muzik memberi makna besar buat saya.
“Itu semua bukan sekadar hiburan, tetapi mampu mengembalikan kenangan, memberi ketenangan dan menyatukan kita dalam kegembiraan,” titah baginda dalam siaran khas itu.

Rakaman The King’s Music Room berlangsung di Istana Buckingham dan memaparkan perjalanan muzik yang membentuk pengalaman serta memori peribadi baginda.
Penghormatan tersebut sememangnya menjadi kebanggaan bagi para peminat muzik tanah air yang tidak menyangka bahawa lagu Melayu berjaya menembusi dan mendapat pengiktirafan dalam seleksi peribadi Raja Britain.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keunikan serta daya tarik muzik tempatan, tetapi juga menunjukkan bagaimana seni dan budaya Nusantara mampu merentasi sempadan dan dihargai di peringkat antarabangsa.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang