'Kalau duit kahwin pun perempuan kena sediakan...' - Nad Zainal tak pernah tanya pendapatan suami, Ungku Ismail tetap provider 100%

No Image Caption
A
A
A

ZAMAN sekarang mencari lelaki yang sanggup menanggung keluarga sepenuhnya bukan mudah. Ramai pasangan mengamalkan konsep 50-50, tetapi bagi Nad Zainal, prinsipi tu bukan untuknya. 

Dalam temu ramah eksklusif bersama SinarPlus, pelakon Juvana 2 dan Juvana 3 itu berkongsi pandangan jujur tentang tanggungjawab lelaki dalam rumah tangga, dari duit kahwin hinggalah nafkah seharian. 

Apa yang menarik, Nad sendiri tak pernah bertanya pendapatan suami, tapi tetap yakin dia seorang provider sejati!

"Dengan pasangan, saya tidak pernah tanya dia, “Can you provide for me or not?” tapi Alhamdulillah, pasangan saya sekarang ini sebenarnya berbalik kepada konsep Islam sendiri. 

"Suami itu memang kena jadi provider seratus peratus. Tak kisah isteri gaji besar atau tidak, lelaki tetap kena sediakan semua," kongsi Nad.

Dalam masa yang sama Nad menjelaskan bukan tugas wanita untuk menanggung keluarga. Tidak menafikan faktor lelaki mengambil kesempatan, namun jika keadaan memerlukan, ia hanya sekadar membantu sahaja. 

"Untuk zaman sekarang, tak tahulah mungkin kurang pengetahuan tentang Islam ataupun kerana perempuan sekarang lebih ramai yang berkemampuan daripada lelaki, jadi ada yang mengambil kesempatan daripada situasi itu. 

"Cuma untuk menyatakan susah atau senang, saya tidak tahu sebab saya pun tidak pernah hidup sempit. Jadi, apa pun saya rasa tugas memberi nafkah dan menyediakan keperluan memang tanggungjawab lelaki. Wanita hanya perlu bantu-bantu sahaja.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Ini kalau pasangan itu sudah berkahwin, ya. Boyfriend, girlfriend ini tidak termasuk. Hubungan yang haram itu kita tak masuk campur," kongsinya.

Pun begitu, menurut pemilik nama Farah Nadia Zainal Abidin mengeaskan perkahwinan ialah perkongsian hidup dalam susah dan senang, bukan hanya ketika keadaan baik. 

Justeru, pasangan harus saling menyokong antara satu sama lain dan bertimbang rasa.

"Bagi yang sudah berkahwin, misalnya kalau suami kemalangan, cacat atau tidak dapat bekerja, isteri boleh membantu setakat yang mampu. 

"Sebab perkahwinan ini kita kena bersama dalam susah dan senang, bukan waktu susah kita tinggalkan pasangan.

"Namun kalau dari awal lagi duit kahwin pun isteri yang kena sediakan untuk diri sendiri. Kalau tak bersedia nak kahwin, jangan kahwin," kongsi Nad.

Menitip pesanan buat wanita, pelakon berusia 35 tahun itu berpesan pentingnya memilih pasangan yang bertanggungjawab sejak awal bagi mengelakkan wanita menjadi mangsa keadaan dalam rumah tangga.

No Image Caption

"Pilihlah pasangan yang sesuai dengan kita, selidik dulu bagaimana keadaannya. Saya sendiri tidak pernah tanya sebab saya rasa janggal untuk bertanya pada temu janji pertama tentang pendapatan, simpanan dan sebagainya.

"Namun sebenarnya, kita boleh tahu sama ada seorang lelaki itu bertanggungjawab atau tidak. Dari kerjanya dan apa yang dia buat untuk hidup, boleh agak berapa pendapatan sebulan.

"Ada perempuan yang buat begitu, tapi saya tidak. Biasanya kita boleh nampak daripada layanan dan tanggungjawab dia terhadap keluarga. Dari situ kita sudah boleh dapat gambaran bagaimana dia nanti bila bersama," kongsi Nad.

Nasihat Nad kepada wanita bujang, bersabar, nilai kesediaan pasangan dan jangan paksa diri masuk ke alam perkahwinan tanpa persediaan mental serta emosi.

"Jalan-jalan dulu, jangan terlalu awal. Jangan terlalu menyerahkan segalanya dalam bercinta. Jangan percaya seratus peratus ketika bercinta. Fikir dahulu, adakah dia bersedia untuk menjadi seorang lelaki dalam rumah tangga? Adakah dia bersedia untuk berdepan dengan masalah kewangan?

"Sebab perkahwinan ini satu tanggungjawab. Ia bukan hanya untuk bersuka-suka atau sekadar mahu dapatkan anak. Jadi, adakah kamu  dan dia sudah bersedia? Kalau semasa bercinta pun dia tak mampu nak belanja bihun goreng, kamu bolehlah fikirkan. 

"Kamu okay atau tidak? Kalau tak okay, jangan paksa diri. Bertoleransi dan refleksi dahulu. Kalau perlahan-lahan perlu menjauhkan diri, buatlah. Tapi kalau kamu rasa kamu okay dan boleh mengubah dia, cubalah," tuturnya.

Nad ditemui SinarPlus ketika majlis elancaran produk baru Nutox Lifté Youth  di Sunway Velocity baru-baru ini. Produk  yang mengandungi AiyuLift ActiVance, Lacto-PDRN, dan Bakuchiol untuk sokongan kesihatan kulit jangka panjang sekali gus memberi kesan mengangkat (lifting) dan menegangkan (firming) kulit secara ketara dalam masa tiga minit, dengan ketahanan sehingga lapan jam.

Sekadar info, Nad dan suami, pelakon dan pengarah Ungku Ismail mendirikan rumah tangga pada 23 Januari 2023.

Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ungku Indera Puteh Al Maajid, kini berusia dua tahun.

Sebelum ini, Nad pernah mendirikan rumah tangga dengan Muhamad Faliq Amirudin pada 18 Disember 2015, namun berpisah pada 2022. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak, Fahad Ibrahim, 10, dan Budi Kalsom, 5.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang