Berat badan susut tak lebih 30kg, risiko kena strok. Azhan Rani perlu sentiasa disamping ibu tercinta

No Image Caption
A
A
A

BUKAN sahaja dikenali kerana lakonannya yang sarat dengan emosi, Azhan Rani turut meraih penghormatan ramai atas sikap penyayang dan bertanggungjawab sebagai seorang anak dalam menjaga ibu tercinta yang kini sedang uzur.

Pemilik nama sebenar Azhan Abdul Rani itu turut berkongsi perkembangan terbaharu mengenai ibu tersayang, Salmah Budin yang kini menginjak usia 79 tahun.

Menurut Azhan, keadaan kesihatan ibu tersayang ada pasang surutnya.

Jelasnya lagi, ibunya turut berdepan masalah kurang selera makan sehingga menyebabkan berat badannya menyusut kepada sekitar 29 hingga 30 kilogram (kg).

Keadaan itu sekali gus menjadikan tubuhnya semakin lemah dan memerlukan perhatian penuh serta kehadiran anak-anak di sisi hampir setiap masa.

“Keadaan dia memang up and down, agak uzur juga memandangkan usianya kini sudah 79 tahun.

“Selera makan pun makin kurang, tenaga pun tidak berapa kuat, berat badan sekitar 29 hingga 30 kilogram dan susah untuk naik. Jadi, dia memang perlukan sentiasa ada orang berdamping di sisi,” ujar

No Image Caption



Bagi memastikan ibunya terus menerima nutrisi yang mencukupi, pelakon drama Seribu Tahun itu memberitahu dia turut memberikan susu formula sebagai makanan tambahan, di samping mengikut rutin pengambilan ubat-ubatan seperti yang disarankan oleh doktor.

Bagaimanapun, Azhan tidak menolak untuk mengamalkan rawatan alternatif dalam usaha merawat ibunya, kerana dia tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada ubat-ubatan moden yang hanya memberikan kelegaan sementara.

Apa yang lebih merisaukan adalah risiko ibunya mengalami masalah sakit buah pinggang akibat pengambilan ubat yang tidak terkawal.

Pelakon berusia 49 tahun itu berkongsi bahawa 'syurganya' itu kini menghadapi masalah tekanan darah rendah, yang berpotensi menyebabkan risiko diserang strok selain kerap terjatuh.

"Dia ada masalah tekanan darah rendah dan berpotensi untuk diserang strok, namun setakat ini belum terkena lagi. Selain itu, dia juga kerap jatuh,” jelasnya.

No Image Caption



Azhan berkata demikian ketika ditemui SinarPlus pada pelancaran program Haji TV AlHijrah: Menyambut Panggilan-MU di ibu kota baru-baru ini.

Terbaharu, Azhan kembali mencuri perhatian apabila membintangi telefilem istimewa berjudul Bilal dan Abah, sebuah karya menyentuh hati yang mengangkat perjuangan seorang pemuda Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam menzahirkan kecintaan tulus terhadap agama Islam.

Telefilem sarat emosi itu bukan sahaja menampilkan lakonan mantap Azhan, bahkan turut menggandingkan barisan pelakon versatil seperti Ummi Nazeera, Harun Hashim dan Luqman Hafidz.

Karya menyentuh jiwa tersebut merupakan antara rancangan utama yang bakal menghiasi saluran TV AlHijrah sepanjang musim haji tahun ini, 1446 Hijrah.

Stesen televisyen di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu turut menyajikan deretan program penuh pengisian rohani seperti Alumni Haji, Labbaikallah 2025, 30 Minit bersama Prof. Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Kisah Mutawif, Munajat Arafah serta Dokumentari Umrah Yatim Palestin.

Lebih membanggakan, TV AlHijrah tampil selangkah ke hadapan apabila menjadi antara stesen terawal memulakan siaran Program Interaktif Haji seawal Syawal lalu.

Inisiatif itu bukan sahaja membantu mempersiapkan rohani dan praktikal bakal jemaah, malah mendapat sambutan hangat di semua platform media sosial mereka.

Impak luar biasa musim haji tahun lalu menjadi pembakar semangat buat TV AlHijrah untuk terus melangkah lebih jauh dalam memperkukuh kandungan bercorak kerohanian

Stesen berkenaan mencatat peningkatan syer tontonan sebanyak 40 peratus, sekaligus membuktikan pendekatan yang digunakan berjaya menarik hati penonton pelbagai lapisan.

Program seperti Labbaikallah, Munajat Arafah dan Peristiwa Haji terus mencipta gelombang apabila merekodkan lonjakan lebih 40 peratus dalam rating, manakala segmen baharu Podcast Haji turut mencuri tumpuan dengan lebih 2 juta tontonan.

TV AlHijrah turut mengukir sejarah tersendiri apabila mencatat peningkatan syer tontonan sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata stesen televisyen itu berjaya meraih pencapaian membanggakan dengan menduduki kedudukan ketiga tertinggi dalam kalangan penonton Melayu sepanjang minggu pertama Ramadan.

Menurutnya, pencapaian itu merupakan rekod mingguan terbaik yang pernah dicapai sejak penubuhan stesen tersebut, sekali gus mencerminkan kepercayaan dan sokongan padu penonton setia TV AlHijrah.

“Kesinambungan daripada kempen Haji ini, kita lihat mengapa kita perlu melaksanakan lebih banyak program lagi.

"Sebab pada Ramadan lalu, buat pertama kali kita berjaya menempatkan diri dalam tiga teratas pada minggu pertama Ramadan sekali gus satu pencapaian bersejarah dalam hampir 15 tahun TV AlHijrah bersiaran.

“Alhamdulillah, ia selari dengan selera serta kehendak masyarakat. Contohnya, podcast dan talkshow masih mendapat sambutan hangat, begitu juga drama yang menampilkan karakter-karakter yang dekat di hati penonton,” katanya.

Namanzee berkata, kebiasaanya TV AlHijrah tidak terlalu menumpukan perhatian kepada sambutan Raya Haji kerana tempoh sambutannya yang lebih singkat berbanding Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Namun, selepas strategi diubah dengan menumpukan fokus khusus kepada kempen Haji, sambutan terhadap kempen tersebut sepanjang Ramadan lalu telah meningkat mendadak sehingga mencatat kejayaan luar biasa.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang