'Bila saya down, suami akan selalu tenangkan walaupun dia juga lalui masa sukar...' - Bunga Isme

No Image Caption
A
A
A

BUKAN mudah mengekalkan identiti, lebih-lebih lagi apabila akar tradisi cuba berdiri teguh di tengah arus kemodenan. Namun, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, atau lebih dikenali sebagai Bunga Isme, membuktikan bahawa keyakinan terhadap diri sendiri adalah kunci setiap langkah.

Imej berbaju kurung yang pernah melonjakkan namanya sekitar tahun 2020 masih kekal menjadi sebahagian daripada dirinya. 

Bunga masih mengekalkan imej kemelayuan dalam persembahan, sama seperti lima tahun lalu.
Bunga masih mengekalkan imej kemelayuan dalam persembahan, sama seperti lima tahun lalu.

Bagi Bunga, pilihan itu bukan sekadar fesyen, tetapi simbol perjalanan seni dan identiti sejak mula melangkah dalam dunia hiburan.

“Dulu saya masih belajar, fesyen pun tidak seperti sekarang. Bila fikir nama Bunga, baju kurung memang sesuai kerana corak bunga-bunga padanya. 

"Dalam masa sama, mudah untuk saya ke kuliah dengan berbaju kurung. Kini, saya menyesuaikan gaya dengan keadaan semasa, tetapi busana Melayu itu tetap menjadi pilihan bila mengadakan persembahan dekat dengan peminat,” katanya.

Biarpun setia dengan imej, Bunga tidak pernah takut untuk bereksperimen dalam muzik. Sejak mula menapak dalam industri pada 2019, penyanyi kelahiran Slim River, Perak itu selalu mencari ruang untuk mencuba genre baharu.

No Image Caption

Album penuh pertamanya, Seharum Nama – Bunga, yang dilancarkan pada 8 Ogos lalu di semua platform digital, membuktikan kematangan itu.

Album tersebut menampilkan 10 lagu termasuk Tak Tidur Malam, Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung (feat Noraniza Idris) dan Apadehal (2025 Mix). Setiap lagu dipilih dengan cermat, mengambil kira kesesuaian dengan mood dan cerita yang ingin disampaikan. 

Proses menyiapkannya memakan masa hampir dua tahun, dengan percubaan bunyi yang kreatif seperti Tak Tidur Malam yang awalnya bergenre dangdut sebelum diolah menjadi “vibe spooky” yang unik.

“Tidak mudah memilih lagu. Banyak pilihan dan setiap kali ada karya baru, saya berbincang dengan pasukan sama ada sesuai atau tidak. Itu cara kami bekerja. Saya puas hati dengan hasilnya dan harap peminat juga,” katanya.

Lagu-lagu seperti Dengarkanlah menampilkan pop ballad, manakala Jatuh bernuansa Pop R&B dengan sedikit rap ringan.

Cabaran digital dan kreativiti

Dalam era media sosial, ditanya cabaran terbesar yang perlu dilalui, sosok yang mula dikenali menerusi 16 Baris bersama Joe Flizzow mengakui, cara menyesuaikan diri dengan peredaran zaman adalah ujian terbesar. 

“Sekarang, semua orang boleh jadi pemuzik. TikTok beri peluang sama rata, tapi cabarannya adalah cara kita promosikan karya. Saya banyak belajar daripada artis lain tentang strategi promosi mereka,” ujarnya.

Bunga terbuka untuk bereksperimentasi dalam berkarya.
Bunga terbuka untuk bereksperimentasi dalam berkarya.

Bunga memuji keberanian artis tempatan seperti Dolla dan Mimi Fly yang yakin dan tahu cara untuk mempromosikan muzik mereka. 

Baginya, mengekalkan identiti tradisional sambil bergerak seiring era digital adalah ujian sebenar seorang artis muda.

“Kalau nak buat muzik, jangan separuh jalan. Gunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) untuk membantu, tetapi jangan bergantung sepenuhnya. Bila yakin pada diri sendiri, hasilnya lebih berkualiti,” tambahnya yang pernah dianugerahkan Komposer Muda Berpotensi oleh Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP).

Selain muzik, suami Amzar Sabri dan keluarga menjadi tulang belakang dalam perjalanannya. 

“Di luar, orang melihat diri ini gembira, tetapi hakikatnya saya juga ada waktu-waktu sukar. Suami selalu ada untuk beri semangat. Walaupun diri sendiri ada masalah, dia tidak pernah tunjuk depan saya. Itu yang buat saya terus kuat,” katanya.

Dalam pada itu, dia turut berkongsi cita-cita yang mahu mengembangkan identitinya dalam bidang fesyen. Dalam tempoh lima tahun akan datang, dia merancang mengeluarkan koleksi baju kurung, tudung dan cermin mata yang sinonim dengan imejnya.

“Kalau orang sebut nama Bunga, saya mahu mereka terus terbayang baju kurung. Itu identiti saya sejak mula dan harap suatu hari nanti orang boleh pakai rekaan saya sendiri,” ujarnya yang merindui untuk kembali ke set penggambaran.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang