'Dia pukul, dera saya serta anak.' Uqasha dakwa dipukul Kamal Adli selama empat tahun kahwin

No Image Caption
A
A
A

'DIA pukul saya, dera anak dari awal kahwin sehingga empat tahun ini.'

Tidak dapat menahan air mata, pemilik nama Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu turut mendakwa perbuatan itu dilakukan suaminya, Kamal Adli sejak berumah tangga pada 2021 termasuk ketika hamil.

Ditemui selepas prosiding di Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini, Uqasha ditemani dua peguam mendedahkan dia hanya ingin berpisah dengan cara baik dan selama ini berdiam diri kerana ingin menjaga air muka suami.

Mendakwa mempunyai bukti, aktres itu pada mulanya enggan memperbesarkan isu berkenaan.

"Saya diam. Saya diam. Saya diam. Tak pernah cakap apa-apa.

"Saya ada bukti gambar dan video. Semua saya ada. Cuma saya tidak mahu beritahu semua orang serta perkara ini menjadi satu hal yang besar.

"Selama empat tahun berkahwin dengannya, dia dera mental dan emosi saya. Saya mengandung pun dia boleh pukul lagi," kongsinya.

Ditanya punca dakwaan naik tangan, pelakon berusia 33 tahun itu berkata Kamal Adli tidak boleh bertoleransi.

Artikel Berkaitan:

"Dia tak boleh ditegur dan tiada toleransi. Tidak ada kebersihan.

"Anak saya perempuan dan rumah macam rumah bujang. Lelaki keluar masuk, tidak ada privasi untuk saya dan anak," kongsinya. 

No Image Caption

Sementara itu peguam sivil mewakili Uqasha, Asheeq Ali Seth Alivi mendedahkan empat laporan polis telah dibuat termasuk tiga oleh Uqasha manakala satu oleh ibu pelakon itu berkaitan dakwaan keganasan rumah tangga bermula awal Disember.

Asheeq juga mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang mendakwa kenyataan Uqasha sebagai fitnah untuk memfailkan saman.

"Semuanya melibatkan aduan daripada Usha bahawa dia telah didera dan dipukul, naik tangan dan kaki.

"Biar pihak polis menjalankan siasatan dan daripada pihak saya juga kita akan ambil tindakan yang sewajarnya melalui prosedur mahkamah sivil," tegasnya.

Sementara itu, Peguam Syarie mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian, berkata berikutan Kamal masih mahu mempertahankan rumah tangga bersama aktres itu, mahkamah bersetuju untuk meneruskan kes melalui prosiding hakam, Seksyen 48, yang dijadual pada 12 Januari depan.

Proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi kes perceraian menemui jalan buntu apabila laporan pegawai JKP mengesahkan mereka gagal didamaikan.

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi menasihati Kamal melafazkan satu talak, namun pihak defendan enggan berbuat demikian.

Keengganan pihak defendan melepaskan rumah tangga secara baik menyebabkan kes perlu diteruskan ke prosiding hakam.

Malah ia juga dipengaruhi faktor shiqaq iaitu persengketaan dan perbalahan dalam rumah tangga pasangan berkenaan.

Imbas kembali 1 Oktober lalu, Uqasha memfailkan permohonan perceraian atas alasan tiada persefahaman dan masalah rumah tangga yang berlaku sejak April 2025. 

Untuk rekod, pasangan itu diijab kabul pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Uqaira Hawra, 20 bulan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang