'Cabaran pasti ada, tetapi kami bersedia' – Sissy Imann terima anak tiri sebagai rezeki dan amanah
PENYANYI dan personaliti terkenal, Sissy Imann, meniti detik bersejarah dalam hidupnya apabila selamat diijabkabulkan dengan jejaka pilihan hati, Dr Zamir Hilman Dr Hamzah, pada 12 Disember lalu.
Majlis akad nikah berlangsung secara sederhana namun bermakna di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, dengan kehadiran ahli keluarga terdekat serta rakan-rakan rapat kedua-dua mempelai.
Momen paling syahdu pastinya apabila Sissy dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohammad Kamil Mustaffa, sekali gus menambah kehangatan dan keintiman pada majlis yang menjadi kenangan terindah buat pasangan itu.
Dalam temu bual bersama SinarPlus semasa majlis resepsi, Dr Zamir mengakui sejak awal lagi beliau telah membuat persediaan rapi, terutama dari segi mental, untuk mendirikan rumah tangga bersama seorang artis.
Menurutnya, memahami dunia pasangan merupakan kunci utama untuk melangkah ke fasa baharu kehidupan.
“Saya hanya 'follow with flow', terima dan hadapi apa sahaja. Pada saya, cabaran pasti ada, kami bersedia.
"Pada masa sama, saya sudah menetapkan pemikiran dan bersedia secara mental,” ungkap Dr Zamir apabila ditanya mengenai kesediaannya bergelar suami kepada seorang artis.
Sissy pula tidak menafikan keterujaannya untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Selain itu, statusnya sebagai ‘ibu segera’ kepada anak-anak hasil perkahwinan terdahulu suaminya turut menjadi perhatian media.
Ketika ditanya sama ada beliau mendapatkan nasihat daripada rakan artis, Sarah Suhairi, yang juga mempunyai anak tiri, ini jawapan Sissy.
“Setakat ini saya tidak meminta tip daripada Sarah, namun dia antara insan terawal yang mengetahui mengenai hubungan kami.
“Bagi saya, kehadiran anak-anak suami ibarat satu rezeki dan peluang menambah pahala. Ia bukan sesuatu yang membebankan, sebaliknya satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas.
“Saya juga sudah bersedia untuk menyesuaikan diri. Setiap keluarga mempunyai dinamik tersendiri dan saya percaya komunikasi serta rasa hormat antara satu sama lain adalah kunci keharmonian,” ujarnya.
Membina kepercayaan
Lebih manis, hubungan Sissy dengan anak-anak tiri berada dalam keadaan baik dan diterima secara positif. Pelantun lagu Dengan Kamu itu turut menghormati keputusan suaminya untuk tidak berkongsi maklumat terperinci mengenai anak-anak demi menjaga privasi dan keselamatan mereka.
“Alhamdulillah, hubungan kami baik. Anak-anak juga selesa dan menerima kehadiran saya. Bagi saya, perkara paling penting adalah membina kepercayaan.
“Dari segi keserasian, tidak timbul rasa kekok kerana kami sudah beberapa kali bertemu sebelum ini. Anak-anak juga sudah biasa memanggil ayahanda dan bonda saya sebagai datuk dan nenek, manakala mereka masih memanggil saya sebagai ‘aunty’.
“Apa pun, hubungan kami sebagai sebuah keluarga berjalan dengan baik,” katanya lagi memetik mStar.
Menyentuh mengenai majlis resepsi pada malam Sabtu yang berlangsung meriah dengan mengetengahkan konsep tradisi Baba Nyonya, Sissy berkata idea tersebut merupakan cetusan bapanya sendiri.
Suasana klasik dan elegan itu berjaya menyerlahkan kehangatan budaya serta kemesraan antara kedua-dua keluarga. Detik ini bukan sahaja menjadi simbol penyatuan dua hati, malah menandakan permulaan sebuah keluarga baharu yang harmoni, diwarnai kasih sayang dan penerimaan antara satu sama lain.
Untuk rekod, Sissy dan Dr Zamir selamat diijabkabulkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Jumaat lalu.
Sebagai mas kahwin, Sissy menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840. Paling mencuri tumpuan pada majlis tersebut adalah barang hantaran berupa nombor plat khas kereta SIS5795’, gabungan simbolik nama Sissy serta tahun kelahirannya, 1995.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
