Ibu Ziana & Anuar Zain meninggal dunia pada usia 74 tahun akibat kanser hati

No Image Caption
A
A
A

ADA waktunya, kehilangan datang bertimpa-timpa, menguji kekuatan jiwa dan reda hati. Itulah yang sedang dilalui dua beradik seni tanah air, Ziana dan Anuar Zain, apabila sekali lagi diuji dengan pemergian insan paling disayangi.

Belum pun reda kesedihan kehilangan ayah tersayang, kini ibu pula menyusul pergi, meninggalkan duka yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Ibu kepada penyanyi terkenal itu, Robiah Abdul, disahkan meninggal dunia pada malam Rabu.

Perkhabaran pilu itu dikongsikan sendiri oleh Ziana Zain yang memaklumkan arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.42 malam di Hospital Klang, pada usia 74 tahun, selepas berjuang melawan penyakit kanser.

Menurut Ziana, arwah ibunya menghidap kanser hati yang telah merebak ke beberapa organ dalaman lain termasuk usus dan buah pinggang. Keadaan kesihatan arwah semakin merosot sejak kebelakangan ini, namun keluarga tetap setia berada di sisi, menemani hingga ke detik terakhir.

“Mak meninggal dunia pada jam 10.42 malam Rabu. Kami adik-beradik sempat mengadap mak dan menunggu urusan seterusnya,” luah Ziana dengan nada penuh sebak.

No Image Caption

Pelantun lagu Madah Berhelah itu turut berkongsi bahawa kanser yang dihidapi ibunya sudah berada pada tahap serius dan menjejaskan hampir keseluruhan organ dalaman.

Namun sebagai anak, doa dan harapan tetap dipanjatkan agar segala urusan dipermudahkan.

“Mak menghidap kanser hati yang sudah merebak ke usus dan buah pinggang. Kanser itu telah merebak ke seluruh organ dalaman.

"Ampunkan segala dosa mak dan doakan moga arwah ditempatkan dalam kalangan kekasih ALLAH,” kongsinya lagi.

Difahamkan, urusan memandikan dan pengebumian jenazah dijangka dilakukan pada pagi Khamis. Menurut Ziana, jenazah akan diuruskan seawal pagi dan dikebumikan sekitar jam 10 pagi di masjid, dengan kehadiran ahli keluarga terdekat serta kenalan rapat.

Terdahulu, mereka turut diuji dengan pemergian bapa tersayang, Allahyarham Zin @ Zain Abdullah, yang meninggal dunia pada 26 Ogos lalu pada usia 87 tahun.

Kehilangan dua tonggak utama dalam keluarga dalam masa yang singkat pastinya meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja sebagai anak, tetapi juga sebagai insan biasa yang melalui fasa kehidupan penuh ujian.

Semoga Ziana, Anuar serta seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian besar ini. Al-Fatihah buat Allahyarhamah Robiah Abdul, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Sumber: OhBulan!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang