Naim Daniel kelihatan susut, mohon peminat bersabar tunggu perkembangan kes- 'Saya baik-baik saja'

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI dan pelakon berbakat besar, Naim Daniel kembali menjadi perhatian apabila hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi prosiding kedua membabitkan pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada Mei lalu.

Kehadiran Naim, atau nama penuhnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, mencuri tumpuan ramai apabila dia kelihatan tampil dengan wajah sugul dan sedikit susut berbanding penampilannya ketika prosiding pertama sebelum ini.

Bertemu pihak media selepas prosiding, Naim menjelaskan bahawa kehadirannya kali ini hanyalah untuk menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes. Dalam nada tenang, penyanyi berusia 27 tahun itu turut menegaskan dirinya berada dalam keadaan baik.

No Image Caption

“Saya datang untuk serah dokumen sahaja dulu dan alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

"Terima kasih semua. Alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik,” katanya ringkas.

Walaupun berdepan kes mahkamah yang masih berjalan, Naim tidak menolak bahawa dirinya kini kembali sibuk dengan aktiviti seni. Katanya, dia tetap menulis lagu dan dalam masa sama mengambil peluang untuk fokus kepada diri sendiri.

“Saya tengah sibuk dengan muzik balik, menulis lagu juga. Selain itu saya fokus pada diri saya dahulu. Setakat ini alhamdulillah, sama ada dengan atau tanpa perkara ini (kes mahkamah), itu tetap kerja Naim.

"Jadi saya lakukan seperti biasa. Harap semua dapat bersabar untuk menunggu perkembangan seterusnya,” ujarnya.

Pada prosiding terdahulu, pelatun lagu Sumpah itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin M Kunasundary.

No Image Caption

Berdasarkan kertas pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan di sebuah hotel pada 19 Mei lalu sekitar jam 8.56 malam.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan Naim diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Kes berkenaan telah ditetapkan semula untuk sebutan pengurusan pada 19 September depan, sekali gus menjadi tarikh yang akan terus menarik perhatian peminat serta masyarakat terhadap perjalanan kes membabitkan bintang popular ini.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang