Lapan saat tidak bernafas sejurus dilahirkan, punca tangan kanan anak bongsu Shuib kurang berfungsi. 'Sebab tu dia dianggap bayi ajaib'
SETIAP anak yang lahir membawa kisahnya tersendiri.
Namun, perjalanan hidup Ayash Affan, anak bongsu kepada pelawak terkenal Shuib Sepahtu bersama arwah isterinya yang juga penyanyi Siti Sarah, adalah sebuah kisah yang penuh keajaiban dan kekuatan.
Diberi gelaran ‘bayi ajaib’ oleh keluarganya, Ayash telah membuktikan bahawa harapan dan kecekalan mampu mengatasi cabaran yang besar.
"Ramai yang bertanya fasal tangan kanan Ayash ini, sebab dia dilahirkan tak cukup bulan dan dianggap sebagai bayi ajaib,"katanya.
Untuk rekod, Ayash dilahirkan pada 6 Ogos 2021 dalam keadaan pramatang selepas ibunya, terpaksa menjalani pembedahan kecemasan. Ketika itu, Siti Sarah sedang bertarung dengan jangkitan Covid-19 dan ditidurkan.
Sayangnya, perjuangannya berakhir tiga hari kemudian, apabila beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Ogos 2021.
Pemergian Siti Sarah meninggalkan duka mendalam buat Shuib dan ketiga-tiga anaknya.
Namun, di sebalik kesedihan itu, kelahiran Ayash membawa sinar harapan. Bagaimanapun, perjalanan awal si kecil itu tidak mudah.
Menurut Shuib, anaknya tidak bernafas selama lapan saat sejurus dilahirkan, menyebabkan doktor terpaksa memasukkan tiub pernafasan terus ke paru-parunya.
"Doktor yang sambut Ayash beritahu, dia tidak bernafas selama lapan saat dan terpaksa masukkan tiub terus ke paru-paru barulah bernafas.
"Disebabkan itu oksigen lambat ke otak dan ada kesan calar di belakang otak, jadi sebelah tangan pada awalnya tidak berapa fungsi,"tambahnya.
Komplikasi ini memberi kesan kepada perkembangan fizikal kanak-kanak lelaki itu. Shuib berkongsi bahawa pada usia dua tahun, Ayash masih menghadapi kesukaran berjalan dengan stabil, dan tubuhnya cenderung senget ke sebelah kanan.
Namun, perkembangan positif mula kelihatan secara perlahan-lahan. Tangannya yang dahulu sentiasa dalam keadaan menggenggam kini semakin boleh dibuka.
“Sekarang, Alhamdulillah, dia sudah mula banyak menggunakan tangan kanannya. Dahulu tangan itu sering menggenggam, tetapi kini sudah boleh membuka sedikit demi sedikit,” ujar Shuib dengan penuh rasa syukur.
Malah, Ayash juga menunjukkan perkembangan luar biasa dalam aspek lain, termasuk kebijaksanaan dan daya pemahamannya yang tinggi.
Walaupun menghadapi cabaran fizikal, Shuib menyifatkan Ayash sebagai anak yang baik dan tidak menyusahkan.
"Walaupun dia lahir tak cukup bulan tapi dia punya otak sangat bijak. Dia baik dan sangat tidak menyusahkan,"ujarnya.
Malah, si kecil itu membesar dalam suasana penuh kasih sayang bersama ayahnya dan tiga adik-beradiknya yang lain iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, dan Ariq Matin.
Keperibadian Shuib sebagai seorang bapa tunggal selepas kehilangan isteri tercinta menjadi inspirasi kepada ramai.
Pada 23 Jun 2023, Shuib melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya apabila mendirikan rumah tangga bersama Watie Nikmatul Adawiyah Hanifiah.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang