Nubhan mohon hentikan spekulasi rumah tangga: 'Cukuplah sampai di sini, fokus saya anak-anak dan Gegar Vaganza'
PENYANYI dan usahawan, Nubhan, kini menjadi tumpuan ramai selepas rumah tangganya dikaitkan dengan pelbagai spekulasi baru-baru ini.
Peserta Gegar Vaganza ke-12 itu memilih untuk membuka hati secara jujur mengenai cabaran yang dihadapinya, sambil menegaskan fokusnya kini adalah kepada anak-anak dan kerjaya.
“Saya rasa tak nak lagi bercakap mengenai perkara ini dan ia patut dihentikan sebab ia tak akan membawa kepada kebaikan.
"Cukuplah sampai di sini sahaja,” ujar Nubhan.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu menegaskan, segala dugaan yang dihadapinya bukan mudah, tetapi dia memilih untuk menyerahkan semuanya pada Yang Maha Esa.
“Saya cuba kuat untuk terus fokus, memang susah. Saya serahkan semuanya kepada YANG MAHA ESA. Sebab apalagi kekuatan kita, saya tak boleh nak buat apa-apa.
"Memang saya akui lemah, kita ni semua orang-orang biasa kan.
"Jadi, saya cuma harap kekuatan dan doa agar terus diberikan semangat untuk meneruskan Gegar Vaganza,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nubhan menekankan kepentingan menjaga privasi rumah tangga.

“Secara umum, saya tahu apa yang saya tengok sebab media sosial kan, kita tengok-tengok phone. Tapi untuk melihat lebih dekat, saya memilih untuk terus fokus.
"Cuma saya minta hentikan lah semua spekulasi, permainan di media sosial, hentikan permainan dengan status, hentikan kata-kata yang buruk,” tambahnya tegas.
HORMATI PERANAN DR AFIFAH
Dalam pada itu, pemilik nama Ahmad Nubhan Ahamad juga menyeru supaya orang ramai menghormati peranan Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek sebagai ibu kepada anak-anak mereka.
“Kita kan ada dosa dan pahala sebab rumah tangga ni, saya dan dia juga yang tahu apa yang terjadi.
"Jadi perkara-perkara yang berlaku ni tidak akan sedikit pun membawa kebaikan kepada kami mahupun sesiapa.
"Lebih baik fokus kepada kehidupan kita dan doakan yang terbaik saja,” tegasnya.

Sebagai rekod, Nubhan dan Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga anak iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3 tahun.
Pada 2017, Nubhan pernah melafazkan talak satu sewaktu Afifah sedang hamil anak pertama, namun mereka rujuk semula.
Baru-baru ini, Nubhan memfailkan pengesahan lafaz talak pertama (2017), rujuk, dan lafaz talak kedua (Ogos 2025) di Mahkamah Rendah Syariah Sepang.
Media sebelum ini juga pelantun lagu Oh Juwita tersebut memfailkan hadanah penuh serta interim terhadap anak-anak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

