Mangsa keganasan rumah tangga, Zahnita kunci mulut, keluarga pun tak tahu. Suami telah ditahan polis
ISU dikasari suami, model dan aktres Zahnita Wilson mengundang simpati ramai. Lama bertahan pelakon yang pernah membintangi filem Kuliah Cinta itu akhirnya bertindak berkongsinya agar dirinya terbela.
Memetik Sinar Harian, sumber terdekat Zahnita yang enggan didedahkan identitinya memaklumkan, selebriti berusia 39 tahun itu berada dalam keadaan sedih dan tertekan.
"Ada satu kejadian berlaku pagi tadi yang membuatkan Zahnita nekad mendedahkan kekerasan yang dilakukan suaminya.
"Jika diikutkan, ini bukan kejadian pertama, tetapi sebelum ini Zahnita pilih untuk menutup mulut sehinggakan ahli keluarganya juga tidak tahu," katanya.
Tambah sumber terbabit, mereka dimaklumkan suami Zahnita iaitu Abdul Zackery Ghouse telah ditahan pihak berkuasa hari ini dan wanita itu perlu ke balai polis untuk memberi keterangan.
"Zahnita dimaklumkan anak sulungnya juga telah dipanggil untuk membantu siasatan dan dia tidak sabar bertemu tiga anak yang lain kerana hanya dapat membawa anak bongsu berpindah dua hari lalu.
"Sama-sama kita doakan semuanya dipermudahkan buat Zahnita," ujarnya lagi.
Memetik portal hiburan tempatan, Zahnita sebenarnya sudah lebih 20 tahun memendam rasa dan cuba menyelamatkan mahligai yang dibina bersama suami.
"Selama ini saya dipukul saya ada buat laporan polis tapi tidak ada apa-apa tindakan. Selama ini saya cuba untuk mempertahankan rumah tangga kami.
"Saya juga pernah minta cerai tetapi dia menjanjikan bumi dan langit. Tetapi tidak lama, dia ulang semula perbuatan mengasari saya. Sudah 20 tahun saya bertahan, cukuplah!" katanya.
Zahnita dalam pada itu merayu agar dipertemukan dengan anak-anaknya kerana sudah seminggu lebih suaminya mengambil mereka dari jagaannya.
"Saya mahukan anak saya, sudah seminggu lebih dia ambil anak saya dan saya sudah tidak tahu apa lagi nak buat.
"Saya terpaksa buka aib, maaf saya tidak boleh simpan lagi. Sudah 20 tahun saya bersabar," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan penahanan suami Zahnita hari ini.
"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 506KK dan akan bawa ke mahkamah esok untuk perintah reman," katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, bekas peragawati itu mengejutkan ramai apabila mendedahkan wajahnya yang lebam pada bahagian mata.
Enggan lagi terus berdiam diri, beliau mengakui terpaksa mendedahkan perkara itu kepada umum dan sekali gus menjawab persoalan ramai mengapa sering memakai cermin mata hitam.
“Saya tidak mahu melakukan ini, tetapi saya terpaksa. Ini adalah sebab kenapa saya tinggalkan rumah lama saya. Dan juga menjadi sebab kenapa saya selalu pakai cermin mata hitam,” tulisnya pada hantaran di media sosial miliknya.
Dua hari sebelum membuat pendedahan mengejutkan ini, wanita berusia 39 tahun itu berkongsi mengenai perpindahannya ke sebuah lokasi bagi menguruskan perniagaan pai.
Sebelum ini, personaliti berdarah kacukan Melayu-New Zealand itu pernah memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013.
Bagaimanapun, ikatan perkahwinan itu dapat diselamatkan dan hubungan mereka kembali pulih.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2005 itu dikurniakan empat cahaya mata, Zahrafeena, Zasharayna, Zahlia dan Zayden.
Sumber: Sinar Harian, mStar
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang