Hariz Hamdan akui pelat Melayu bukan kekurangan, sebaliknya semangat untuk jadi lebih baik
PELAKON muda, Hariz Hamdan, mengakui dirinya tidak pernah terasa hati apabila sering ditegur mengenai pelat ketika bertutur dalam bahasa Melayu. Malah, anak muda berusia 23 tahun itu menganggap perkara tersebut sebagai dorongan untuk memperbaiki diri, bukan kekurangan untuk dipertikaikan.
“Saya tidak salahkan mereka. Malah, saya sendiri sedar sejak habis Hero Remaja, bila cakap Melayu ada pelat. Sebab itu, setiap tahun sekurang-kurangnya sekali saya akan masuk kelas vokal untuk memperbaiki cara percakapan,” katanya ketika ditemui.
Mengimbas kembali zaman kecilnya, Hariz mendedahkan, dia banyak bergaul dengan masyarakat India dan Cina serta lebih kerap menggunakan bahasa Inggeris. Perkara itu menjadikan sebutan Melayunya sedikit berbeza, namun kini, jejaka itu berusaha keras menyesuaikan diri selaras dengan tuntutan kerjaya.
“Dulu masa kecil, saya biasa bercakap bahasa Inggeris. Sekarang bila sudah banyak berlakon, saya cuba untuk perbaiki. Tentu sebagai pelakon kita nak jadi lebih baik. Sebab itu saya ambil kelas vokal supaya lakonan saya lebih mantap,” ujarnya.
Menurut Hariz, pelat itu bukan sesuatu yang perlu disembunyikan, sebaliknya peluang untuk dia belajar lebih banyak mengenai seni pengucapan. Malah, Hafiz menyamakan usahanya itu dengan pelakon luar negara yang sanggup mempelajari slang berbeza demi menjiwai watak.
“Tidak semua pelakon Hollywood orang Amerika, tetapi mereka belajar slang untuk sesuaikan diri. Saya juga belajar bercakap Melayu tanpa slang. Bila ada yang menegur, saya ambil serius sebab mahu kekal lama dalam industri,” katanya.
Mengimbas kembali awal kemunculannya, Hariz tidak menafikan pernah berasa seperti diejek. Namun, setelah lebih lima tahun bergiat aktif, dia menyedari setiap kritikan sebenarnya menjadi suntikan semangat untuk bergerak lebih jauh.
“Mungkin waktu awal kemunculan rasa diejek, tapi sekarang saya nampak ia bukan ejekan, sebaliknya semangat untuk jadi lebih baik. Saya ambil setiap kritikan untuk perbaiki diri sendiri,” jelasnya.
Hariz memulakan kerjaya menerusi program realiti Hero Remaja 2020 dan muncul antara 12 finalis terbaik. Kini, lelaki itu semakin sibuk mengukuhkan namanya dalam bidang lakonan.

Antara projek terbaharu adalah drama Andai Itu Takdirnya yang sedang menjalani penggambaran, manakala drama Seindah Ujian Cinta pula kini ditayangkan di platform Tonton.
“Baru lima tahun saya dalam industri, tapi setiap kali selesai berlakon saya akan nilai semula apa kelemahan untuk diperbaiki. Saya percaya proses ini tidak pernah berhenti,” tuturnya penuh tekad.
Dengan semangat membina diri, Hariz Hamdan bukan sekadar pelakon muda yang mengisi ruang kaca televisyen, sebaliknya seorang insan yang berani menerima kelemahan sebagai jalan untuk mencipta kekuatan baharu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

