Kisah RM2: Mawi kenang pertemuan dengan pak cik di tepi jalan gelap
PENYANYI dan pengarah, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi, mengimbas kembali pengalaman yang tidak dapat dilupakan meskipun sudah 25 tahun berlalu, ketika masih bergelut mencari rezeki.
Kisah itu berlaku sekitar jam 3 pagi, sewaktu juara Akademi Fantasia musim ketiga tersebut pulang dari tempat kerja dengan menunggang motosikal Honda lama yang sering digunakannya ketika itu.
Menurutnya, laluan yang dipilih adalah jalan belakang dari Lapangan Terbang Senai menuju ke Kulai, Johor, diketahui penduduk setempat sebagai laluan yang agak berbahaya dan menyeramkan.
“Penduduk setempat tahu bagaimana jalan itu. Tiada lampu, berbonggol dan gelap gelita. Memang seram,” tulisnya menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.
Tambah Mawi, 43, malam tersebut, motosikalnya hampir kehabisan minyak. Duit yang ada di poket hanyalah sekeping wang kertas RM2, yang memang diniatkan untuk mengisi petrol di stesen minyak Shell di Kulai.
Namun, ketika melalui jalan sunyi itu, Mawi terserempak dengan seorang lelaki tua yang melambai-lambai tangan meminta beliau berhenti.
“Pak cik itu berkata, ‘Aku lapar ni! Aku lapar ni!’,” imbas Mawi.

Tanpa banyak berfikir, beliau menghulurkan RM2 yang menjadi satu-satunya wang di poketnya kepada lelaki tersebut tetapi selepas memberi duit itu, suasana tiba-tiba menjadi luar biasa.
“Jantung saya berdebar-debar, badan menggigil, rasa tidak keruan. Saya cepat-cepat pulas throttle, baca apa sahaja surah yang terlintas dalam kepala dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang,” ujarnya.
Mawi berkata, tanpa disedari beliau akhirnya sampai ke rumah dengan selamat walaupun perjalanan penuh debaran itu seolah-olah begitu panjang.
Kisah ringkas tersebut mendapat perhatian ramai pengikut di media sosial yang rata-rata tersentuh dengan nilai kemanusiaan dan keberanian beliau menghulurkan bantuan meskipun ketika itu beliau sendiri dalam kesempitan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
